Diterbitkan pada 24 Oktober 2025, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Siapakah yang bakal mengungguli Hadiah Sastera Kelantan (HSK) 2025?

Dunia sastera Kelantan kini bergetar dengan debaran apabila bulan November semakin menghampiri.

Nama-nama besar mula diperkatakan dalam kalangan pemerhati dan peminat, namun keputusan rasmi kekal rahsia oleh juri sehingga detik pengumuman pada awal November nanti.

Persoalan turut berlegar, adakah karya penulis arus perdana akan terus mendominasi, atau bakat baharu bakal mencipta kejutan pertama dalam sejarah HSK?

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal menegaskan bahawa sastera merupakan wadah penting dalam pembinaan tamadun bangsa.

“Bangsa yang besar ialah bangsa yang menulis, merakam dan memaknai pengalamannya. Negeri Kelantan mendukung semangat ini sejak sekian lama.

YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal.

“Justeru, pengiktirafan terhadap para sasterawan adalah sebahagian daripada usaha memartabatkan akal budi Melayu yang berteraskan nilai Islam,” katanya.

Mengimbas sejarah penganjuran, YBM Tengku Kaya Perkasa menjelaskan bahawa komitmen Kerajaan Negeri Kelantan terhadap HSK telah bermula sejak edisi pertama pada tahun 2003, apabila majlis penyampaian hadiah diadakan bersama-sama Anugerah Sastera Kelantan (ASK).

Menurutnya lagi, HSK telah diadakan bersekali dengan ASK sebanyak tiga kali – pada tahun 2003, 2015 dan 2019/2020 – sebelum penganjuran keempat berlangsung pada tahun 2023.

“Kerajaan Negeri Kelantan telah menyediakan peruntukan lebih besar bagi memastikan penganugerahan ini berlangsung dengan penuh martabat.

“Tiga penganjuran HSK bersekali dengan ASK sebelum ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Kelantan. ASK keempat pula disempurnakan oleh YBM Tengku Temenggung Kelantan pada 6 November 2023.

“Insya-Allah, tahun ini kita adakan dua pengiktirafan berprestij ini secara berasingan — kita sempurnakan HSK 2025 dahulu, dan giliran saya pula menyampaikan pengiktirafan tersebut. Tiada aral, tahun depan kita anjurkan pula ASK 2026,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

YBM Tengku Kaya Perkasa turut menzahirkan harapan agar dengan dukungan penuh Kerajaan Negeri Kelantan serta kerjasama erat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, HSK 2025 akan menjadi antara edisi paling berprestij dan dinantikan dalam sejarah penganjurannya.

Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail, menegaskan bahawa penganjuran HSK merupakan platform penting dalam mengiktiraf peranan penulis sebagai pemikir dan penggerak ilmu masyarakat.

“HSK ialah bentuk penghormatan kepada individu yang berkemahiran mengarang karya kreatif yang mempunyai ketinggian wacana ilmu, berfalsafah dan kaya dengan kearifan tempatan. Pengiktirafan ini membina rujukan korpus peradaban bangsa,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas sumbangan dan keprihatinan yang berterusan terhadap dunia kesusasteraan negeri itu.

“Di bawah naungan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Melayu, diharapkan penganjur bersama dapat memperluas kategori penganugerahan agar lebih banyak tokoh dan penulis mendapat pengiktirafan, termasuk mewujudkan kategori khusus bagi Hadiah Sastera Kelantan dan Anugerah Sasterawan Kelantan,” tambahnya.

Kredit Foto: Firus Fansuri dan Kerajaan Negeri Kelantan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi