Diterbitkan pada 10 November 2025, 02:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu Lima karya dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meraih Hadiah Sastera Kelantan (HSK) 2023/2024. Karya yang memenangi HSK tersebut diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta, meliputi karya eceran bagi genre puisi, cerpen dan drama pentas.

Puisi “Kota Labah-labah” nukilan Ghazali Sulong (Dewan Sastera Februari 2023) dan puisi “Pesan Pintu kepada Pengantin” karya Abd. Razak Rezeki Othman (Dewan Sastera April 2023) menjadi pilihan juri untuk memenangi HSK (kategori puisi eceran) pada kali ini.

Ghazali Sulong meraih HSK (kategori puisi eceran).
Abd. Razak Rezeki Othman memenangi HSK (kategori puisi eceran).

Cerpen karya Rozaini Abdullah, iaitu “Menyusup Pandang Perahu yang Satu” yang diterbitkan dalam Dewan Sastera Jun 2024 dan cerpen ciptaan Nik Mohd Hafiz Abdullah, iaitu “Menanti Burung Hijau” yang diterbitkan dalam Tunas Cipta keluaran Mac 2024 pula berjaya memikat hati juri untuk memenangi kategori cerpen eceran.

Rozaini Abdullah memenangi HSK bagi kategori cerpen eceran.
Nik Mohd Hafiz Abdullah meraih HSK bagi kategori cerpen eceran.

Skrip drama pentas “Angin Dewa Muda” (Dewan Sastera Oktober, November dan Disember 2023) tulisan Mohamad Fairul Rashid atau lebih dikenali sebagai Fairul Pujangga pula memenangi kategori karya eceran bagi drama pentas.

Mohamad Fairul Rashid atau lebih dikenali sebagai Fairul Pujangga memenangi HSK bagi kategori drama pentas.

Kesemua pemenang bagi kategori karya eceran ini membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Senarai lengkap pemenang HSK 2023/2024 adalah seperti yang berikut:

Kategori A: Buku Perseorangan (RM2,000 Setiap Pemenang)

  • Buku Puisi: Mengingat Matahari karya Rosli K. Matari (Kata-Pilar Books, 2023)
  • Buku Cerpen: Tanah Serendah dan Cerpen-cerpen Lain karya Naim al-Kelantani (Naim Abd Aziz, 2024)
  • Novel: Kerana Aku Tulang Rusukmu karya Rohani Deraman (Rohani Deraman, 2023)
  • Buku Esei Kritikan/Kajian Sastera: Intertekstualiti dalam Novel S. Othman Kelantan karya Tuan Rusmawati Raja Hassan (Penerbit UMK, 2023)

Kategori B: Karya Eceran (RM1,000 Setiap Pemenang)

Puisi

  • “Tiang dan Pagar”, Suhaimi Mphd Salleh (Mingguan Malaysia 10 September 2023)
  • “Naratif Hujan di Daerah Kami”, Norhayati Ab. Rahman (Antologi Puisi Hari Sastera ke-18: Singgahlah dari Kartika ke Kartika sehingga Kau Genggam Makna, GAPENA, 2023)
  • “Kota Labah-labah”, Ghazali Sulong (Dewan Sastera Februari 2023)
  • “Pesan Pintu kepada Pengantin”, Razak Rezeki Othman (Dewan Sastera April 2023)
  • “Pertanyaan Si Pakis yang Tumbuh dari Celahan Beton”, Rositah Ibrahim (Antologi Luka, Cinta, Damai, GAPENA-PENA, 2023)

Cerpen

  • “Seusai Menonton A Brivele Der Mamen”, Marini Azahri (Berita Harian Ahad 7 Januari 2024)
  • “Katarsis”, Wan Marzuki Wan Ramli (Berita Harian Ahad 20 Oktober 2024)
  • “Alexander, Buka Balik Pintu Saya!”, Khoo Phau Liang (SelangorKini 2023)
  • “Menyusup Pandang Perahu yang Satu”, Rozaini Abdullah (Dewan Sastera Jun 2024)
  • “Menanti Burung Hijau”, Nik Mohd Hafiz Abdullah (Tunas Cipta Mac 2024)

Esei Kritikan/Kajian Sastera

  • “Konflik Wanita dalam Cerpen-cerpen Terpilih Mawar Safei”, Tuan Rusmawati Raja Hassan (Jurnal Melayu 2023)

Drama Pentas

  • “Angin Dewan Muda”, Fairul Pujangga (Dewan Sastera Oktober – Disember 2024)

Drama Radio

  • “Zulhijah yang Indah”, Rohani Deraman (Johor FM, 2023)

Drama Televisyen

  • “Sekeping Muruku Sebuah Rindu”, Rohani Deraman (Kentang Hijau Sdn. Bhd., 2023)

Penyampaian HSK 2023/2024 yang berlangsung di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra pada petang tadi telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.

HSK merupakan pengiktirafan terhadap karya penulis yang memberi sumbangan pada pembangunan pemikiran masyarakat dan peradaban bangsa.

Hadiah ini amat bermakna sebagai galakan kepada para penulis untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik untuk bacaan masyarakat.

Menurut laporan panel, puisi “Kota Labah-labah” karya Ghazali Sulong berjaya menampilkan metafora terhadap perangkap kuasa ideologi dan kerakusan manusia.

Tema puisi ini ialah kritikan terhadap masyarakat yang dikuasai kepalsuan, nafsu dan kerakusan yang membuatkan manusia tidak mempunyai nilai sejati.

Manakala kekuatan puisi “Pesan Pintu kepada Pengantin” nukilan Abd. Razak Rezeki Othman pula terletak pada simbol pintu yang berjaya menjana makna puisi.

Cerpen “Menyusup Pandang Perahu yang Satu” karya Rozaini Abdullah pula memaparkan persoalan kekeluargaan tiga generasi dan berjaya menjadikan perahu sebagai simbol harta dunia yang tidak kekal.

Manakala cerpen “Menanti Burung Hijau” tulisan Nik Mohd Hafiz Abdullah pula merupakan sebuah karya interteks yang menarik dan berkaitan dengan simbol burung hijau yang merujuk kepada burung-burung di syurga.

Karya drama pentas “Angin Dewa Muda” ciptaan Fairul Pujangga pula meraih perhatian juri kerana karya tersebut menepati struktur skrip yang baik dan kemas dari segi bahagian lakonan, adegan, bingkai. dan dialog.

Panel penilai bagi HSK 2023/2024 ialah Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Dr. Mohamad Shaidan, Dr. Mohamed Saleeh Rahamad, Zainal Palit (Zaen Kasturi), Nisah Haron, Abdul Wahab Hamzah, Siti Zaleha Hashim, dan Zaleha Ahmat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi