Diterbitkan pada 10 November 2025, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Penulis prolifik kelahiran Pasir Putih, Rohani Deraman, 64, mengungguli tiga kategori Hadiah Sastera Kelantan (HSK) 2023/2024.

Novelnya, Kerana Aku Tulang Rusukmu meraih RM2,000, diikuti skrip drama televisyen bertajuk “Sekeping Muruku Sebuah Rindu” dan skrip drama radio berjudul “Zulhijah yang Indah”, masing-masing merangkul RM1,000, melayakkan beliau membawa pulang wang tunai keseluruhan bernilai RM4,000.

Beliau yang ditemui sejurus usai majlis merakamkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas penganjuran majlis berprestij itu.

“Alhamdulillah, syukur atas rezeki dan terima kasih kepada DBP Wilayah Timur dan Kerajaan Kelantan. Tidak terkecuali, para panel juri yang mengiktiraf tiga karya saya daripada genre berbeza,” katanya.

Beliau menganggap yang kemenangan bersejarah itu sebagai pelengkap hadiah perkahwinannya baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy atau Fahd Razy berkata, sebanyak 445 karya yang diterima dan hanya 16 kategori disediakan untuk diiktiraf sebagai penerima HSK 2023/2024.

“Skrip drama radio dan skrip drama televisyen ialah dua genre baharu yang kita perkenalkan tahun ini dan sebanyak 445 secara keseluruhan yang kita terima daripada para peserta. Itu satu jumlah yang agak besar.

“Kita ada 16 kategori sahaja yang disediakan untuk pemenang. Di situ kita lihat betapa sengitnya saingan antara penulis-penulis Kelantan,” jelasnya, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Majlis yang dihadiri hampir 200 penulis dan aktivis sastera itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal di Dewan Kaya Pahlawan Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, petang semalam.

Beliau berkata, sastera cerminan jiwa bangsa dan rakaman pemikiran masyarakat merentasi generasi.

YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal

“Sastera ialah cerminan jiwa bangsa, wadah yang menyingkap pemikiran dan perasaan masyarakat serta medium yang menghubungkan masa lalu, masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa karya sastera berperanan besar dalam membentuk nilai kemanusiaan, kecintaan kepada tanah air serta penghargaan terhadap bahasa ibunda.

“Penulis bukan sekadar pengkarya. Mereka pendidik nurani dan pembentuk akal budi bangsa,” jelasnya.

Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean turut mengakui bahawa Kelantan sememangnya terkenal sebagai negeri yang kaya dengan budaya dan bahasa serta menjadi medan subur lahirnya ramai sasterawan tersohor yang menyumbang bukan sahaja melalui penulisan, tetapi juga pada pembinaan akhlak dan jati diri masyarakat

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran HSK sebagai satu bentuk penghargaan terhadap mereka yang menabur bakti melalui dunia pena.

Katanya, dalam era teknologi dan digital masa kini, peranan penulis semakin penting kerana masyarakat memerlukan pengisian yang membawa nilai, kebenaran dan kesedaran.

“Penulis tidak hanya menulis kata yang indah, tetapi menyampaikan aspirasi dan harapan rakyat. Mereka pembawa suara kebenaran dan perubahan.”

Tambahnya, karya yang baik perlu dibina atas asas ilmu, hikmah dan kekuatan rohaniah agar terus relevan sepanjang zaman.

Mengakhiri ucapan, beliau merakamkan penghargaan kerajaan negeri kepada seluruh penggiat sastera serta menyeru lebih ramai bakat baharu tampil berkarya.

“Melalui HSK 2023/2024, Kerajaan Negeri Kelantan terus komited menyokong usaha para sasterawan dan menggalakkan penulis muda membawa suara generasi baharu yang berpaksikan nilai murni dan kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

Turut hadir, Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi