19 Februari 2022, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Setelah menghasilkan beberapa buah buku ulasan dan kritikan filemnya, seperti Membedah P. Ramlee dan Membedah Wayang Gambar, Daniyal Kadir akan tampil dengan buku kumpulan puisi terbaharu beliau pada minggu hadapan, Mata Penceroboh.

Mata Penceroboh akan diterbitkan di bawah rumah penerbitan Kata-Pilar Books, bersama-sama dengan dua lagi buku kumpulan puisi baharu daripada Aliff Awan (Pada Malam Tak Boleh Tidur) dan Lokman Hakim (Aku Mahu Jadi Bandar yang Kaulipat ke dalam Dompetmu).

Menurut penulis, aktivis dan pengkritik filem itu, “Filem sebenarnya datang kemudian, saya bermula dengan seni puisi.” Jelasnya, beliau mula berjinak dengan bait-bait puisi sejak di bangku sekolah. Malah setelah itu, beliau juga banyak berkarya di bawah beberapa arkib sastera indie, sebelum berhenti berkarya setelah beberapa ketika.

“Saya berhenti menulis puisi selepas salah satu puisi saya ‘dikutuk’ oleh Abdullah Jones dalam blog beliau,” ujarnya, separuh berseloroh.

Kenyatan itu dirakam semasa beliau berbicara di sesi Mengopi Puisi Episod 8. Bersama dengannya sebagai panel ialah Aliff Awan dan Lokman Hakim. Mengopi Puisi anjuran Kata-Pilar Books dan Tukang Puisi menemui khalayak buat pertama kalinya secara bersemuka setelah berturut-turut menjalankan sesi Mengopi Puisi secara audio siar di Twitter Space sebelum ini. Lokasi bicara kali ini dianjurkan di Biblio Cafe, Petaling Jaya.

Dalam berkarya, khususnya dalam berpuisi, Daniyal lebih mesra dan senang dengan menggunakan elemen peribadi sebagai inti sari esen puisi. “Seperti filem, saya juga menulis puisi dengan pendekatan sisi peribadi saya. Saya lebih selesa untuk berkarya dengan pendekatan sebegitu,” ujar Daniyal.

Pendirian beliau juga tetap bahawa dalam berkarya, wujudnya elemen yang sangat peribadi dalam setiap pengkaryaannya. Seperti pengarah filem terkemuka, Martin Scorsese, yang tidak akan lari daripada memaparkan sisi New York dan pegangan Kristian Katolik dalam karya-karyanya. Daniyal Kadir menegaskan, “Sedangkan Scorsese sendiri hanya giat menjelajah dengan hal yang dekat dengannya. Sebab itu karyanya memberi kesan kepada khalayak.”

Bagi Daniyal, jika seseorang pengkarya berkarya dengan perkara yang asing baginya, hasil karya itu kelak akan rasa asing dan janggal. Baginya, pengalaman peribadi adalah seperti landasan, “untuk kita lonjakkan apa-apa yang kita cuba nak tuliskan supaya dalam karya itu akan ada unsur ‘kita’.”

Manakala Lokman Hakim pula berkata, tidak semestinya sesebuah puisi dihasilkan dengan pengalaman peribadi. Pandangannya, pengalaman kendiri itu memang penting untuk merencamkan dan mengukuhkan sisi emosi dalam puisi, tetapi ada penyair yang boleh merenung sesuatu dengan segar, walaupun dia tidak berpengalaman dalam sisi yang ingin disentuhnya.

Lokman yang lebih prolifik dengan penulisan prosa juga berkata, “Dalam menulis puisi, ia sangat berbeza daripada saya menulis novel atau cerpen. Kalau saya tulis cerpen, saya boleh merancang. Namun tidak sama pula dengan puisi, saya tidak boleh merancang ketika menulis puisi. Kata-kata puisi itu akan mengalir sendiri.”

Peranan sisi peribadi dalam berkarya pula dilihat oleh Aliff Awan melalui perspektif pengalaman emosi dan imaginasi. Menurut beliau, “Ada saja benda dalam Pada Malam Tak Boleh Tidur yang saya tidak pernah lalui. Seperti meteor, duduk di dalam almari. Jadi saya ambil emosi dan kembangkan emosi tersebut, berdasarkan imaginasi yang saya dapat dibayangkan ketika itu.”

“Sepanjang saya menulis, ada satu benda yang saya suka, iaitu bagaimana penulis itu mencipta dunianya sendiri,” tambah Aliff Awan.

Kumpulan puisi Mata Penceroboh, Pada Malam Tak Boleh Tidur, dan Aku Mahu Jadi Bandar yang Kaulipat ke dalam Dompetmu boleh ditempah di sini.

Tonton bicara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.