Diterbitkan pada 6 November 2025, 20:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – YBhg. Zaen Kasturi menyeru komuniti sastera agar kembali kepada akar tamadun Melayu-Islam sebagai penyelesaian terhadap krisis kandungan yang melanda sastera moden sekarang.

Baginya, dalam tamadun Melayu-Islam, terdapat kebijaksanaan dan kearifan tempatan yang berperanan sebagai sumber integral yang berupaya membentuk struktur pemikiran, estetika dan nilai dalam pelbagai bentuk karya.

“Kesedaran terhadap dua sumber ini bukan sekadar mengangkat warisan sebagai simbol identiti, tetapi juga berfungsi sebagai asas epistemologi. Itu yang paling penting.

“Sumber atau asas epistemologi dalam penghasilan karya mempunyai keutuhan makna, jati diri serta nilai kemanusiaan sejagat. Siapa kata karya Melayu tidak sejagat?” ujar Zaen Kasturi.

Zeen Kasturi ialah penyampai ucaptama sempena Hari Sastera Nasional ke-20 yang berlangsung dari 25 hingga 27 Oktober 2025 di Klana Resort Seremban.

Dalam ucaptama itu, Zaen Kasturi turut menekankan bahawa karya agung sejati mesti berakar umbi dalam budaya bangsanya sendiri.

Beliau mendefinisikan tamadun Alam Melayu sebagai gabungan pelbagai nilai Islam, adat resam dan sejarah Nusantara yang kaya dengan falsafah serta kerohanian. Akar ini, katanya, ialah asas epistemologi penting untuk menghasilkan karya yang memiliki keutuhan makna, jati diri dan nilai kemanusiaan sejagat.

Beliau juga mengkritik kecenderungan sastera moden mutakhir yang didapati terlalu menumpukan emosi peribadi, konflik klise dan keresahan jiwa yang berulang. Katanya, sastera moden mutakhir sering cenderung meraikan nihilisme dan hedonisme atau terlalu meniru gaya Barat, yang akhirnya menyebabkan karya tempatan hilang jati diri.

Zaen Kasturi bertegas bahawa kebebasan berkarya tidak bermakna pengarang bebas daripada tanggungjawab sosial dan budaya mereka.

Tambahnya, “Tamadun Melayu-Islam menawarkan keseimbangan yang utuh antara akal dengan wahyu, etika dengan estetika, serta individu dengan komuniti, melalui konsep seperti budi, adat dan gotong-royong.”

Beliau turut mengutarakan bahawa ciri-ciri pascamoden sebenarnya sudah wujud dalam tamadun Melayu, sekali gus menjustifikasikan bahawa penulis tidak perlu meniru gaya Barat.

Dalam sesi soal jawab, Zaen Kasturi turut mengaitkan kelemahan ini dengan sistem pendidikan Malaysia yang tidak mewajibkan subjek kemanusiaan, menyebabkan golongan profesional kurang menyerap roh budaya dalam hasil kerja mereka.

YBrs. Nisah Haron selaku moderator bagi majlis tersebut turut memperkukuh hujah ini dengan mengemukakan contoh bagaimana sastera lipur lara Melayu telah lama membayangkan konsep teknologi moden.

Nisah turut menegaskan peranan penulis sebagai “pembina kandungan” asli dan bukan sekadar “gema” yang mengikut-ikut.

“Saya yakin dengan mengukuhkan nilai dalam kandungan penulisan, pengarang dapat membina karya yang bermakna, selain mempertahankan identiti dan menjamin kelangsungan jati diri bangsa dalam menghadapi cabaran dunia moden,” ujar Zaen lagi.

Nisah Haron sebagai moderator pada sesi ucaptama Hari Sastera Nasional ke-20 turut memperakui hujah Zaen tentang usaha penulis untuk kembali menyingkap kebijaksanaan akar Melayu-Islam.
Kredit Foto: Hidayyah AT Mizi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi