Diterbitkan pada 22 Oktober 2025, 13:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Program berkala Syarahan Perdana A. Kadir Adabi kembali dengan edisi November 2025 yang bakal menampilkan tokoh tersohor, Canselor Kolej Universiti Inovatif Selangor, YBhg. Kept (B) TLDM Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob dengan syarahannya bertajuk “Sastera sebagai Denyut Nadi Bangsa: Menjaga Jiwa dalam Arus Moden”.

Syarahan ini akan berlangsung  pada 2 November 2025  di Dewan HRD (A), UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang, bermula pada pukul 8.30 pagi.

Syarahan ini akan mengupas secara mendalam peranan sastera sebagai nadi kehidupan bangsa serta keperluan menjaga keseimbangan antara pengetahuan sains dengan ilmu kemanusiaan dalam membentuk kehidupan yang lebih harmoni dan bermakna.

Menurut Prof. Hashim, kupasannya bakal membuka perspektif baharu tentang bagaimana disiplin sains dan bidang kemanusiaan termasuk sastera, seni dan kebudayaan yang saling melengkapi dalam memandu manusia menghadapi arus kemodenan.

“Tanpa salah satu daripadanya, kehidupan akan menjadi rumit untuk dikendalikan,” ujarnya dalam mesej awal menjelang syarahan berkenaan.

Yang menariknya, Prof. Hashim juga akan mengiringi wacana ilmiahnya dengan persembahan Kumpulan Wayang Kulit Kok Lanas yang menampilkan kelainan dalam penyampaian yang menggabungkan unsur seni tradisi dengan wacana akademik.

Program ini merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan  kerjasama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Kelantan dan Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTM Cawangan Kelantan.

Sehubungan dengan itu, DBPWT dan rakan penganjur mempersilakan orang ramai, khususnya warga akademia, pelajar dan peminat seni budaya untuk bersama-sama menghadiri program ini bagi menyelami pemikiran seorang tokoh yang menguasai bidang sains dan sastera serta mengaplikasikannya dalam kehidupan dengan penuh makna.

Kredit Foto: Zanazanzaly
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi