Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Forum Amelia Hashim: Tokoh Penulis Wanita Kedah yang diadakan bersempena dengan Majlis Apresiasi Sastera: Amelia Hashim Tokoh Penulis Wanita Kedah mengenengahkan kepelbagaian genre yang dihasilkan oleh tokoh tersebut meliputi tema feminisme, perubahan sosial dalam masyarakat juga suntikan magis dalam penceritaan drama kanak-kanak.
Amelia Hashim merupakan penulis wanita terkemuka negeri Kedah yang sudah menghasilkan sebanyak 26 buah novel dan meraih beberapa anugerah seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan Anugerah Sastera Darul Aman.
Dalam forum yang berlangsung di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah baru-baru ini, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM), YBrs. Profesor Madya Dr. Rohaya Md. Ali menjelaskan naratif novel Kininaru (DBP, 2013) yang diperkuatkan dengan gaya penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat waktu itu.
“Setelah saya mencari tahu, Kininaru bermaksud ‘Orang Melayu’. Novel ini juga memiliki ciri-ciri novel sejarah yang menonjolkan semangat bangsa dan perubahan sosial dalam tempoh penjajahan,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Dr. Andika Aziz Hussin pula mengulas karya Mimpi Laila (ITBM, 2013) yang menghimpunkan empat drama pendek.
“Bahasanya mudah dan sesuai untuk kanak-kanak. Setiap drama mengandungi unsur imaginasi dan magis yang dekat dengan jiwa kanak-kanak,” katanya sambil menekankan nilai pendidikan dan moral yang tersirat dalam naskhah tersebut.
Menurut beliau lagi, drama kanak-kanak tidak perlu memuatkan elemen yang berat atau terlalu kompleks. Sebaliknya, karya untuk golongan muda harus disesuaikan dengan usia dan cara mereka melihat dunia, iaitu dengan bahasa yang ringan, penceritaan yang menyeronokkan serta mesej yang mudah difahami.
“Keindahan karya sebegini terletak pada kejujuran naratif dan imaginasi yang luas, yang mampu merangsang minda serta emosi kanak-kanak tanpa perlu dipaksa dengan tema yang terlalu serius,” katanya lagi.
Encik Hasan Baseri Budiman yang merupakan Penolong Setiausaha Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA) pula membicarakan konsep asas plot dalam karya Bilik di Hujung Koridor (DBP, 2024) yang mengetengahkan kisah sekumpulan remaja di asrama.
Menurutnya, Amelia Hashim sering memperjuangkan tema feminisme dan berani menolak konvensi novel arus perdana.
“Dalam Hikayat Perempuan (DBP, 2021), beliau mengangkat 15 kisah tokoh wanita daripada pelbagai latar sejarah dan tradisi Melayu yang menggambarkan kehebatan serta keteguhan semangat perempuan,” ujarnya.
Antara watak yang digarap termasuklah Tun Takiah Dora, Cik Raknamala, Raden Galuh Gemerencang, Tun Memanda, Raja Ijau, Puteri Junjung Buih, Tun Fatimah dan Cik Safura Negara, yakni tokoh-tokoh yang diambil daripada sumber klasik seperti Hikayat Raja Pasai, Sejarah Melayu, Babad Tanah Jawa, dan Tuhfat al-Nafis. Karya ini menjadi bukti kepekaan Amelia terhadap sejarah dan keunggulan wanita dalam khazanah Melayu lama.
Amelia Hashim turut berkongsi pengalaman penulisannya, terutamanya proses menghasilkan novel Kalbu Qalha (DBP, 2017) yang menurutnya amat dekat di hati. Novel tersebut berlatarkan sejarah negeri Kedah dan mengambil masa hampir sepuluh tahun untuk disiapkan.
“Kalbu Qalha ini memang istimewa bagi saya kerana ia sangat dekat dengan jiwa dan sejarah negeri sendiri.
“Saya sebenarnya berhajat untuk serah sendiri Kalbu Qalha kepada Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah tapi tidak sempat,” katanya dengan penuh rasa sebak.
Menurut Amelia lagi, ketika dalam proses penulisan Kalbu Qalha, beliau sering didatangi oleh tokoh-tokoh yang dimuatkan dalam novel itu melalui mimpi.
“Kadang-kadang saya rasa macam mereka datang beri isyarat, seolah-olah ingin saya ceritakan kisah mereka,” ujarnya.
Apabila ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan perjalanan penulisannya, Amelia mengimbas kembali bagaimana segalanya bermula.
“Saya mula menulis sebab selalu dengar radio. Dari situ saya belajar rentak bahasa dan penceritaan. A. Samad Said pernah pesan, tulislah novel, sebab skrip drama radio susah untuk ditemui semula, tapi novel akan kekal di perpustakaan,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa pengalaman bekerja sebagai wartawan banyak memperkayakan ilham dan pemerhatiannya terhadap masyarakat. Walaupun kini berusia 73 tahun, Amelia masih aktif menulis.
“Saya masih ada empat karya yang belum siap. Saya tidak berjanji akan terus menulis kerana semuanya bergantung pada keadaan dan ketentuan Allah,” katanya dengan penuh rendah hati.
Majlis apresiasi ini merupakan anjuran SWADAYA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Sesi perasmian majlis dan pelancaran buku Amelia Hashim: Sebuah Kembara Diri terbitan SWADAYA disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Kedah, YBhg. Datin Seri Norhasni Ishak.
