Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Norshah Aizat Shuaib cuba menjawab persoalan AI dalam penulisan kreatif dengan beberapa ukuran.
Bagaimanakah bot sembang AI boleh menjadi seorang Fahd Razy?
Kecerdasan buatan atau singkatannya AI kian disebut-sebut merentas bidang. Dahulunya, AI digunakan oleh ahli bidang untuk menganalisis serta meramal sesuatu berdasarkan data. Kini, AI digunakan oleh sesiapa sahaja setelah dipermudahkan secara komersial menjadi chat bot atau bot sembang. Pengguna tidak perlu merumitkan minda dengan kod-kod pengaturcaraan yang bersimpang dan “bertakik-takik”. Sebaliknya, hanya perlu menaip permintaan, bot sembang AI akan menunaikan sepantas mungkin, semacam Jin Aladin dengan bilangan permintaan tanpa had (sementelahan jika anda menggunakan bot sembang berbayar).
Dalam bahasa mudah, AI membuat keputusan berdasarkan apa-apa yang dipelajari dan difahaminya. Konsep ini dipanggil machine learning. Bot sembang AI tidak sepintar manusia untuk memikirkan sesuatu di luar kotak tanpa ada sebarang sumber rujukan. Bot sembang ini berpandukan pangkalan data atau rujukan tertentu untuk membina suatu algoritma. Daripada situlah sebarang bentuk pola, susunan dan sebagainya dipelajari untuk mendapatkan “ilmu”. Kebanyakan bot sembang AI berpandukan sumber dalam internet. Maka, jika anda memutuskan bekalan internet, bot sembang ini akan terkapai-kapai mencari arah tuju dan akhirnya gagal berfungsi. Ada kala bot sembang AI juga berhalusinasi dengan memberikan jawapan dengan penuh yakin tapi palsu sepenuhnya.
Bagaimana pula bot sembang AI digunakan dalam penulisan?
Dalam dunia akademik, penggunaan AI semakin meluas untuk penulisan saintifik. Terdapat banyak tulisan yang mengulas tentang fenomena ini, antaranya makalah berjudul “Using Artificial Intelligence in Academic Writing and Research: An Essential Productivity Tool” (2024) terbitan jurnal Computer Methods and Programs in Biomedicine Update dan “The Use of Artificial Intelligence in Writing Scientific Review Article” terbitan Current Osteoporosis Reports. Makin banyak bengkel diadakan untuk kaedah mencari rujukan, menterjemahkan maklumat kepada teks dan mengelakkan plagiat. Dari segi etika, jurnal-jurnal berindeks juga sudah mula menetapkan polisi penggunaan AI dalam penghasilan makalah asli dan tinjauan. Rata-ratanya menerima penggunaan AI dengan syarat tertentu. Misalnya, AI hanya boleh untuk semakan bahasa dan bukan untuk menghasilkan teks. Untuk penyemak makalah pula, tidak dibenarkan untuk memuat naik makalah di bot sembang AI untuk mengelakkan kebocoran maklumat yang belum disiarkan.
Dalam penulisan kreatif pula, bagaimana pula bot sembang AI digunakan?
Baru-baru ini, seorang sahabat penulis melampirkan satu rangkap puisi yang dihasilkan menggunakan bot sembang AI. Bait puisi tersebut mirip gaya Fahd Razy. Rata-rata ahli dalam kumpulan WhatsApp tersebut kagum, termasuklah Fahd Razy sendiri.
Bagaimanakah bot sembang AI boleh menjadi seorang Fahd Razy?
Sahabat ini cuba bereksperimen dengan mengajar bot sembang AI tentang puisi (ops, sajak) Fahd Razy. Sejumlah sajak Fahd Razy dimuat naik bagi memahamkan bot sembang AI ini mengenai estetika bahasa, susun atur, pemilihan perkataan, dan beberapa hal teknikal yang lain. Dengan kaedah ini, bot sembang AI sudah boleh meniru gaya Fahd Razy menghasilkan sajak. Bahkan kalau diajar tentang rupa Fahd Razy dengan memuat naik beberapa keping gambar tuan tubuh, tentunya AI akan dapat mengenal pasti dirinya berwajah cerah, rambut ala Tomok New Boyz dan gemar memakai baju kotak-kotak.
Bayangkan pula jika bot sembang AI diajar dengan karya-karya hasil penulis mapan lain seperti T. Alias Taib, Rahimidin Zahari dan Hilmi Rindu. Kemudian, kepengarangan setiap penulis digabungkan menjadi satu karya. Tentulah sukar untuk menentukan sama ada karya ini dihasilkan secara asli atau mengikut algoritma tertentu. Harus diingat, bot sembang AI turut mempunyai akses kepada jutaan sumber di alam maya, membolehkannya untuk meniru gaya kepengarangan penulis lain. Hal ini menjadikan sajak yang dihasilkan lebih bersifat authentic lalu sukar ditebak ketulenannya.
Begitulah realiti kehebatan bot sembang AI yang mengujakan (atau menakutkan). Belum lagi kita bercakap tentang kemampuan menghasilkan imej dan video. Kita harus menerima hakikat tentang kemampuan teknologi bot sembang AI yang kian berkembang.
Pelbagai reaksi penulis dapat dikenal pasti hasil perkembangan teknologi ini. Terdapat sekumpulan penulis berantakan, berbahas mengenai etika kepengarangan melibatkan penggunaan AI. Terdapat juga khalayak yang musykil melihat seorang penulis ligat berkarya di media sosial, sehingga dituduh bahawa karya-karya tersebut hanyalah janaan bot sembang AI.
Secara peribadi, saya merupakan pengguna aktif bot sembang AI sehingga saya membayar langganan setiap bulan. Tentunya saya tidak semudah “Hai, tolong tuliskan saya artikel berkaitan analisis karbon bahan kitar semula untuk disiarkan di akhbar.” Sebaliknya, penggunaan AI lebih pada tugas seperti analisis, pengiraan dan penyusunan maklumat. Untuk pengajaran, bot sembang AI banyak memudahkan tugas, contohnya dalam mencadangkan bentuk soalan, dan membetulkan ejaan atau tanda baca dalam slaid pengajaran dan helaian tugasan.
Untuk penulis dan pembaca berpengalaman, teks janaan AI lazimnya kelihatan canggung dan tidak lengkap.
Adakah teknologi bot sembang AI merupakan suatu ancaman atau peluang?
Sejak puluhan tahun lalu, kita sendiri menjadi “bot sembang AI” dengan mengumpul cuplikan ayat atau perkataan baharu. Kemudian, penulis mengubah, menggabungkan dan ditambah baik untuk dijadikan ayat sendiri. Bezanya sekarang, bot sembang AI boleh mengambil tugas ini. Sebelum ini, penulis perlu menelaah satu demi satu melalui enjin carian atau bahan bercetak untuk mendapatkan maklumat. Bot sembang AI juga membolehkan maklumat disusun mengikut format yang dimahukan oleh penulis.
Teknologi bot sembang AI boleh dimanfaatkan untuk mengatasi masalah rintangan pengarang atau writer’s block. Antaranya, dalam pencetus idea awal dalam proses membuat rangka. Hasil janaan AI boleh dijadikan sebagai semakan terhadap idea sedia ada. Sebahagian idea baharu boleh ditulis semula oleh penulis dengan ayat sendiri. Kaedah ini tidak jauh beza daripada kaedah konvensional, iaitu penulis membaca sesuatu, mencatat, menyusun, dan menulis semula dengan olahan sendiri.
Misalnya, saya ingin menulis cerpen yang melibatkan ilmu bantu penanaman padi. Saya boleh memanfaatkan bot sembang AI untuk mendapatkan maklumat berkenaan jenis padi, kitaran penanaman, sistem saliran, dan sebagainya. Melalui maklumat ini, saya terapkan bahagian yang sesuai dalam karya dengan olahan sendiri. Sebarang fakta yang dikemukakan AI akan disemak semula melalui sumber asal untuk kesahihan. Hal ini disebabkan AI sendiri boleh berhalusinasi dengan mencipta fakta palsu.
Saya kira penggunaan bot sembang AI sebegini, tidak menjadi masalah.
Akan tetapi, hal ini akan menjadi suatu isu apabila penulis secara terus mengambil teks janaan AI untuk dimasukkan dalam karya. Penulis tanpa segan silu menganggap hasil tersebut sebagai karya tulisannya sendiri. Bagi mengekang gejala ini, teknologi pengesanan AI pula ada kalanya belum lagi cukup matang untuk mengesan hasil janaan AI dalam bahasa Melayu, berbanding bahasa Inggeris.
Dengan dibantu oleh bot sembang AI, penulis cenderung untuk tidak memeram karya dan melahirkan karya dengan cepat. Meskipun bagus untuk menghasilkan karya dengan banyak, namun kekalutan ini boleh merencatkan kualiti, menjadikan hasil penulisan bersifat mentah atau tidak masak. Penulis semakin ghairah mengumpul bilangan karya berbanding memastikan hasil penulisan benar-benar berkualiti dan mengandungi pemikiran. Dalam aspek suntingan, penulis akan sepenuhnya berharap kepada bot sembang AI. Situasi ini menyebabkan penulis, terutamanya generasi baharu untuk tidak mempelajari kaedah menulis dan menyunting dengan betul.
Untuk penulis dan pembaca berpengalaman, teks janaan AI lazimnya kelihatan canggung dan tidak lengkap. Karya AI terutamanya prosa sering nihil jiwa dan kurang sentuhan peribadi, meskipun disusun dengan ayat gramatis dan tertib tatabahasanya. Walaupun bot sembang AI boleh mempelajari gaya kepengarangan seseorang penulis, idea segar tetap lahir daripada minda manusia dan bukan sekadar olahan semula karya-karya terdahulu. Kepintaran AI tidak akan dapat mampu menandingi kekreatifan otak manusia dalam penghasilan suatu karya seni.
Penggunaan teknologi bot sembang AI sememangnya tidak mampu dielakkan dalam kehidupan seharian. Tidak dinafikan, bot sembang AI boleh membantu tugas-tugas renyah seperti semakan bahasa, membetulkan kesalahan berulang dan menyusun teks menjadi format tertentu. Namun begitu, biarlah penggunaannya disulam bersama-sama integriti, terutamanya apabila melibatkan penghasilan karya untuk tujuan disiarkan. Setiap penulis perlu ada sekelumit rasa malu atau ralat, apabila karyanya yang memenangi anugerah dan disukai ramai itu rupanya janaan bot sembang AI semata-mata. Penggantungan pada AI sepenuhnya ini boleh dianggap sebagai suatu penipuan atau peniruan berstrategik dan hanya diri penulis mampu untuk membuat pertimbangan.
Sekadar makluman, artikel ini tidak dihasilkan menggunakan bot sembang AI. Saya menulis draf sambil menanti anak-anak selesai menghadiri kelas seni. Begitulah tugas hari minggu seorang ayah, yang sudah pasti tidak dapat digantikan oleh bot sembang AI.
_________________________
Norshah Aizat Shuaib (Dr.) atau nama penanya, Shahkang merupakan Ketua Satu Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA). Bertugas sebagai pensyarah dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Sering mengadakan bengkel penggunaan bot sembang AI buat pendidik dalam menghasilkan bahan sesi pengajaran dan pembelajaran.