Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSingapura – Visi mengantarabangsakan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) ke peringkat global wajar diberi perhatian serius seiring dengan arus perkembangan massa dan tuntutan zaman.
Pengerusi MASTERA Singapura, YBrs. Dr. Azhar Ibrahim berkata, Singapura sedia bekerjasama dengan rakan-rakan MASTERA Malaysia, Negara Brunei Darussalam, dan Indonesia bagi merealisasikan visi tersebut, khasnya menterjemahkan karya ilmiah ke dalam bahasa Inggeris.
“Pihak MASTERA Singapura telah menggerakkan usaha pementoran untuk generasi muda dari Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia untuk tampil mengangkat wacana sastera MASTERA pada peringkat antarabangsa melalui penerbitan karya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sidang MASTERA ke-29, bertempat di Bilik Ixora, Muzium Peranakan Singapura yang berlangsung selama dua hari bermula 11 hingga 12 September 2025, baru-baru ini.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MASTERA Malaysia, Tuan Abang Haliman Abang Julai, Setiausaha MASTERA Malaysia, Puan Roziah Md. Yunus dan Pakar Bidang MASTERA Malaysia, Profesor Dr. Abdul Halim Ali, Dr. Hashim Ismail dan Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.
Persidangan kali ini diadakan serentak secara bersemuka dan dalam talian.
Sidang MASTERA merupakan acara tahunan yang diadakan secara bergilir di negara anggota dan tahun ini Singapura berperanan sebagai tuan rumah selepas persidangan ke-28 tahun lalu yang diadakan di Negara Brunei Darussalam.
Negara anggota MASTERA terdiri daripada Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Abang Haliman berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa komited dalam memberi sokongan padu terhadap segala kegiatan MASTERA, sama ada dari segi pelaksanaan program, penyediaan kepakaran, mahupun perkongsian sumber.
“DBP sentiasa komited untuk menjadikan MASTERA sebagai wahana serantau yang kukuh dalam memperkasakan bahasa dan kesusasteraan Nusantara.
“DBP juga pecaya bahawa kejayaan MASTERA merupakan kejayaan bersama yang bakal memperkukuh kedudukan bahasa dan sastera serumpun,” katanya, yang juga sebagai wakil Ketua Pengarah DBP pada persidangan tersebut.
Sementara itu, Roziah mengharapkan dengan kepakaran serta pengalaman kepimpinan negara anggota mampu mengangkat dan memacu MASTERA ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang di persada antarabangsa.
Sidang MASTERA yang diadakan bertujuan untuk mencapai kata sepakat dalam pelaksanaan program dan aktiviti kerjasama antara negara-negara anggota MASTERA dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya serantau.