Diterbitkan pada 10 Ogos 2025, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ramlee Wahab tertarik dengan polemik yang tercetus baru-baru ini, tetapi merasakan langkah Irfan Fikri agak sumbang.

Irfan memang menulis rungutan atau omelan yang disolekkan dengan bumbu kata-kata sarkastik, simplistik dan kosmetik.

Seruan Za’im Yusof membuat saya teruja dan berasa terpanggil untuk berkongsi pandangan dari kaca mata penulis marhaen. Tali polemik nampaknya kuat menegang. Biarlah tulisan ini mengendurkan sedikit ketegangan agar tali polemik dapat bertahan dan tidak putus.

Pahat berbunyi kerana rumah siap tidak mengikut pelan atau tidak menepati selera rasa? Hal ini perkara biasa malah menjadi “asam garam” bagi sekumpulan tukang yang patuh pada spesifikasi. Setelah tuan rumah sudah berpuas hati, sekumpulan tukang juga dianggap sebagai “pandai kayu” mula cakap-cakap menyindir, menyinggung dan mempersendakan, tidak sedikit yang memberi sakit. Malah, boleh disamakan “seperti anjing menyalak bukit”.

Menurut definisi Irfan Fikri, puisi yang baik “harus memiliki keindahan bahasa, tetapi mestilah memiliki kebenaran makna yang jujur, tidak berpaling dari hakikat dan tidak memperdaya khalayak dengan fatamorgana nilai”. Memetik pula pandangan Ramzah Dambul, Irfan turut menggariskan empat kriteria karya yang bermutu, iaitu “menghancurkan batasan bentuk, memecahkan dinding genre, menggugat wacana bahasa, dan membina semula puisi sebagai renungan zaman”.

Pandangan Irfan tadi boleh dianggap beragam, rencam dan mengancam sifatnya, semestinya direnungi secara mendalam. Perlu dinyatakan, pandangan itu bukan pandangan seorang Irfan sahaja, tetapi kemungkinan lontaran beberapa pandangan rakan-rakannya secara kolektif. Irfan hanya dijadikan “batu loncatan” untuk tujuan melampiaskan ketidakpuasan hati dan hunjaman kecamuk perasaan “hajat tidak sampai” oleh sekumpulan “mereka” akibat kegagalan mendakap piala lumayan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

Walau bagaimanapun, kita kembali pada soal definisi puisi yang baik. Irfan menerjah masuk gelanggang dan mencetus polemik yang bertele-tele, malah dia boleh dianggap sebagai penulis hantu yang marah-marah. Akan tetapi, dikesani bahawa dia bukanlah pengkritik yang baik, malah tidak menggunakan disiplin-disiplin kritikan yang lengkap dan tulen. Gaya penulisan (bukan kritikan tetapi omelan) Irfan memang penuh jargon dan mahu menunjuk-nunjuk sebagai “elit intelektual” yang mahir dalam pelbagai teori dan kritikan sastera. Bunyinya memang meletup-letup bagai bertih digoreng, tetapi sekadar letupan mercun yang menakutkan kera, monyet dan lotong daripada mencuri pisang di kebun.

Kritikan bukan mencari kesalahan (witch hunting), tetapi menunjukkan kelemahan dan memberikan alternatif positif. Jika empunya karya tidak menerima, tiada keperluan bagi kritikawan menekan dan memaksa untuk menerima pandangan. Elakkan permusuhan, kerana memelihara ukhuwah persahabatan itu juga penting.

Irfan memang menulis rungutan atau omelan yang disolekkan dengan bumbu kata-kata sarkastik, simplistik dan kosmetik. Inilah yang dikatakan “menongkah jeram ke hulu, terbeban; mudik ke hilir deras, karam sampan”. Seharusnya Irfan bertindak lebih bijak dan mengelak kerja sia-sia membedah puisi seperti “mengupas bawang”. Sebaliknya, pamer keterampilan sebagai seorang ahli geologi yang anatomis, seorang pengkaji mumia yang sabar dan teliti. Disarankan agar Irfan membaca dan mentelaah beberapa pandangan sarjana tempatan, Timur dan Barat, sekali gus penyair tersohor yang berkredibiliti dalam mencipta puisi. Malah, ada antara mereka juga menjadi pengkritik dan pembimbing dalam proses menulis sajak dan puisi. Disiplin keilmuan mereka tidak perlu dipertikaikan.

Mahu jadi kritikawan (bukan penulis populis) hebat mesti rajin membaca. Petikan begini amat penting dijadikan ilmu bantu. Ayuh, telusuri pandangan penyair Fahd Razy daripada bukunya Sains Menulis Puisi tentang sebuah puisi baik: “Sebuah Yin dan Yang. Iaitu puisi mempunyai roh juga jasad.” Beliau menambah, “puisi yang baik mempunyai keseimbangan antara keduanya”. Malah, beliau turut memilih tiga pernyataan yang dirasakan terbaik sekali gus merumuskan spesifikasi umum “puisi yang baik”:

Pertama | Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh: “Puisi merupakan bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Dalam segala kekentalan itu, maka puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana.”

Kedua | HB Jassin: “Puisi adalah pengucapan dengan perasaan yang di dalamnya mengandungi fikiran-fikiran dan tanggapan-tanggapan.”

Ketiga | Samuel Taylor Coleridge: “Kata-kata yang terbaik dalam susunan terbaik. Penyair memilih kata-kata yang setepatnya dan disusun secara sebaik-baiknya, misalnya seimbang, simetris, erat perhubungan antara satu unsur dengan unsur yang lain, dan sebagainya.”

Perlu Irfan ketahui, hasil daripada percantuman dan kesatuan ketiga-tiga definisi tersebut, terserlah tiga aspek berbeza dalam puisi, iaitu fizikaliti, kandungan (makna), dan kedalaman sebuah puisi. Jelas timbul suatu persoalan, adakah Irfan memahami tiga aspek tersebut secara mahir dan mendalam? Diperhatikan, Irfan masih kabur tentang perkara asas begini, mengakibatkan dia membuat omelan (kritikan?) yang bebal dan dangkal. Telah diperingatkan si tokan pancing, “jangan guna mata kail sungai, jika mahu memancing di birai umbai”.

Jika Irfan bersemangat mengkritik puisi menggunakan kaedah teori dari Barat, boleh malah bagus sekali sebagai asas permulaan. Akan tetapi, biarlah beradab dan tentunya berlandaskan ilmu sebenar.

Ketika membedah akal cetak seorang Irfan daripada lontaran pandangan rigidnya menemukan beberapa hal. Terkesan kurang, malah hampir tiada “medan rasa” dirinya yang empati terhadap alunan emosi bawah sedar (sub-conscious) si penyair disenyawakan dalam urat nadi puisi-puisi pemenang HSPM 2021/2022. Mengkritik biarlah seperti mengupas kayu gaharu. Melalui proses penyulingan, sehingga menjadi bahan baku kayu, lalu timbul semerbak bau. Bukan seperti “gelodak rambutan jantan” yang akhirnya “keris memakan tuan”.

Teguran begini juga secara harmoninya memberikan saran nasihat. Seharusnya Irfan jika mahu mengkritik karya-karya HSPM, bukan bertindak dakar dan berlagak pakar. Apabila diteliti tulisan Irfan, ternyata sekadar “kiambang akar tidak jejak ke dasar”. Irfan, apabila masuk ke gelanggang intelektual dunia kesusasteraan – bidang kritikan, bawalah muatan bahtera minda yang sarat ilmu di dada. Bukan bagai dibidalkan oleh orang-orang bijaksana, “berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi”.

Irfan mesti belajar menjadi cerdik membezakan antara langit dengan langit-langit. Kerana langit itu tinggi manakala langit-langit itu rendah. Apabila mengkritik karya sastera, kita perlu fokus pada disiplin teori-teori dan pendekatan-pendekatan tertentu, bersandarkan hujah-hujah yang kuat dan ampuh, juga ketat dan menyeluruh. Bukan secara semberono, mengutip serpihan dan perca kata-kata sambal lewa secara tergesa-gesa “ibarat tikus menebuk labu”. Sematkan di hati pesanan Mana Sikana (1983): “kritikan adalah suatu disiplin ilmu yang sistematik, yang membicarakan soal penghayatan, penganalisisan dan penilaian sebuah karya kreatif. Secara umumnya, bidang kritikan memerlukan penguasaan ilmu teori dan sejarah sastera”.

Jika Irfan bersemangat mengkritik puisi menggunakan kaedah teori dari Barat, boleh malah bagus sekali sebagai asas permulaan. Akan tetapi, biarlah beradab dan tentunya berlandaskan ilmu sebenar. Buatlah rujukan rinci, misalnya merujuk kerja-kerja kritikan Arbak Othman yang terkumpul dalam buku Semiotik dalam penelitian Puisi (Citra Kurnia, 2003). Tidak ketinggalan, Irfan mesti membaca juga buku Fikrah Sastera (DBP, 2021) oleh Shahrun Nizal Mohd Nor. Jika Irfan berupaya melakukan apa-apa yang telah disebutkan tadi, dipercayai keseimbangan dan keyakinan Irfan sudah tetap.

Perlu diperingatkan, Irfan wajar guna dan utamakan teori-teori hasil ciptaan intelektual tempatan. Boleh diaplikasi teori dari Barat, tapi biarlah sesuai dan berpada-pada. Tidak dinafikan, perkembangan awal teori kritikan sastera di Malaysia ditandai oleh kemasukan teori-teori sastera dari Barat. Kemasukan teori dari Barat ini melalui beberapa proses; penulisan para sarjana melalui buku terjemahan dan buku persendirian, sistem pendidikan di institut pengajian tinggi dan amalan kritikan awam oleh tokoh sarjana sastera. Buktinya, Muhammad Haji Salleh ada menterjemahkan buku Teori Kesusasteraan: Suatu Pengenalan oleh Terry Eagleton (DBP, 1988). Sebagai permulaan, Irfan wajar membaca Pengenalan Kritikan Sastera oleh M.K Danziger dan M.S Johnson (DBP, 1983) misalnya. Demi pengukuhan, Irfan wajib hadam pensejarahan setiap teori-teori tersebut dan buku oleh Sohaimi Abdul Aziz, Teori dan Kritikan Sastera: Modernisme, Pascamodernisme, Pascakolonialisme (DBP, 2014) yang dianggap paling sesuai. Jika inti pati buku-buku tersebut telah Irfan hadamkan, dipercayai kedudukan keilmuan Irfan beransur mantap.

Namun begitu, ingatlah, “jika memandang bulan di awan, jangan lupa rumput di bumi”. Irfan wajib berjati diri mengetahui juga pensejarahan perkembangan dunia kritikan di Malaysia dan membantu mengaplikasikan teori-teori sarjana tempatan. Secara ringkas:

… segalanya bermula dengan polemik kesusasteraan yang berkisar ‘Islam’ yang berlaku sekitar tahun 1970-an di antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad. Polemik tersebut telah mencetuskan benih teoretikal dalam kerangka pembinaan teori-teori kesusasteraan Melayu berasaskan Islam dan jati diri Melayu di negara ini. Sehingga pada tahun 1989, muncullah gagasan teoretikal tentang kesusasteraan Melayu pertama yang dikemukakan oleh Muhammad Haji Salleh – teori Puitika Sastera Melayu, kemudian Mohd Affandi Hassan – teori Pendidikan Estetika (daripada pendekatan Tauhid)/teori Persuratan Baru, diikuti pula Shafie Abu Bakar – teori Takmilah, seterusnya Hashim Awang – teori Pengkaedahan Melayu. Manakala Mana Sikana begitu rajin membuat bacaan dan kajian menemukan inti idealisme kepengarangan – teori Teksdealisme. Malah, Sohaimi Abdul Aziz turut menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan sastera Melayu – teori Rasa Fenomenologi. dan terkini muncul Abdul Halim Ali – teori Estetika Bersepadu.

Andai kesemua teori yang disebutkan tadi telah Irfan mengerti dan aplikasi, percayalah, ilmu kritikan Irfan sudah lengkap.

Sebelum sampai ke sempadan akhir tulisan ini, wajar dikemukakan petikan daripada dosen Maman S Mahayana:

… begitulah puisi. Ia seperti sosok makhluk yang bias mengaum, menangis, marah, rindu, diam, berbisik dan entah apa lagi. Jangan main-main dengan puisi, sebab ia akan menerkam, mengoyak dan menenggelamkan penyairnya, ketika terjadi pengkhianatan. Maka, cintailah puisi, seperti seorang ibu memperlakukan anak kandungnya.

Pesan terakhir buat diri saya dan juga semua, Keluarlah dari cangkerang pemikiran yang sempit dan terhimpit. Dunia sastera lebih luas ruang cakupannya, bukan sekadar hubaya-hubaya sayembara. Bebaskan minda daripada belenggu kemelut HSPM. Lihat dunia sastera Malaysia secara menyeluruh tetapi menjangkau jauh. Kagumi usaha gigih dan bersepadu, terutamanya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang sedang mengorak langkah untuk mencambahkan dan menyuburkan para pelapis baharu dan menyediakan prasarana berkreatif bagi para penulis muda untuk dekad akan datang. Tugasan begini menjadi tanggungjawab berat untuk dipikul oleh kita semua. Mengapa tidak kita dengan sepenuh keikhlasan terlibat menghulurkan bantuan?

_________________________

Ramlee Wahab ialah ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pemeriksa Kira-kira Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang juga menulis puisi.

Kredit Foto: Birmingham Museums Trust
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi