Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTeluk Intan – Tuan Haji Razali Mohd. Yussof yang juga Timbalan Presiden Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak (PENTAS) selain Ahli Jawatankuasa Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) telah dinobatkan sebagai Tokoh Penyair Negeri Perak 2025 baru-baru ini.
Pemilihan itu diumumkan dalam acara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-Sekolah Malaysia Peringkat Negeri Perak yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Puisi Nasional Negeri Perak 2025, di Dewan Alamanda, Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak.
Beliau yang juga ahli seumur hidup Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil pengiktirafan yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Encik Zainal Mohd. Jais.
Berasal dari Batu Gajah, Perak, Razali mendapat pendidikan awal di Tanjung Tualang hingga tingkatan tiga. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran menengah di Kuala Lumpur, dan seterusnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan perniagaan bank.
Sepanjang pelibatan beliau dalam dunia penulisan, karya beliau telah diterbitkan dalam lebih 60 akhbar dan majalah, serta lebih 20 antologi, termasuk kumpulan puisi persendirian terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), iaitu Selembar Demi Selembar .
Sajak-sajaknya turut termuat dalam empat buah antologi Sayembara Puisi Kemerdekaan terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), iaitu Aksara Merdeka, Jamung Merdeka, Lentera Zaman, dan Ke Sarang Cenderawasih.
Kini pada usia 70 tahun, beliau terlibat sepenuh masa dalam penerbitan drama televisyen dan dokumentari untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).