Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 08:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Banting – Hari Puisi Nasional (HPN) ke-23 meluluskan 11 Resolusi yang akan memasyarakatkan puisi kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya, serta memperkukuh peranan puisi dalam pembinaan insan dan tamadun bangsa.

Penganjuran kali ini bertemakan “Manusiawi dalam Puisi” yang dihadiri sebanyak 150 orang peserta dari seluruh negara di Hotel Villea Morib.

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kerajaan Negeri Selangor, dan Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) bersetuju menetapkan 11 Resolusi untuk diketengahkan.

Dr. Hashim Ismail (kiri) menyampaikan 11 Resolusi kepada Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP Puan Roziah Md Yunus, sambil diperhatikan oleh Presiden GAPENA Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan.Resolusi tersebut dibaca oleh Naib Presiden GAPENA, YBrs. Dr. Hashim Ismail, iaitu;

  1. Menyedari bahawa puisi mengandungi elemen keindahan dan kejujuran pada realiti transendental serta realiti fizikal.
  2. Menyedari bahawa puisi sebagai wahana jati diri bangsa yang perlu terus dilestari melalui pendidikan.
  3. Memahami bahawa penghasilan puisi bermatlamat membentuk jiwa mulia untuk manfaat duniawi dan ukhrawi.
  4. Mendesak supaya kurikulum puisi di sekolah tidak hanya dijadikan sebagai alat bahan bantu mengajar sahaja, tetapi dijadikan satu ilmu memanusiakan manusia dalam pendidikan, termasuk merentas disiplin ilmu.
  5. Mencadangkan Anugerah Penyair GAPENA diteruskan tanpa mengambil kira usia penyair atau senioriti.
  6. Mencadangkan program penulisan puisi tidak sekadar di bilik kuliah, tetapi turun ke jalanan dan alami alam sekitar.
  7. Mencadangkan untuk mengembangkan genre puisi melalui genre filem dan animasi.
  8. Mencadangkan penyair mapan menggerakkan kumpulan bacaan penulis muda.
  9. Merancakkan diskusi puisi dan kemanusiaan di ruang awam.
  10. Menggalakkan pelbagai aktiviti seperti sayembara, deklamasi dan penciptaan lagu puisi bagi menyebarluaskan genre puisi dalam kalangan masyarakat.
  11. Mencadangkan kepada Kementerian Komunikasi dan stesen televisyen serta radio menyiarkan kembali program deklamasi atau aktiviti puisi lain yang sesuai bagi memasyarakatkan genre puisi.

Turut hadir termasuklah Sasterawan Negara (SN) YBhg. Dato’ Dr. Zurinah Hassan; SN YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Fahd Razy; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus mewakili Ketua Pengarah DBP; Presiden GAPENA, YBrs. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan; dan Pengarah HPN ke-23 merangkap Timbalan Presiden GAPENA, Encik Zainal Mohd Jais.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi