Diterbitkan pada 5 Julai 2025, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bachok – Hilmi Rindu yang muncul dalam ranah sastera Melayu tanah air sejak era 1970-an disifatkan sebagai seorang penyair yang berupaya mendokumentasikan citra manusia, pengalaman budaya, menyemai nilai sejagat, dan menjulang kearifan tempatan dalam karyanya.

Ketua Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, YBrs. Dr. Muhammad Irfan Nyia Abdullah berkata, karya Hilmi Rindu bukan sahaja sarat dengan makna emosi dan budaya tetapi selari dengan simbolisme seni yang menzahirkan jiwa, adat serta falsafah bangsa.

Dr. Muhammad Irfan Nyia Abdullah

Hilmi Rindu berjaya mengangkat pengalaman hidup sebagai sumber nilai selain pendidikan yang bermakna menerusi karya-karyanya.

“Watak-watak dalam karyanya menjadi cerminan masyarakat Melayu yang penuh dengan kesederhanaan, ketekunan, kasih sayang, serta keinsafan,” katanya pada Seminar Pemikiran Sasterawan Negeri Terengganu, Hilmi Rindu, pagi tadi.

Seminar tersebut diadakan di Sudara Beach Resort, Bachok, Kelantan, sempena Perhimpunan Penulis Wilayah Timur 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 3 hingga 5 Julai 2025.

Seminar yang dipengerusikan oleh Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), YBrs. Sdr. Kamaruzzaman Ismail itu menampilkan tiga ahli panel, selain Muhammad Irfan Nyia Abdullah ialah, Mej. (Dr.) Mohamad Shafiq Mohamad Said (Shafiq Said) dan Sdr. Abd. Aziz Ibrahim (Abd. Aziz Purba).

Kata Muhammad Irfan Nyia, karya-karya Hilmi Rindu wajar diberikan perhatian menerusi wacana kesusasteraan kontemporari kerana mampu membuka ruang dialog antara generasi, membina semangat kebangsaan, selain memelihara akar tamadun Melayu melalui seni puisi.

Shafiq Said

Sementara itu, pandangan hampir sama dibentangkan oleh ahli panel Mej. (Dr.) Mohamad Shafiq atau lebih dikenali dengan nama pena Shafiq Said yang berpendapat, karya puisi Hilmi Rindu wajar diangkat pada mana-mana diskusi, berikutan kekuatan penghayatan penyair tersebut dari sudut kehidupan, budaya dan falsafah.

“Kebanyakan puisi-puisinya cenderung merakam jati diri yang kukuh, misalnya puisi ‘Selipar’, ‘Si Pembuat Keris’, ‘Guru Mengaji’, ‘Songkok dan Kasut’, ‘Pelita’, ‘Sabut’, ‘Tikar’, dan ‘Serai’.

“Semua itu secara eksklusif menggunakan imej yang mewakili kehidupan, budaya dan falsafah orang Melayu,” jelasnya.

Tambahnya, nama Hilmi Rindu sememangnya layak berada sebaris dengan para penulis mapan, namun jarang-jarang dibincangkan melalui wacana generasi penulis dan pembaca baharu.

“Mungkin karyanya tidak diberi ruang dalam kalangan pembaca generasi baharu yang lebih berpusat pada ruang media sosial.

“Atau, mungkin juga stamina Hilmi Rindu yang telah menghasilkan hampir 20 naskhah kumpulan puisi menyebabkan sukar untuk memilih satu kumpulan puisi yang boleh menjadi penanda aras untuk pembaca yang benar-benar menghargai karyanya,” katanya.

Abd. Aziz Purba

Sementara itu, ahli panel Abd. Aziz pula memandang sisi Hilmi Rindu sebagai penyair yang memiliki keunikan tersendiri dalam menyampaikan pesanan seninya kepada umum.

Katanya, misi pengkaryaan penyair tersebut bertepatan dengan prinsip dan wasilah ulama silam yang sentiasa menekankan prinsip amar ma’ruf nahi mungkar.

“Ini menjadi paksi asas perjuangan, teras pemikiran Hilmi Rindu yang terpancar sarat dalam karyanya, seperti ‘Lingkaran Sunyi’.

“Melalui karya itu, saya dapat mengesan yang Hilmi Rindu menyusun gerak rasa dan gerak jiwa bersama-sama pancaran mujahadah pencarian diri,” katanya.

Penyair Hilmi Rindu (tiga dari kiri) turut hadir mendengar pembentangan tentang isi pemikiran karya beliau.
Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi