Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBachok – Bagi memastikan peranan penting Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kekal relevan sepanjang zaman, institusi tersebut perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, para penulis harus menyesuaikan diri dengan platform baharu seperti e-buku, naratif digital, pentas audio visual, dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Pada masa yang sama, roh dan nilai sastera tetap perlu dijaga.
“Kita sedang melalui era globalisasi dan transformasi digital yang bukan sahaja memberikan peluang besar dalam usaha memperkasakan bahasa, sastera, budaya, dan pendidikan.
“Malah turut memberikan cabaran yang hebat, khususnya dalam aspek pembangunan sahsiah masyarakat,” katanya, semasa berucap merasmikan program Perkampungan Penulis Wilayah Timur 2025 di Sudara Beach Resort, Bachok, Kelantan, petang tadi.
Hadir sama Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), YBrs. Encik Jasri Kasim serta seluruh pimpinan persatuan penulis Kelantan dan Terengganu.
Program dengan tema “Pena Bertemu, Ukhuwah Bertaut” itu diadakan selama tiga hari, dari 3 hingga 5 Julai bertujuan untuk meningkatkan rangsangan kreativiti selain memupuk ukhuwah antara penulis di Wilayah Timur khususnya.
Dr. Hazami berkata, bahasa dan sastera perlu diangkat sebagai medan strategik untuk memperkukuh jati diri bangsa, mencambah pemikiran dan menyuburkan nilai kemanusiaan sejagat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru agar DBP Wilayah Timur dapat memainkan peranan sebagai rakan strategik yang komited dalam memayungi kepentingan penulis dan mendukung kelangsungan suara sastera yang berjati diri, bermaruah serta berwibawa di pentas nasional dan serantau.
“Tema perkampungan ini, ‘Pena Bertemu, Ukhuwah Bertaut’ amat bertepatan dengan aspirasi penganjuran program ini. Tema ini bukan sahaja mengajak masyarakat untuk berwacana tetapi turut mengajak khalayak untuk bersatu.
“Dan, perkampungan ini telah membuka medan pertemuan dan penyatuan para penulis serta persatuan penulis,” ujarnya.
Tambah Dr. Hazami, walaupun wujud kepelbagaian genre, pendekatan dan latar dalam kalangan penulis, namun matlamat tetap sama, iaitu memperkasakan bahasa, memperkaya sastera dan menyuburkan semula tamadun bangsa melalui penulisan.
Beliau berkata, kepelbagaian persatuan penulis di Kelantan dan Terengganu merupakan satu kekuatan, maka semangat kerjasama perlu diutamakan daripada persaingan yang boleh menjejaskan perpaduan penulis.
“Kita memerlukan jaringan ukhuwah yang erat agar suara sastera di Pantai Timur ini lebih tersusun, lantang dan berwibawa.
“Inisiatif yang diambil oleh DBP Wilayah Timur dengan mengadakan program perkampungan penulis ini sangat wajar sekali,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan agar program tersebut dijadikan sebagai acara tahunan dengan penggiliran tempat.
“Misalnya pada tahun ini, kita buat di Kelantan, tahun depan di Terengganu,” katanya.