Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Penulis skrip televisyen, drama, filem, dan teater Encik Subroto Katimin tidak menolak bahawa Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari boleh menjadi seorang pelakon terkenal seperti Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar.

Memandangkan kata beliau, minat Dato’ Rahman Shaari terhadap bidang drama bermula sejak zaman persekolahan ketika darjah enam (tahun 1961) lagi, beliau berlakon drama pentas sandiwara berjudul Hujan Darah di Sungai Muar di bawah arahan gurunya, Cikgu Amnah Mahmud.

Menyikap lagi zaman beliau di tingkatan dua, Subroto Katimin berkata, pada tahun 1963 ketika di Sekolah Menengah Derma, Kangar, gurunya Cikgu Arthur Durairaj meminta beliau menulis dan mengarahkan drama pentas peringkat sekolah.

“Beliau pun menulis skrip berjudul ‘Penyesalan’. Selain menulis skrip dan mengarah, beliau turut berlakon sebagai watak utama.

“Pelibatan awal ini menjadi titik tolak kepada perkembangan bakat lakonan dan persembahan beliau.

“Keterlibatan beliau dalam drama pentas diteruskan lagi apabila beliau menuntut di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.

Dato’ Rahman Shaari duduk di sisi isterinya semasa sesi pembentangan hari kedua Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari.

“Beliau berlakon dalam pementasan drama di bawah bimbingan guru bahasa yang juga seorang tokoh terkenal dalam bidang sastera dan pendidikan, iaitu Adibah Amin yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah itu.

“Kemudian diteruskan lagi ketika melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim pada tahun 1970.

“Beliau tidak hanya menjadi pelakon tetapi turut mengarah dan menulis skrip drama sendiri. Salah satu hasil karya awal beliau di MPSI ialah skrip drama ‘Jejakasari’, sebuah karya berbentuk purbawara yang memaparkan unsur sejarah dan budaya Melayu tradisional,” ujarnya.

Tambahnya, setelah tamat pengajian dan ketika Rahman Shaari memegang jawatan sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia, salah satu karya pentingnya ialah Harimau, iaitu adaptasi pentas daripada novel Harimau, Harimau karya sasterawan besar Indonesia, Mochtar Lubis.

Menurut Subroto Katimin, hal ini menunjukkan bahawa keputusan Rahman Shaari mengangkat karya luar yang sarat dengan nilai sedemikian ke pentas teater Malaysia membuktikan keterbukaan, ketajaman intelektual serta keberanian beliau untuk bereksperimen dengan bahan dramatik yang mencabar norma konvensional teater tempatan.

Oleh itu, beliau mengundang semua untuk hadir bersama-sama menyaksikan teater Suluh Peraba, sebuah naskhah pentas yang diadaptasi oleh Zakaria Ariffin daripada novel Rahman Shaari yang bakal dipentaskan di Auditorium DBP pada 16 dan 17 Mei 2025 nanti.

Beliau berkata sedemikian ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Mengenali Rahman Shaari dalam Drama”, dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi