Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 20:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dalam arena kesusasteraan kebangsaan, nama Rahman Shaari tidak pernah tenggelam. Beliau bukan sekadar seorang penyair prolifik, tetapi juga intelektual yang mendasari pandangannya dengan logik, penelitian dan sikap tidak berpihak secara membuta tuli.

Sikap inilah yang mengangkat Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari sebagai tokoh akademik yang kekal relevan dan dihormati dalam wacana sastera, bahasa dan politik.

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari.

Hal ini ditegaskan oleh YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mantan pensyarah dari Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya yang merupakan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dalam pembentangannya bertajuk “Pemikiran Rahman Shaari di Luar Sajak” dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari yang berlangsung pagi tadi.

Pembentangan tersebut memberikan fokus pada sisi pemikiran Rahman Shaari yang tersirat dalam karya kreatifnya.

“Rahman Shaari menulis untuk membentuk pemikiran yang tersendiri, yang mendidik dan mengajak pembacanya menilai (dan mengupas) sesuatu isu secara adil dan logik,” ujar Dr. Saleeh.

Rahman Shaari memperlihatkan keupayaan intelektual yang seimbang, seorang pemikir yang tidak terjerat dalam ketaasuban ideologi, tetapi tetap lantang menyuarakan pendirian.

Menurut Dr. Saleeh, dalam tulisannya yang memperincikan dasar bahasa dan pendidikan negara, seperti yang dimuatkan dalam buku Bahasa dan Sastera dalam Pendidikan, Rahman Shaari menegaskan keperluan menilai sesuatu dasar secara mendalam sebelum menolaknya secara total.

Menyentuh isu Program DLP (Dual Language Programme), beliau menulis, “Pertentangan antara dua hasrat baik, dan tiada hasrat buruk.”

Frasa ini menunjukkan kematangan beliau dalam menanggapi dasar kerajaan. Beliau tidak menolak, tetapi menganalisis secara bijaksana.

Menurut Dr. Saleeh, Rahman Shaari mengakui bahawa usaha memperkasakan pelajar harus dilakukan tanpa mengetepikan peranan bahasa kebangsaan, maka itu beliau menyarankan supaya DLP memperkukuh bahasa Melayu dan bukan sebaliknya.

Dalam dunia politik pula, Rahman Shaari tampil sebagai penulis yang kritis dan realistik. Antara karyanya termasuklah Zaman Mahathir (1983), Perhitungan Mahathir (1984), Politik Mahathir: Langkah & Perhitungan (1989), dan Politik Tuk Ketua: Yang Muram dan Tenteram (2021), yang secara tuntas mengupas selok-belok dunia politik tanah air dengan gaya penulisan yang tegas namun tetap berhemah.

“Istilah seperti ‘perompak’, ‘penyangak’ atau ‘hipokrit’ yang digunakan oleh beliau dalam penulisan politik bukanlah cacian, tetapi bentuk penegasan, yakni suatu analisis terhadap permainan kuasa yang penuh kejutan dan perubahan,” ujar Dr. Saleeh lagi.

“Rahman Shaari mempertahankan integriti sebagai ahli akademik yang enggan diikat oleh mana-mana dogma jika tidak sesuai dengan hujah yang sahih.

“Sebagai intelektual, Rahman Shaari tidak tergelincir untuk menjadi manusia pentaasub atau pengikut tanpa kepala,” tambah beliau lagi.

Sebagai Sasterawan Negara dan ahli akademik, Rahman Shaari telah memperlihatkan bahawa kesetiaan kepada ilmu, bukan kuasa atau dogma, ialah tunjang sebenar martabat seorang cendekiawan. 

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi