Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Mari kita berbahasa sebaiknya”, suatu ungkapan Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari yang bukan hanya seruan sastera semata-mata, tetapi juga sebuah peringatan berulang dalam puisi beliau yang menggamit renungan mendalam tentang peranan dan makna bahasa dalam masyarakat Malaysia.
Demikian inti hujahan pakar sastera, YBrs. Dr. Mohamad Shahidan, dalam sesi petang Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari, ketika mengupas tajuk “Konotasi dan Mitos Barthes dalam Puisi-puisi Rahman Shaari”.

Menurut beliau, pemikiran Rahman tentang bahasa tidak terhenti pada makna denotatif, malah melangkah jauh ke dalam wilayah konotasi dan mitos, seperti yang dihuraikan oleh ahli semiotik terkemuka, Roland Barthes.
“Bahasa ialah pengatur pucuk fikiran yang bertabur, pelentur ranting perasaan yang bersiur,” kutip Dr. Mohamad daripada puisi Rahman, sebelum menambah bahawa SN itu memberikan wajah puitis kepada makna bahasa yang lebih luas, menyentuh akar nilai dan jati diri masyarakatnya.
Bahasa yang digunakan oleh Rahman, menurut Mohamad Shahidan, bukan sekadar sistem lambang bunyi seperti yang difahami secara denotatif, tetapi satu wahana membina makna bersama.
Mari kita berbahasa sebaiknya.
Bahasa adalah pengatur pucuk fikiran yang bertabur,
bahasa adalah pelentur ranting perasaan yang bersiur.
Dengan bahasa, terlihat fakta padu,
terlihat sinar ilmu, terlihat cinta biru.
“Bagi Rahman, bahasa ialah ‘pengatur fikiran yang bertabur‘, ‘pelentur ranting perasaan yang bertabur‘, ‘fakta padu‘, ‘sinar ilmu‘, dan ‘cinta biru‘.”
Beliau menambah, “Bahasa (bagi Rahman) merupakan satu bentuk konotasi yang apabila diterima oleh masyarakat sebagai kebenaran mutlak, bakal membentuk mitos.”
Barthes, ujar Dr. Mohamad Shahidan, menyatakan bahawa dalam kehidupan bermasyarakat, konotasi yang berulang-ulang boleh bertukar menjadi mitos, iaitu sesuatu yang dianggap sebagai “semula jadi”, walhal kehidupan bermasyarakat ialah hasil pembinaan budaya dan sejarah.
Dengan konotasi-konotasi ini pada bahasa, Rahman selanjutnya mengungkapkan bahawa:
Dengan bahasa,
pemimpin memaparkan arah
di pentas siasah.
Dengan bahasa,
orang beriman menikmati ibadah
khusyuk dan pasrah.
Dr. Mohamad menekankan bahawa puisi Rahman tidak terpisah daripada kesedaran politik dan sosial. Bahasa digunakan sebagai alat pembinaan bangsa, namun dalam masa yang sama diselubungi oleh mitos – antaranya, termasuklah anggapan bahawa bahasa Melayu tidak bernilai dalam sektor ekonomi atau ilmu tinggi.
Pujukan berulang Rahman Shaari, “Mari kita berbahasa sebaiknya”, menurut Dr. Mohamad Shahidan, ialah satu bentuk kesedaran puitik Rahman terhadap sikap sambil lewa masyarakat terhadap bahasa ibunda.
Dalam sejarah panjang pascakolonial, bahasa Melayu sering kali ditanggapi sebagai kurang berprestij, yang merupakan suatu mitos yang perlu dileraikan dengan semangat konotasi yang segar.