Oleh Marsli N.O
Diterbitkan pada 4 Mei 2025, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sempena menghormati pemergian penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, Mario Vargas Llosa, Marsli N.O membicarakan beberapa eseinya yang terhimpun dalam sebuah buku yang diterbitkan di Indonesia pada tahun 2018.

Llosa mengingatkan bahawa hakikat sastera adalah untuk membangkitkan kegelisahan manusia atas penindasan yang mungkin dialami oleh mereka.

Salah seorang penulis masyhur dan hebat dari Amerika Latin, Mario Vargas Llosa, peraih Hadiah Nobel Kesusasteraan 2010 telah meninggalkan kita pada Ahad, 13 April 2025 yang lalu. Beliau terkenal dengan ungkapannya, “Betapa kesusasteraan itu berbahaya dan membangkitkan sikap memberontak dalam diri kita.”

Mario Vargas Llosa pada tahun 1988. (Sumber: Regina Kühne, Universitätsarchiv St.Gallen/Wikipedia)

Menurut Mario Vargas Llosa, sastera bukan sekadar karya seni tetapi wahana yang membentuk pemikiran dan kesedaran. Sikap dan falsafah kepengarangan beliau mengenai “kartografi struktur kekuasaan dalam melawan tekanan, perlawanan, pemberontakan, serta kekalahan individu” jugalah yang memungkinkan dirinya terpilih untuk meraih Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Kegemaran mengumpul dan membaca buku-buku pengarang besar dunia dalam terjemahan Indonesia menemukan saya dengan salah satu buku Mario Vargas Llosa, penulis karya fiksyen dan bukan fiksyen yang berasal dari Peru ini.

Sepanjang hayat kepengarangan beliau sekitar 60 tahun, selain karya fiksyen, Llosa juga banyak menulis esei yang membahas tentang sastera. Beberapa esei terbaik tersebut dikumpulkan dalam buku Matinya Seorang Penulis Besar yang diterbitkan oleh Immortal Publisher dan Octopus, Indonesia pada tahun 2018. Di dalam buku ini, esei dan ucapan saat penerimaan Hadiah Nobel beliau diterjemahkan oleh Ronny Agustinus.

Pada bahagian catatan penterjemah, Ronny Agustinus menjelaskan bahawa esei yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia ini diambil daripada empat buku kumpulan esei sastera Llosa, iaitu Contra viento y marea, La verdad de las mentiras, El lenguaje de la pasión, dan La civilización del espectáculo, selain teks pidato penerimaan Hadiah Nobel Sastera beliau.

Melalui esei-esei dalam buku ini, pembaca dapat mengesan tahap pemikiran Llosa. Bermula Llosa sebagai seorang pemuda yang bersimpati pada sosialisme, kemudian setelah berangkat dewasa menjadi Llosa yang liberal dan ketika tua Llosa sebagai si penggerutu yang membenci perkembangan zaman.

Pandangan Llosa terhadap sastera dapat dibaca dalam eseinya yang berjudul “Sastera itu Api” (1967), “Benarnya Kebohongan” (1989) dan pidatonya yang diberi judul “Pujian untuk Membaca dan Karya Fiksi” (2010).

Dalam esei “Sastera itu Api”, Llosa menyoroti sulitnya menjadi penulis di tengah-tengah masyarakat yang tidak suka membaca, yang tidak mampu membeli buku, atau mereka yang boleh membaca, tetapi tidak menyukainya. Menurut Llosa, kehadiran penerbit, pembaca dan lingkungan yang berbudaya ialah syarat utama untuk mencipta iklim celik huruf dalam masyarakat.

Llosa mengingatkan bahawa hakikat sastera adalah untuk membangkitkan kegelisahan manusia atas penindasan yang mungkin dialami oleh mereka. Beliau juga beranggapan bahawa bukti cinta penulis terhadap negaranya dapat dilihat daripada kerasnya kritikan yang disampaikan melalui tulisan-tulisan mereka. Bagi Llosa, penulis tidak boleh berkompromi dengan ketidakadilan kerana segala bentuk kompromi dalam ranah sastera merupakan suatu pengkhianatan.

Tugas dan peranan mulia yang dipanggul oleh sastera ditegaskan oleh Llosa dalam eseinya, “Benarnya Kebohongan”. Llosa membuka esei ini dengan kenyataan:

Sejak saya mengarang cerita pertama saya, orang sudah bertanya apakah yang saya tulis itu ‘benar’. Kendati jawaban saya kadang memuaskan keingintahuan, tiap kali menjawab pertanyaan yang khas itu, seberapa pun jujurnya, saya tertinggal dengan perasaan tidak enak karena telah mengucapkan sesuatu yang tak pernah kena pada pokok permasalahan.

Apakah novel itu benar atau bohong bagi sebagian orang sama pentingnya dengan apakah novel itu baik atau buruk, dan banyak pembaca dengan sadar atau tidak sadar – menilai yang belakangan ini dari yang pertama tadi.

Secara garis besar, esei tersebut membahaskan ketidaksesuaian sesebuah novel (atau karya fiksyen yang lain) dengan keadaan realiti yang ada di sekelilingnya. Menurut Llosa, fiksyen memang pada dasarnya berbohong kerana fiksyen hadir untuk meredakan watak manusia yang tidak puas dengan nasib dirinya dan menginginkan hidup yang berbeza daripada apa-apa yang sedang mereka jalani.

Fiksyen tidak ditulis untuk mengisahkan ulangan realiti kehidupan nyata, tetapi untuk mengubahnya dengan menambahkan sesuatu. Seberapa pun terasa dekatnya sebuah karya fiksyen dengan kenyataan, kedua-duanya tetap tidak dapat dijadikan perbandingan kerana adanya jurang antara kata dengan fakta, serta antara waktu yang nyata dengan waktu dalam fiksyen. Lalu, apakah yang ditawarkan oleh karya fiksyen?

Sebelum menjawab pertanyaan itu, perlu difahami dahulu bahawa kebenaran sesebuah fiksyen tidak bergantung pada ada-tidaknya kekeliruan sejarah dalam isi ceritanya, tetapi bergantung pada kandungan bujukan dan saranan, daya komunikatif khayal, dan keterampilan magisnya. Llosa menyebut fiksyen sebagai genre yang tidak memiliki kepedulian terhadap moral (amoral) kerena fiksyen memiliki aturannya yang tersendiri dalam usaha menilai kebenaran dan kebohongan dari sisi estetikanya.

Tegas Llosa, kebohongan yang ditawarkan oleh karya fiksyen ialah kebohongan yang menyenangkan, lantas memberikan kompensasi (ganti rugi atau pampasan) terhadap rasa kecewa manusia. Kebohongan ini memang bukan untuk menampilkan realiti hidup, tetapi untuk menampilkan hasrat-hasrat terpendam yang bergejolak dan mimpi-mimpi indah yang nikmat bagi manusia.

Bagi Llosa, fiksyen meredakan sementara ketidakpuasan manusia, juga memberikan bara di dada mereka. Hal inilah yang dianggap berbahaya bagi setiap rejim tirani. Mereka yang menjalani hidup yang tidak dimiliki oleh diri sendiri seakan-akan suatu biang keresahan dan ketidaksepakatan dengan eksistensi, yang mungkin memicu timbulnya pemberontakan, serta sikap tidak tunduk terhadap kemapanan.

Hal kedua yang dibahas dalam esei tersebut ialah hubungan antara kebenaran sastera dengan kebenaran sejarah. Dalam pandangan Llosa, rekonstruksi masa lalu dalam sastera nyaris selalu palsu kerana kebenaran sastera dan kebenaran sejarah merupakan dua perkara yang berbeza.

Kebenaran sastera—meski penuh kebohongan—mengisahkan pengulangan sejarah yang tidak mampu atau tidak sanggup ditulis oleh seorang ahli sejarah. Sastera pula memiliki teknik dan daya untuk mengungkapkan kebenaran yang tersembunyi di jantung kebohongan manusia. Hanya orang-orang naif sahaja yang menganggap bahawa sastera harus objektif dan setia terhadap kenyataan atau realiti. Hal yang kemudiannya menjadi persoalan adalah ketika kebenaran sastera dan kebenaran sejarah mulai berbaur dan saling bertukar sifat dan identitinya.

Bagi Lhosa, peradaban tontonan tersebut terjadi dalam segala ruang dan pelosok kehidupan; tidak terkecuali juga dapat dilihat pada sastera dan jurnalisme.

Sementara itu, dalam pidato “Pujian untuk Membaca dan Karya Fiksi”, Llosa mengisahkan masa kecilnya yang dipenuhi dengan kegiatan membaca dan menulis. Kegemaran Llosa terhadap sastera juga lahir kerana keluarganya sendiri yang mendukung keinginannya untuk menjadi penulis. Hal inilah yang seharusnya ditiru oleh para orang tua agar menanamkan minat dan kegiatan membaca kepada anak-anak sejak awal usia. Bukan untuk menjadikan anak mereka penulis, tetapi agar kesedaran kritis dapat tumbuh lebih awal lagi.

Tiga esei Llosa lain yang berjudul “Nona dari Somerset” (1983), “Sastera dan Eksil” (1968) dan “Matinya Penulis Besar” (1994) membahaskan hal penulis dan aktiviti kepenulisannya. “Nona dari Somerset” ialah sebuah obituari terhadap Margaret Elizabeth Trask—seorang penulis cerita romantik yang sampai akhir hayatnya tidak menikmati populariti kerana menolak untuk menyesuaikan standard moralnya dengan zaman.

Dalam esei “Sastera dan Eksil”, Llosa menegaskan bahawa tidak menjadi suatu masalah apabila seorang penulis menulis di luar negeri asalnya kerana yang dinilai daripada penulis ialah kedisiplinan dan kejujurannya dalam menulis. Jika dia menulis lebih baik di negerinya, maka menetaplah di sana. Sementara itu, jika dia menulis lebih baik saat terbuang dari tanah airnya (buangan), biarkan si penulis tetap di sana. Esei “Matinya Penulis Besar” pula membahaskan hal sisi positif dan negatif akan hilangnya penulis “besar” atau penulis yang mempunyai kemasyhuran dan ketokohan.

Lhosa memulakan eseinya ini dengan memetik Henri Raczymow yang menyatakan betapa “tidak ada lagi penulis besar” kerana demokrasi dan pasaran tidak sejalan dengan teladan mentor intelektual, sebagaimana yang diwakili oleh tokoh zaman seperti Voltaire, Zola, Gide, atau Sarte.

Dengan nada sinis, Lhosa menyoal, “Mengapa tidak ada penulis kontemporari yang menulis dan terpacu, klaiknya mereka, oleh iming-iming keabadian? Sebab, semuanya jadi yakin bahawa sastera tidaklah abadi namun fana, dan bahawa buku-buku ditulis, diterbitkan, dibaca (kadang-kadang), lantas lenyap selamanya.”

Selain membahas sastera dan penulisnya, Llosa juga menulis pelbagai kritikan dalam eseinya. Kritik tersebut dapat ditemukan dalam “Menjenguk Karl Marx” (1966), “Epitaf untuk Sebuah Perpustakaan” (1997), “Zaman Tukang Obat” (1997), dan “Peradaban Tontonan” (2012).

Esei “Menjenguk Karl Marx” merupakan kritikan Llosa terhadap Dean Street (nama jalan) yang saat ini hanya dijejali dengan rumah pelacuran. Padahal satu waktu dahulu, Karl Marx mengerjakan kerja intelektual dan kreatifnya di Dean Street. Jejak intelektual Marx seakan hilang tanpa bekas di sana.

Esei “Epitaf untuk Sebuah Perpustakaan” pula berisi kekesalan Llosa kerana British Library yang menjadi tempatnya menghabiskan waktu terpaksa dipindahkan ke St. Pancras yang tersohor kerana pelacur dan muncikarinya. Bahkan, Llosa bersumpah tidak akan menginjakkan kakinya ke sana jika sampai betul-betul tidak ada pilihan lain. Esei “Zaman Tukang Obat” berisi ketidaksetujuan Llosa terhadap pandangan Baudrillard mengenai kewujudan dan keberadaan manusia pada zaman yang disebutnya sebagai Zaman Representasi Akhbar.

Esei terakhir buku ini, berjudul “Peradaban Tontonan” secara langsung mahupun tidak, menggambarkan peralihan sikap Llosa menjadi orang tua penggerutu, seperti yang disebut oleh Ronny Agustinus dalam catatan penterjemah. Pergeseran budaya intelektual menjadi budaya hiburan sehingga dunia hari ini hanya menjadi peradaban tontonan untuk memuaskan hasrat bersenang-senang merupakan hal yang dikritik oleh Llosa dalam esei ini.

Diperjelaskan Lhosa dengan tuntas dalam eseinya ini betapa:

Apa yang kita maksudkan dengan peradaban tontonan? Yakni adalah dunia di mana tempat teratas dalam skala nilainya diisi oleh hiburan, di mana bersenang-senang. lari dari kesuntukan, menjadi hasrat universal. Punya ideal hidup yang seperti ini tentu sah-sah saja. Hanya seorang puritan fanatik yang akan mencerca anggota masyarakat yang ingin mencari hiburan, rekreasi, humor, dan keasyikan dalam hidup yang umumnya dikepung oleh rutinitas yang menghimpit dan kadang menjumudkan. Namun, mengubah kecenderungan alami untuk bersenang-senang itu menjadi nilai utama kadang punya konsekuensi tak terdu-ga: banalisasi kebudayaan, menyebarnya kedangkalan, dan khususnya di bidang informasi, merebaknya jurnalisme tak bertanggung jawab yang hidup dari gosip dan skandal.

Bagi Lhosa, peradaban tontonan tersebut terjadi dalam segala ruang dan pelosok kehidupan; tidak terkecuali juga dapat dilihat pada sastera dan jurnalisme. Llosa menyoroti dominasi sastera ringan, remeh serta hanya bertujuan untuk menghibur dan tidak lagi mampu menumbuhkan fikiran kritis kepada pembaca akhir-akhir ini. Tidak lupa, Lhosa juga menyoroti berkembangnya jurnalisme murahan, yang hanya menghadirkan berita-berita tidak penting dan mencari sensasi daripada kisah tokoh masyarakat, daripada menghadirkan laporan jurnalisme yang kritis, mendalam dan mencerahkan.

Sebagai kesimpulan, himpunan esei Llosa ini seakan-akan hendak meneriakkan betapa peranan kaum intelektual memudar di tengah-tengah masyarakat masa kini. Menurut Llosa, hal ini terjadi kerana dua hal. Pertama, tercemarnya generasi intelektual oleh totalitarianisme Nazi dan Soviet yang secara tidak langsung dianggap menghalalkan rejim-rejim yang bertanggungjawab atas genosid dan pelanggaran hak asasi manusia. Kedua, konsekuensi langsung daripada minimumnya pengaruh pemikiran dalam peradaban tontonan.

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected]Artikel ini diubah suai daripada nota percakapan untuk peserta Bimbingan Penulisan Kreatif (Puisi dan Cerpen) pada 20 November 2024 (Rabu) di Auditorium Mahyudin, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

Kredit Foto: El Universal Online dan Regina Kühne, Universitätsarchiv St.Gallen/Wikipedia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi