Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLima, Peru – Untuk penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2010, Mario Vargas Llosa, kesusasteraan itu berbahaya; sastera membangkitkan sikap memberontak dalam diri kita.
Petikan itu menjelaskan kepada audiens, Vargas Llosa percaya bahawa sastera bukan sekadar karya seni tetapi wahana membentuk pemikiran dan kesedaran.
Mungkin kerana kepercayaan itu, Vargas Llosa pernah mencalonkan diri sebagai Presiden Peru pada tahun 1990 menerusi Frente Democrático (FREDEMO), yang menyokong dasar ekonomi pasaran bebas.
Semua itu kini menjadi sebahagian lipatan sejarah, kerana Ahad lalu, Mario Vargas Llosa meninggal dunia, seperti yang diumumkan oleh keluarganya menerusi laman sosial, X.
Menurut kenyataan media itu, anak sulungnya, Alvaro menyebutkan bahawa Vargas Llosa menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang, dikelilingi oleh ahli keluarga terdekat.
Dilahirkan pada 28 Mac 1936 di Arequipa, Peru, Mario Vargas Llosa adalah antara nama yang paling menonjol dalam gelombang ledakan sastera Amerika Latin pada tahun 1960-an dan 1970-an, bersama tokoh-tokoh lain seperti Gabriel García Márquez dan Julio Cortázar.
Karya beliau bukan sahaja memukau pembaca dengan naratif yang kompleks dan tajam, tetapi juga memberikan gambaran mendalam mengenai kuasa, masyarakat dan identiti individu di Amerika Latin.
Antara novel beliau yang terkenal termasuk La ciudad y los perros (1963), La casa verde (1966) dan Conversación en La Catedral (1969).
Karya-karya ini membawa nama beliau ke peringkat antarabangsa dan menjadikannya suara penting dalam sastera dunia.
Dalam dunia politik, Vargas Llosa dianggap sebagai antara tokoh politik yang lantang malah pernah bertanding sebagai presiden negara itu sebelum tewas kepada Alberto Fujimori.
Sepanjang hayatnya, Vargas Llosa menerima pelbagai anugerah dan penghormatan, termasuk keahlian dalam Akademi Perancis — satu penghormatan yang luar biasa bagi seorang penulis bukan berbahasa Perancis.