Diterbitkan pada 4 Mei 2025, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Azrin Fauzi mengulas sesi bual bicara “Melakar Rentong, Melukis Ranjau” yang berlangsung di galeri RumahLukis pada 19 April 2025, sempena penyatuan kreativiti dan interpretasi karya seni Saiful Razman dan Jalaini Abu Hassan dengan karya tulisan awal Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Dunia berputar kerana kita ada masalah …

Ketika sedang meremaja, saya pernah menatap sebuah catan landskap yang bukan seperti catan landskap yang pernah saya tatap sebelumnya. Bukannya suatu bingkai yang menggantung alam dengan permai. Melainkan suatu bingkai yang berada dalam karya dengan siri imej alam bendang yang berulang dan hampir serupa. Bukannya sapuan cat air mahupun palitan akrilik dengan lenggok alam yang memanggil. Melainkan label yang menerangkan—dengan begitu terangnya—seperti “FRAME”, “IMAGE”, “TITLE”, dan “SIGNATURE” yang menggamit: Apa judulnya? Siapa yang membikinnya? Ketika menapak keluar dari galeri, saya membawa pulang rasa bingung dan kagum.

Dalam suatu sesi bual bicara, “Melakar Rentong, Melukis Ranjau” yang berlangsung di galeri RumahLukis pada 19 April 2025 baru-baru ini, seniman Saiful Razman menjelaskan hal landskap itu sendiri sebagai “cara fikir” apabila berlakunya dialog antara langit (yang mewakili akal) dengan bumi (yang mewakili tubuh). Dan inilah yang terjadi sewaktu membikin instalasi Tugu Atas Bukit (2022) yang terinspirasi daripada novel Rentong (1965) tulisan Shahnon Ahmad.

Para hadirin menonton video daripada instalasi Tugu Atas Bukit (2022) bikinan Saiful Razman yang terinspirasi daripada novel Rentong tulisan Shahnon Ahmad.

Dalam sebuah video yang ditayangkan sewaktu sesi percakapan ini, yang juga merupakan sebahagian daripada instalasi tersebut, dapat dilihat bagaimana seniman ini menginterpretasikan semula langit dan bumi Rentong ke dalam Tugu Atas Bukit: ada kuasa dan seksualiti Melayu yang masih membara dalam cara manusia mendepani alam. Latar sawah padi Kampung Banggul Derdap yang tidak boleh diganggu aturan hidupnya—ditegaskan oleh Semaun dalam Rentong sebagai suatu yang “ta’ boleh melangkah adat resam to’ nenek moyang walau mendapat keuntongan empat kali ganda sakali pun” sewaktu dipujuk oleh ketua kampung, Pak Senik, kerana enggan bersepakat dengan penduduk kampung yang lain untuk mengerjakan sawah padi dua kali setahun agar mereka layak menerima bantuan daripada kerajaan.

Hal ini diadaptasi menerusi ekranisasi pada latar tanah di kawasan bukit Kampung Changkat Jong, yang juga tidak boleh dikacau keras-liat sifatnya. Watak Ngah Berahim yang “dibaca” dalam Tugu Atas Bukit menampilkan bahawa tanah itu tanah yang bermitos bilamana sebuah jong yang membawa pengantin telah terkandas di atas bukit itu, atas sumpahan Sang Kelembai dahulu.

Kata Amirah selaku “orang luar” yang diminta oleh ketua kampung itu untuk memujuk Yop Pin agar bersepakat untuk menjual tanah miliknya di kampung mereka kepada pemaju untuk dijadikan jirat Cina, “Cerita keramat macam ni bernilai, Ngah.

Jelas Saiful Razman dengan pengkaryaan yang sering bertumpu pada landskap konseptual, “Dunia berputar kerana kita ada masalah.”

Sarah Abu Bakar (di bangku) berkongsi tentang pengalamannya membaca Rentong sewaktu menulis tentang karya Saiful Razman (kanan), Tugu Atas Bukit.

Sememangnya, alam tidak pernah bersalah apatah lagi bermasalah. Dan watak Amirah yang dihadirkan selaku “orang luar” untuk memulihkan batin para lelaki di kampung ini bukan sahaja menyerlahkan peranan wanita dalam naratif, malah menjadi lambang alam itu sendiri: subur, misteri, lagi sukar ditebak. Terutamanya dalam syot-syot tangan wanita ini yang sedang membahagi-bahagikan, mengepal-ngepalkan dan membentuk-bentukkan seketul tanah liat dengan suara latar (voice over) perbualannya dengan Yop Pin tentang tanah. Landskap yang tidak sempat subur dalam Rentong dan landskap yang sedia kala gersang dalam Tugu Atas Bukit menjelma berkali-kali sebagai suatu “cara fikir” orang Melayu. Juga sebagai suatu realma imaginasi alam Melayu.

Dalam usaha menerokai hasil kerja seni Saiful Razman, penulis seni Sarah Abu Bakar berkenal-kenal dengan novel pertama Sasterawan Negara kedua yang berjudul Rentong ini. Dia mulai berasa seperti sedang berada di luar wilayah selesanya. Katanya, “Landskapnya asing tetapi dekat.” Tidak seperti Shahnon Ahmad dan Saiful Razman yang mendewasa di kampung, saya fikir dan saya rasa hal yang sama seperti hal yang dimaksudkan oleh Sarah Abu Bakar sebagai manusia-manusia yang membesar di kota lantas menjadi “orang luar” sewaktu mendepani karya Shahnon Ahmad. Bahasanya lincah dan menggamit kita untuk masuk ke dalam teks, tetapi apa-apa yang diceritakan mulai mengeruh dengan getir yang menggetar, yang membuatkan kita berasa tidak selesa.

Hal yang sama dibangkitkan oleh pengarang Wan Nor Azriq yang juga dibesarkan di kota. Mengaitkan dengan idea-idea kemodenan, Wan Nor Azriq melihat wujudnya pertembungan kemodenan dengan tradisi dalam karya-karya Shahnon Ahmad, seterusnya dalam karya Saiful Razman.

Watak ketua kampung—dengan kuasa—seperti Pak Senik dan Ngah Berahim menjadi semacam utusan yang cuba membawa masuk idea-idea kemodenan ini ke dalam nilai-nilai tradisi orang kampung. Dalam Rentong, Pak Senik turut menegaskan, “Mereka tidak tahu. To’ nenek kita semua-nya pekak2. Sekarang bukan zaman to’ nenek moyang lagi. Sekarang bukan zaman orang puteh. Sekarang kita sudah merdeka. Kita perintah diri kita sendiri. Dan kita-lah mesti menolong diri kita sendiri.” Manakala dalam Tugu Atas Bukit pula, Ngah Berahim menyindir sifat degil orang kampung itu “macam batu, tapi batu kalau dilalukan air selalu, hancur juga.

Saya pernah meng“alam”i instalasi Tugu Atas Bukit ketika dipamerkan untuk Hanya SatuSingle di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur pada tahun 2022 dahulu. Selain video dan siri fotografi yang menangkap landskap dan alam Kampung Changkat Jong, berguni-guni pasir yang disusun secara bertindihan memberatkan lagi idea kemodenan dalam kerja seni ini apabila pembangunan dijelmakan sebagai suatu yang fizikal dalam instalasi ini. Kerana guni-guni yang mengandung pasir ini hanya diberitahu dalam keterangan tentang karya semata-mata, objek yang berkampit-kampit ini ada kalanya mengingatkan saya pada beras, mengingatkan saya pada sesuatu yang tidak terlihat, sesuatu yang “mungkin” daripada Rentong yang telah menginspirasikan instalasi ini. Berjalan dalam kerja seni ini, landskap mulai menjadi dunia yang digambarkan dengan deria, dunia berperspektif. Alam berhubungan langsung dengan tubuh, di mana kita bukanlah benar-benar bergerak di dalam ruang tetapi ruang yang bergerak dengan kita.

Dua nilai inilah yang kekal bersipongang dalam karya-karya Shahnon Ahmad …

Dalam mendepani rasa rindu (longing) dan kekitaan (sense of belonging) dek keberadaan diri di tanah asing sewaktu menuntut di sekolah seni, seniman Jalaini Abu Hassan mulai mencari-cari makna diri, mencari-cari bahantara yang akan “bercakap” menerusi karya-karyanya. Yang seterusnya menemukannya dengan bitumen. Dengan rona yang mengimbau, bahan—persis warna kulit sawo matang Melayu—dengan subjeknya mulai serasi lalu membincangkan hal-hal tradisi dengan kemodenan Melayu, alam sekitar dengan alam buatan, juga kedesaan dengan kekotaan.

Jalaini Abu Hassan berkongsi tentang pengalamannya membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan.

Dengan rona yang membawanya pulang, dunia desa yang bermain dengan ketenangan dan kekacauan (chaos) serta dunia mistik Melayu yang sering menjelma dalam pengkaryaannya ialah dunia keseronokan dan tragedi yang pernah dia temui dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan (1966) tulisan Shahnon Ahmad. Selain imej paradoks dan ironi yang dimunculkan dalam Panjat Periuk Nasi (2025) dan Jaga Periuk Nasi (2025) dan sebilangan catan landskap dalam siri Siang & Malam: The Landscape in Mind seperti yang dinyatakan oleh Sarah Abu Bakar, saya tertarik apabila Jalaini Abu Hassan menghadirkan watak-watak daripada memorinya, daripada lingkungan peribadinya seperti bomoh dan pawang ke atas kanvas.

Watak-watak yang menjadi perantara di dunia nyata kita, di antara alam realiti yang kita nafasi dengan alam ghaib yang tak mampu kita fahami, apabila diangkat di atas kanvas, turut menjadi “perantara” di dunia karyanya, di antara alam realiti kita di dalam ruang lengang galeri dengan alam imaginasi yang sedang “bercakap” di sebelah sana, alam yang sedang kita fahami selaku penatap.

Dan percakapan senyap inilah yang kuat didengar oleh watak-watak ciptaan Shahnon Ahmad, bukan sahaja dalam Ranjau Sepanjang Jalan, malahan telah bermula sejak novel pertamanya lagi, Rentong, sehingga menjadi suatu obsesi, sehingga menjadi suatu kegilaan.

Sebelum Lahuma mendengar suara fikirannya sehingga menjadi obses untuk mengerjakan sawah padinya sampai siap, sebelum Jeha mendengar suara fikirannya untuk melunaskan obsesi suaminya sehingga menjadi gila, digambarkan Semaun yang terlebih dahulu terlalu mendengar suara fikirannya sendiri sehingga alam tidak boleh langsung disakiti.

Jelas Wan Nor Azriq, “Rentong ialah DNA kepada karya-karya Shahnon seterusnya.” Dan dunia Kampung Banggul Derdap terus-menerus menampilkan alam—dalam Ranjau Sepanjang Jalan dan seterusnya, Srengenge (1973)—sebagai sesuatu yang telah begitu “jauh” (bukan secara fizikal) dengan watak-wataknya. Tidak lagi “dekat” seperti “to’ nenek moyang” Melayu terdahulu. Landskap, kalaupun sebahagian daripada diri, kerana apa-apa yang ditanggapi melalui deria dan mindanya, menjadi asing dan dianggap sebagai musuh atau watak antagonis yang memalapetaka—yang merentong, yang meranjau.

Salah seorang hadirin, pembikin filem U-Wei Haji Saari memberikan pandangannya terhadap video Tugu Atas Bukit sebelum berkongsikan pengalamannya membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan berserta novel-novel Shahnon Ahmad yang lain.

Saya teringat akan kata-kata Latiff Mohidin: “Dalam berkarya, seharusnya ada hanya dua nilai: hebat, dahsyat.” Dan dua nilai inilah yang kekal bersipongang dalam karya-karya Shahnon Ahmad. Dua nilai ini jugalah yang menggema bersama dengan label-label daripada stensil seperti “SURFACE”, “GRAVITY” dan “EDGE” tatkala saya menatap “catan dalam catan” dengan siri imej alam bendang yang berulang dan hampir serupa itu. Imej seorang pesawah yang sedang membajak sawah dengan menggunakan seekor kerbau beransur-ansur berubah, daripada garis-garis pensel dengan perspektif, kepada warna-warna cat air, sehinggalah kepada sekeping foto yang berwarna—menjadi suatu proses pembikinan sesebuah karya landskap.

Menjadi landskap yang sedang menjadi. Menjadi landskap atau “pemandangan Malaysia teragung” yang masih dan akan kekal menjadi, sesudah sekian lama saya sebagai salah seorang pengunjung yang menapak keluar dari galeri. Sesudah sesiapa pun menapak keluar dari galeri.

Sesi bual bicara “Melakar Rentong, Melukis Ranjau” ini merupakan sebahagian daripada acara yang mengiringi pameran “Kebuk Semaian” di galeri RumahLukis dengan kerjasama Punggok Agency, bersempena meraikan 60 Tahun Shahnon Ahmad sebagai novelis pada tahun ini.

_________________________ 

Azrin Fauzi menulis cerpen dan esei. Beliau menetap di Kuala Lumpur.

Kredit Foto: Aizat Muntazar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi