Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuhammad Lutfi Ishak merenungi kebijaksanaan dalam sekeping lukisan.
Kenyataannya pada masa kini, tidak ada ruang yang lebih mudah untuk menyarukan kebaikan dan keburukan, selain dalam sastera dan seni.
Ada tiga nilai utama yang pasti berkumpul dalam suatu karya seni atau sastera yang baik, iaitu nilai keindahan, berfaedah dan benar. Jika ketiga-tiga nilai tersebut tampil, maka karya seni atau hasil sastera itu pasti membijaksanakan. Keindahan menyentuh soal jasmani yang boleh dicerap pancaindera, termasuk soal keharmonian bentuk dan susunan. Dalam konteks puisi atau prosa, hal ini berkait rapat juga dengan pemilihan kata yang sesuai dan tepat. Makin sempurna aspek keindahan, maka kesan kesedapan dan kesenangannya makin besar kepada perasaan. Berfaedah pula menyentuh kesan kepada individu atau masyarakat. Dalam dunia seni dan sastera moden, hal ini paling ditentang oleh golongan yang memperjuangkan seni untuk seni.
Kebenaran pula menyangkut soal yang paling utama. Takrifan pada kebenaran sangat akrab dengan pandangan alam. Dalam konteks pandangan alam Islam, kebenaran itu sentiasa berkait rapat dengan tiga soalan asasi kehidupan, iaitu dari mana kita berasal, untuk apa kita hidup dan ke mana kita akan tujui selepas ini. Tiga hal yang paling utama itu, kerana tidak mampu dicapai oleh akal manusia, maka dinyatakan oleh Allah melalui wahyunya melalui Junjungan Besar al-Mustafa. Sebaliknya, konsep kebenaran selain Islam, biasanya berbilang-bilang akibat cuba dihuraikan oleh akal yang baharu. Sebagai penjelasan ringkas, kebenaran itu umpama cahaya matahari. Kebatilan pula umpama kegelapan. Apabila terbitnya matahari, maka kegelapan sirna.
Dalam dunia seni dan sastera sekarang, aspek kebenaran begitu ditentang oleh faham pascamoden. Menurut golongan tersebut, kebenaran tidak pernah ada. “Peradaban”, “baik”, “buruk”, dan lain-lain bagi mereka, tidak pernah mempunyai hakikat. Semuanya dalam hidup ini sebatas tafsiran. Oleh sebab semuanya tafsiran belaka, maka, tidak wujud persoalan tentang tafsiran siapa yang lebih benar. Faham ini jika diambil sebagai satu keyakinan, maka, segala-galanya, termasuklah hal-hal yang asasi, akan menjadi nisbi. Mungkin sebab itulah, kata ahli bahasa Arab dahulu kala, tidak ada yang lebih keji di dunia selain orang yang mencampurkan kebaikan dan keburukan. Kenyataannya pada masa kini, tidak ada ruang yang lebih mudah untuk menyarukan kebaikan dan keburukan, selain dalam sastera dan seni.
Dalam konteks inilah, pengarang atau seniman harus difahami sebagai insan yang berakal. Oleh sebab itu, dia menjadi istimewa sekali gus membezakannya daripada makhluk yang lain. Dengan adanya akal, maka dia melakukan pilihan yang sedar, sesuai tahap akal dan ilmunya. Bukanlah seniman atau pengarang namanya jika tersedut jauh ke dalam lubang khayalan dan imaginasi yang liar serta mengikut perasaannya semata-mata. Apabila seniman dan pengarang difahami sebagai insan yang berakal, maka dia sentiasa memilih dan menyaring sesuatu yang indah dari telaga imaginasinya agar hasil seninya itu memberikan manfaat kepada kehidupan. Yang lebih penting, setiap tindakannya dalam berseni harus menuturi tuntunan akal yang sihat. Jadi, dengan menyedari hakikat tersebut, seseorang seniman atau pengarang itu akan sentiasa mengangkat kebenaran dan menjadikannya sebagai perjuangannya dalam berkarya.
Dalam hal ini, orang akan memperjuang atau membela sesuatu jika sesuatu itu telah diyakini sebagai kebenaran. Oleh sebab itu, hasil seni dan sastera pasti menggambarkan faham pengkaryanya tentang konsep kebenaran. Lantaran itu, pemahamannya itu pasti mempengaruhi pembaca atau penikmat seni. Dalam konteks tersebutlah saya mengungkapkannya dalam suatu tweet yang berbunyi: “Puisi itu umpama sebatang lilin yang dinyalakan dalam gelap. Wajah siapakah yang paling kelihatan kalau bukan si pemegangnya?” Ungkapan ini sudah pasti menzahirkan maksud yang paling harfiah, yakni setiap karya menggambarkan keyakinan diri pengarang itu sendiri. Namun begitu, saya juga ingin menjelaskan bahawa bukan itu sahaja kesannya. Sebab, apabila lilin menyala, kawasan sekitarnya juga turut cerah. Dengan berubahnya keadaan yang gelap kepada cerah, maka, bukan sahaja wajah pengarang atau seniman yang kelihatan, malah, orang yang celik juga dapat melihat keadaan diri mereka dan memahami hakikat kehidupan.
Jawapan Pirous itu, biarpun pendek tetapi cukup menyentak …
Tahun 1998 ialah satu titik penting yang tidak akan dilupai oleh kebanyakan negara di Asia Tenggara. Pada tahun itulah, kebanyakan negara di wilayah ini mengalami penurunan nilai mata wang kerana rapuhnya sistem kewangan, yang kemudiannya dimanipulasi oleh penyangak mata wang dunia. Akibatnya sangat besar sehingga menyebabkan kesan rantaian. Di Indonesia, pada bulan Mei 1998, salah satu kesan rantaiannya ialah kebangkitan golongan mahasiswa yang melaungkan reformasi. Puncaknya, pada 12 Mei 1998, belasan mahasiswa menjadi korban tembakan oleh rejim Suharto. Keadaan yang kacau-bilau serta korban mahasiswa akibat ditembak, telah memberikan kesan yang besar kepada golongan seniman dan intelektual. Salah seorang daripadanya ialah A.D. Pirous.

Dalam konteks seni halus di Indonesia, Pirous ialah nama besar, khususnya dalam seni Islam. Lukisan beliau sentiasa memadukan beberapa elemen abstrak moden dan kaligrafi. Catan beliau sentiasa menonjolkan beberapa petikan daripada ayat al-Quran yang boleh dibaca, serta dihias dengan bentuk abstrak dan seni tradisi. Mencuplik ayat al-Quran yang lengkap dan boleh dibaca lalu ditulis kembali di atas catan, ialah prinsip utama yang dipegang oleh ramai ahli kaligrafi Islam termasuk Pirous. Akibatnya, saat memandang karya Pirous, kita bukan sahaja akan tertarik terhadap keindahan warna dan bentuk, tetapi kesan didaktik yang disampaikan melalui ayat al-Quran atau tulisan Jawi yang ditulis dengan cantik.
Namun begitu, pada tahun 1998, beliau menghasilkan dua keping catan yang sama sekali berbeza. Salah satunya berjudul Alif Lam Mim: Hanya Tuhan Yang Mahatahu. Untuk pertama kali beliau memasukkan kalimah yang dipendekkan daripada al-Quran (ayat muqatta’at) ke atas lukisannya. Dalam disiplin tafsir al-Quran, makna ayat-ayat muqatta’at, termasuk kalimah alif lam mim, menurut banyak ulama hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Ketika ditanya kemudiannya oleh pengkaji beliau, Kenneth M. George, tentang sebab utama beliau menulis ayat muqatta’at yang selama ini sentiasa dielaknya kerana bersifat kabur dan mistik, beliau menatap George sebelum menjawab, “Hanya Tuhan yang tahu erti aksara itu (ayat alif-lam-mim). Hanya Tuhan yang tahu mahu ke mana negeri saya ini”.
Jawapan Pirous itu, biarpun pendek tetapi cukup menyentak. Kenyataannya, Pirous berasa bingung dengan peristiwa kacau-bilau 1998, termasuk pembunuhan mahasiswa oleh rejim Suharto. Malah, beberapa sahabat karib dan pengumpul seni kaligrafinya turut terlibat. Bagaimana orang yang selama ini dikenal sebagai berbudi pekerti dan pencinta seni Islam, boleh menjadi sebahagian daripada Rejim Suharto yang membunuh mahasiswa? Akan tetapi kebingungannya itu tidaklah sampai melemparnya ke lembah keputusasaan atau menolak Tuhan seperti yang selalu terjadi kepada seniman eksistensialis. Sebaliknya, peristiwa itu memperlihatkan betapa kerdilnya diri beliau dalam memahami perancangan Allah Yang Maha Mengetahui. Jadi, sebagai seniman yang sentiasa menjadikan al-Quran sebagai sumber pengucapannya, maka ayat muqatta’at dimanfaatkan secara bijaksana untuk menyatakan perasaannya terhadap peristiwa 1998.
Lukisan Pirous yang begitu mendalam dan proses pengkaryaannya sengaja menjadi penutup dalam tulisan ini sebagai satu bukti konkrit agar hal-hal yang abstrak dalam tulisan ini dapat dihubungkan dengan suatu realiti yang sebenar. Ketika Indonesia dirundung malapetaka sewaktu Reformasi 1998, karya Pirous menjadi seperti lilin yang dinyalakan dalam gua yang gelap. Memang, ketika lilin itu bernyala, wajah Pirous jelas kelihatan. Namun, cahaya daripada karyanya itu tidak sahaja menyuluh muka Pirous, justeru menyebar dan menerangi gua yang kelam. Gua yang kelam itulah realiti Reformasi 1998, atau dalam ungkapan Pirous sendiri, “hanya Tuhan yang Tahu”. Oh, apakah kebijaksanaan yang paling unggul jika bukan mengangkat tinggi kebijaksanaan-Nya?
Wallahualam.
_________________________
Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Beliau ialah Sasterawan Muda MASTERA 2023.