Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangM. Farez Karim meneliti kembali manifesto Anak Alam dan membuka persoalan pengaruhnya dan “perjuangan” yang masih terhalang.
Manifestasi Jenerasi Anak Alam
(ditubuh pada 1 Mei 1974)
di sekeliling kami mesin-mesin mulai
berkuasa,
manusia-manusia menilai sesuatu
di atas
hitam dan putih semata,
dan kebenaran hanya,
diperuntukkan kepada satu sumber
yang telah ditentukan
terlebih dahulu,
dan kesenian satu hobi yang
ditampalkan kepada
status hidup.
di sekeliling kami berguguran
kata-kata tentang ‘seni’
dan
ucapan-ucapan
terhadap seni dari orang-orang
yang tidak mengenal
apalagi punya apresiasi
terhadap seni.
dan di sekeliling kami
kehijauan
mulai bertukar
kepada batu-bata dan kaca
dengan debu
yang dipaksakan
kepada kami menyedutnya
tiap detik waktu
dan di keliling kami
tali dan jaring
birokrasi semakin menceruti
gerak langkah
dan tuturkata
sehingga kami merasa kehilangan diri
dan realiti.
kami jenerasi anak alam.
dengan kesedaran di atas
dan dengan cinta yang hangat
kepada seribu warna
dan kebebasan kemanusiaan
menyatakan kehadiran kami
dalam
satu tenaga
seniman untuk berkomunikasi
dengan
alam keliling
dengan warna bahasa
dan garis-bentuk sebagai pengucapan
kami
yang dikenal oleh manusia sejagat.
jenerasi kami adalah wadah
kegiatan dan kesanggupan
di mana idea
dan imajinasi seniman diterapkan
dengan kejujuran
dan sifat kebenarannya.
semua seniman dari cabang seni
yang merasakan getaran
dan keharuan yang sama
dengan manifestasi ini
adalah saudara-saudara kami
yang satu wadah.
tidak ada perbatasan keturunan,
warna kulit,
kepercayaan,
usia,
jantina dan ukuran rambut
bagi jenerasi anak alam.
(Nota Editor: Terdapat beberapa ejaan yang dikekalkan ejaannya atas semangat tulisan asal)
Kerja-kerja seni masih dianggap sebagai ‘hobi’ separuh masa, manakala kerjaya sepenuh masa segelintir seniman adalah sebagai pensyarah, ahli akademik, doktor, saintis, birokrat swasta, dan para pegawai kerajaan.
Manifesto grup Anak Alam di atas saya salin dan tampal daripada sebuah blog melalui carian di internet. Sejak era 1970-an, 1980-an, sehingga sekarang, apa-apa yang dikarang dalam manifesto itu masih tetap dirasai oleh seniman generasi kini.
Pada rangkap pertama, “mesin-mesin mulai berkuasa” boleh ditafsirkan semula sebagai kemunculan gelombang pengkaryaan seni janaan kecerdasan buatan (AI), ataupun kewujudan badan-badan birokrasi seni yang tak punya naluri insani tapi berkuasa veto, menentukan hala tuju dan cita-cita sesebuah kumpulan (grup seni) untuk meluah rasa peribadi (individualisme) dengan “cinta yang hangat”, ke arah “seribu warna” dan menuju hakikat “kebebasan manusia”. Dalam 40 – 50 tahun selepas era Anak Alam, para seniman dan pemikir masih lagi berbicara dalam dikotomi “hitam dan putih semata”, seperti polemik “ini sajak, ini bukan sajak; ini seni halus, ini pula seni kraf”.
Kerja-kerja seni masih dianggap sebagai “hobi” separuh masa, manakala kerjaya sepenuh masa segelintir seniman adalah sebagai pensyarah, ahli akademik, doktor, saintis, birokrat swasta, dan para pegawai kerajaan, yang bila-bila masa terluang sahaja dapat menghasilkan karya, dengan modal membeli peralatan melukis-menulis masih dapat diperoleh dengan pendapatan tetap bulanan. Dalam masa sama, kita melihat di sekeliling kita, ada seniman sepenuh masa (diulang, sepenuh masa) gigih berjuang menjual karya di bawah RM100, ada yang menjual besi lusuh dan barangan kitar semula, mengecat rumah, buat kerja-kerja buruh, meniaga makanan di tepi jalan, tapi keadaan survival ini bukan hal yang luar biasa. Apa yang luar biasa itu ialah setelah seseorang seniman itu pergi (tak kembali), barulah datang berbagai bentuk pujian, penghargaan, pingat, anugerah, dan royalti, yang sebelumnya disekat dan diempang atas faktor ekonomi yang meleset.
Dan, yang lebih luar biasa, masih ada golongan T20 sehingga VIP – golongan yang sepatutnya menjadi penaja seni – sering bercerita tentang kedahsyatan karya seniman luar negara yang telah mati berpuluh tahun, namun buat tak endah dengan artis tempatan yang berhempas pulas membancuh warna dan menggores-gores di atas kanvas demi membayar sewa dan bil-bil bulanan. Walhal, sekiranya mereka menghargai dan memiliki karya-karya artis lokal, dari sudut estetikanya hampir sama saja pengalaman kepuasannya.
Dalam persejarahan seni rupa tempatan, selepas era Anak Alam, lahir pula grup-grup “perupa” lain di Lembah Klang yang terdiri daripada lulusan seni halus Institut Teknologi MARA (ITM), contohnya sekumpulan graduan ITM yang pernah mengadakan pameran berkumpulan Maya, sekali saja pada tahun 1990; dianggotai oleh Ahmad Shukri Elias, Suhaimi Abdul Wahab, Riaz Ahmad Jamil, Hanafiah Waiman, Young Jeffery, dan Tengku Sabri Ibrahim. Isteri Tengku Sabri dan Ahmad Shukri, iaitu Mastura Abdul Rahman dan Rositah Ibrahim kedua-duanya pelukis, di mana Rositah turut aktif menulis puisi.
Setahun sebelum itu, pada tahun 1989, dianjurkan pameran berkumpulan 4 Persepsi yang disertai oleh seniman satu batch ITM, iaitu Fauzin Mustafa, Hasnul J Saidon, Mohd Noor Mahmud, dan Taufik Abdullah.
Kemudian, terbit pula grup Matahati (graduan ITM 1991) yang agak tersohor; dianggotai oleh Bayu Utomo, Ahmad Fuad, Hamir Soib, Masnoor Ramli, dan Ahmad Shukri Mohamed; disusuli pula grup Suara Jiwa (tahun 1995) yang diwakili oleh Roslisham Ismail (Ise), Mat Ali Mat Som, Khairul Azmir, Rini Faizan, dan Mahizan Hijaz.
Pada tahun 2000, lahir Studio Dikala Jingga yang menampilkan Ali Nurazmal, Suddin Lappo, Zulkiflee Zainul Abidin, Khairina Khairuddin, Haris Hamsani, dan Uzaini.
Sekitar tahun 2000 juga para artis berkumpul di bawah komuniti Artport (sebuah kolektif multidisiplin termasuk pemuisi dan pemuzik) dan sempat mengadakan beberapa aktiviti di Galeri Shah Alam. Beberapa tahun kemudian, Ise mengasaskan “ruang seni” Parking Project, dan sehingga kini, proses kelahiran dan pembubaran kolektif seni tetap ada dan tidak pernah putus. Saya mengiktiraf grup perupa sebagai kolektif multidisiplin kerana setiap proses pengkaryaan dan projek pameran turut melibatkan teks penerangan karya dan penulisan kuratorial, ditambah lagi dengan penguasaan mereka dalam kepelbagaian bahan dan bahantara dalam berkarya.
Baris berikutnya menyatakan, “semua seniman dari cabang seni/yang merasakan getaran/dan keharuan yang sama dengan manifestasi ini/adalah saudara-saudara kami/yang satu wadah.” Maka, semangat murni Anak Alam masih ada dan belum mati pun sebenarnya.
Tatkala asyik ber‘romantis’ tentang Anak Alam, kita perlu juga melihat dari mata helang.
Generasi terkemudian tetap ghairah membentuk kelompok sendiri, contohnya seperti Komuniti Seni Jalan Telawi, Rumah Seni Selangor (diuruskan oleh Komuniti Artport 2.0), Komuniti Seni Batu Belah, Arto Movement, kolektif mandiri KLZinexDIY, kolektif dari Borneo, iaitu Pangrok Sulap dengan etos “Jangan Beli, Bikin Sendiri”. Di Perak pula lahir Projek Rabak, PORT, malah gerakan Rantai Art yang bermoto “Kehidupan itu sendiri adalah seni” dan banyak mengangkat malah meraikan para seniman multidisiplin.
Disebabkan jangka hayat sesebuah kolektif itu bergantung pada hukum peredaran masa, pendanaan dan kewangan (laba-rugi), maka ada yang berevolusi, saling kolaboratif, ada dalam status hibernasi, dan banyak juga yang terkubur sepi. Situasi ini benar dalam baris berikutnya, “menyatakan kehadiran kami/dalam satu tenaga/seniman untuk berkomunikasi/dengan alam keliling/dengan warna bahasa dan garis-bentuk sebagai pengucapan kami/yang dikenal oleh manusia sejagat.” Tenaga tak pernah musnah, ia berubah bentuk.
Rangkap berikutnya, “kebenaran hanya/diperuntukkan kepada satu sumber yang telah ditentukan terlebih dahulu.” Ayat ini kontroversi untuk diulas dalam suhu dan suasana sosiopolitik Malaysia masa kini yang menyentuh isu sensitif kaum, agama dan raja (3R). Seniman selepas era Anak Alam yang berani menyentuh secara kritis salah satu daripada tiga perkara ini pasti akan kena “gam”, diturunkan karya daripada pameran, atau bukunya diharamkan. Maka, suara seniman yang punyai naluri sensitif masih lagi dibungkam.
Tatkala asyik ber“romantis” tentang Anak Alam, kita perlu juga melihat dari mata helang. Adakah mereka yang peduli tentang Anak Alam itu hanya melingkari sekelompok pengkarya seni rupa dan seni sastera sahaja? Golongan yang “itu-itu saja” yang duduk di dalam sebuah tempurung abstrak dan falsafah berat-berat? Bagaimana pengaruh kesenian Anak Alam terhadap bidang seni lain; seni reka bentuk grafik, seni bina (arkitek), seni busana (fesyen dan tekstil), seni produk (dan kraf), sinema, teater, seni persembahan, dan sebagainya? Contohnya, dari sudut apropriasi, intervensi atau asemblaj yang dipengaruhi oleh karya para seniman pengasas Anak Alam?
Benar, grup Anak Alam itu pemula dan perintis dalam usaha membentuk kolektif seni multidisiplin. Semangat melawan “tali dan jaring birokrasi” itu dirasai. Seumpama seorang ketua masyarakat yang mengepalai kerja menebas hutan untuk mendirikan sebuah kampung. Kemudian, seperti kisah yang klise – sampai satu generasi, tanahnya akan dijual kepada syarikat pemaju “batu-bata dan kaca” dengan harga yang sangat murah.
Pada rangkap akhir manifesto Anak Alam, disudahi dengan “tidak ada perbatasan keturunan/warna kulit’/kepercayaan/usia/jantina dan ukuran rambut/bagi jenerasi anak alam.” Benarkah begitu, atau “Cicit Alam” nanti akan tetap mengulangi manifesto yang seakan sama? Bak ungkapan biasa para pemuka seni, sesebuah karya itu (memang) tak pernah siap – kecuali selepas dibeli atau diterbitkan.
Kredit Gambar: Firus Fansuri
_________________________
M. Farez Karim ialah seorang usahawan seni (artrepreneur) yang adakala mereka bentuk grafik buku, menulis secara eceran di mana-mana portal dan menulis puisi di platformnya sendiri, sajak.mfarez.com. Beliau menubuhkan sebuah penerbitan mandiri Studio Kaukab sejak tahun 2013, yang telah menerbitkan lebih daripada 10 judul buku, kebanyakannya dalam genre sastera/puisi. Judul terbaru terbitan Studio Kaukab ialah zine puisi Waktu yang Lahap Mengunyahku karya Ibnu Din Assingkiri.