Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Diskusi “Melanjutkan Pengajian Ijazah Sarjana dalam Bidang Kesusasteraan” telah dianjurkan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 30 April 2025 atas inisiatif bersama antara pihak Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pulau Pinang (IPGMKPP).
Diskusi ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai peluang dan manfaat melanjutkan pengajian dalam bidang kesusasteraan.
Diskusi ini menampilkan empat orang ahli panel, iaitu YBhg. Dr. Jacquelina Karimon; YBhg. Dr. Nagesvari Paramasivan; YBhg. Dr. Wan Roshazli Wan Razali, pensyarah bidang kesusasteraan; dan YBhg. Dr. Faridah Jaafar, pensyarah sains politik.
Dua pelajar dari IPGMKPP, Muhamad Shahir Abdul Aziz dan Nurul Kamilia Muhamad Rashidi bertindak sebagai moderator.
Dalam sesi diskusi yang dihadiri oleh 40 orang pelajar dari IPGMKPP, Dr. Jacquelina menyatakan bahawa sastera hanya dapat dinikmati sepenuhnya oleh mereka yang benar-benar mencintainya.
Dr. Nagesvari pula menyoroti bahawa sastera merupakan sebuah disiplin ilmu yang luas dan sarat dengan kepelbagaian pendekatan.

Sementara itu, Dr. Wan Roshazli menjelaskan keperluan bagi generasi muda untuk memperjuangkan kelestarian sastera kerana sastera menyimpan identiti bangsa.
Dr. Faridah pula mengaitkan sastera dengan kesedaran tentang makna kehidupan manusia.
Para panel turut menekankan bahawa kesusasteraan bukan sekadar karya seni yang indah, tetapi merupakan wadah penting dalam mencerminkan nilai, pemikiran dan sejarah masyarakat.
Kesusasteraan juga berperanan sebagai medium untuk memperkukuh jati diri bangsa serta menyumbang kepada nilai kemanusiaan.
Selain itu, perspektif “master dulu, nikah kemudian“ telah membuka perbincangan tentang kepentingan menyelesaikan pengajian tinggi terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa kehidupan peribadi, terutamanya dalam konteks pembelajaran pada peringkat Sarjana.
Turut hadir, YBrs. Puan Norhayati Ayit, Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGMKPP dan YBrs. Puan Rozeerozanna Rosli, Pensyarah Akademik, Jabatan Pengajian Melayu IPGMKPP.