Diterbitkan pada 24 April 2025, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ahmad Nabil Amir memperkenalkan Hamka dan sumbangan besarnya dalam gagasan sastera Islam Nusantara.

Karya sejarah-falsafah, novel dan romannya memperlihatkan kedalaman nilainya yang sensitif dan sangat menjiwai kesusasteraan Melayu klasik sehingga dikenali sebagai Hamzah Fansuri zaman baharu.

Pengaruh Islam dalam kesusasteraan Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Buya Hamka (1908 – 1981) terlihat daripada kekayaan nilai dan falsafahnya yang mencorakkan kekuatan sasteranya. Hamka menggagaskan aspirasi tauhid sebagai landas epistemologinya yang mencerminkan nilai dan prinsip Islam yang utuh dalam kritik sasteranya. Kerangka Islamik ini terpancar dalam novel, cerpen, esei, syair, pantun, cerita, madah, dan tafsir yang dikarangnya, membentuk inti pandangan hidup dan idealisme yang dijelmakan dalam penghasilannya.

Buya Hamka (Sumber: Vedolique)

Kekuatan nilai Islam ini diilhamkan daripada pengaruh kesusasteraan intelektual dan pengarang Arab yang terkenal yang ditekuninya, termasuklah al-Manfaluti dan Ahmad Amin dan daripada tilikannya terhadap hasil kesusasteraan bapanya sendiri, Haji Rasul yang menulis kitab-kitab Jawi klasik tentang pengetahuan agama.

Ilmu kesusasteraan bernafas Islam dan tempatan ini kebanyakannya didapatkan oleh Hamka daripada pengalamannya sendiri mendengarkan kaba, puisi dan dongeng-dongeng setempat di kampungnya sewaktu kecil dan setelah mempelajari dan menekuni secara matang kitab dan syair Arab dalam kesempatannya merantau dan belayar ke Mekah pada penghujung tahun 1920-an. Keasyikannya mengumpul dan menghadam penulisan klasik yang terhasil dalam langgam Arab yang murni inilah yang kemudiannya menginspirasikannya untuk menulis, menterjemah dan memperluaskan minatnya dalam bidang penyiaran, khususnya dalam penerokaan aspek kesusasteraan bermotif Islam.

Antara penghasilannya yang berpengaruh dalam kesusasteraan moden Islam termasuk buku Khotibul Ummah, Di Bawah Lindungan Ka‘bah, Merantau ke Deli dan Keadilan Ilahi, selain penulisan berbentuk makalah yang diterbitkan dalam majalah mingguan dan bulanan yang terkenal seperti Seruan Islam, Bintang Islam, Pelita Andalas, Suara Muhammadiyah, Pedoman Masyarakat, Gema Islam, Panji Islam, dan Panji Masyarakat. Kebanyakan tulisannya ini berbentuk falsafah, tasawuf, roman, dan agama.

Karya sejarah-falsafah, novel dan romannya memperlihatkan kedalaman nilainya yang sensitif dan sangat menjiwai kesusasteraan Melayu klasik sehingga dikenali sebagai “Hamzah Fansuri zaman baharu”. Buah pemikirannya mengilhamkan citra kesusasteraan yang tinggi dan memikat, dengan ciri kebudayaan dan nuansa Islam yang mempengaruhinya.

Fikrah sastera yang mengesankan ini dikembangkan dalam karya kreatifnya yang menzahirkan idealisme Islam yang moden dan faham pembaharuan yang ditempuhnya. Pemikirannya menunjukkan nilai dan teori sastera yang inklusif, yang dimaknai dengan nilai klasikal yang puitis yang tergabung secara aplikatif dengan faham transendental, takmilah, ubudiyah dan tauhidik, sekali gus membentuk asas kepengarangannya yang mendasar.

Bingkai dan pendekatan Islam ini mencorakkan latar kesusasteraan Islam yang diangkat dalam karya fiksyennya yang menjelmakan kekayaan nilai tradisi, kebudayaan dan keseniannya yang ideal. Hasil karyanya mendorong penghayatan terhadap nilai dan citra dakwah yang tertuang, malah menimbulkan kesedaran terhadap faham kemanusiaan, moraliti, akhlak, dan ketuhanan, diungkapkan dengan nafas sastera yang sederhana dan berkesan.

Teori-teori sastera Islam yang dibawa oleh Hamka tertegak dengan pendirian Laa Ilaha Illallah yang digarap dari pandangan metafiziknya yang tanzih dan kreatif.

Sastera Islam moden di Indonesia juga terhutang kepada Hamka yang memperkenalkan genre ini kepada khalayaknya yang luas. Menurut Karel Steenbrink, Hamka memiliki kedudukan yang penting dalam dunia sastera Indonesia. Beliau telah meletakkan batu asas yang membentuk kesusasteraan serumpun yang luas, dicabut daripada norma dan falsafah kearifan tempatan dan inti kesedaran setempat. Nilai kenusantaraan ini terungkap dalam falsafahnya yang kental dengan nuansa setempat, menekankan kekuatan tradisi dan keaslian nilai budaya dan falsafahnya.

Dalam kenyataan Amanat Putih yang diselenggarakan oleh Lembaga Kesusasteraan Islam yang dibentuk oleh Hamka, Mohd Saleh Suaid dan Bahrum Rangkuty, Hamka telah menggariskan beberapa batas tentang aspek seni dan kesusasteraan Islam. Beliau turut memimpin Musyawarah Seniman dan Kebudayaan Islam pada tahun 1961, yang antara lain membincangkan kedudukan dan peranan sastera Islam, tujuan dan hukum kesenian dan tentangannya terhadap ideologi sekular dan komunis yang anti-Islam.

Di Bawah Lindungan Ka‘bah terbitan tahun 1956, Balai Pustaka.

Teori-teori sastera Islam yang dibawa oleh Hamka tertegak dengan pendirian Laa Ilaha Illallah yang digarap dari pandangan metafiziknya yang tanzih dan kreatif. Hal ini mencakup bidang penglihatan yang luas, yang bertujuan untuk mengangkat darjah dan nilai keinsanan berasaskan ajaran tauhid yang mampan, yang dipandangnya sebagai “sumber tenaga kemerdekaan jiwa yang sebenarnya”.

Sastera keagamaan yang dirintisnya ini telah membuka ufuk baharu dalam sastera moden Islam yang timbul daripada “niat baik untuk membawa perubahan kepada negara dengan restu agama”. Hal ini berasaskan pemahamannya pada ayat 224–227 Surah as-Syu‘arā’ yang menerimanya sebagai sebahagian daripada Islam dengan konteks: asalkan hasilnya dapat mendorong ke arah kebaikan. Dalam hal ini, gagasan ini turut menekankan ciri keindahan, kebenaran dan kebaikan dengan merujuk Tuhan sebagai sumber kebenaran itu sendiri lalu kita hendaklah kembali kepada-Nya.

Kesan daripada pergerakan sastera yang digemblengnya ini telah membenihkan kesedaran tentang idealisme tauhid dan inti sari fahamannya yang menyingkapkan kebenaran tentang prinsip ketuhanan dan kekuasaan mutlak Tuhan. Tema-tema keagamaan yang dikembangkannya telah mendorong kesedaran dan keyakinan tauhid yang berpengaruh dalam lapangan hidup, dalam rangka meningkatkan nilai yang tinggi dalam hidup, malah turut menekankan kemuliaan akal, kekuatan iman, keseimbangan rohani dan jasmani, kemuliaan batin, keluasan jiwa, ketinggian budi, kesopanan, dan ketegakan masyarakat berasaskan kesempurnaan ilmu dan agama.

Menurut Hamka, penghasilan sastera harus dilengkapkan oleh peribadi Islam yang dapat menciptakan kesenian Islam yang sebenarnya. Dengan percambahan daya imaginasi dan kreativitinya, karya sastera Islam dapat memupuk dan membangunkan nilai yang menggabungkan ciri kesusasteraan dan aspek kehidupan yang maknawi sekali gus mempengaruhi seluruh kehidupan masyarakat dengan kritik sosial dan nilai seninya.

______________________________

Ahmad Nabil Amir tinggal di Jelapang, Ipoh, Perak.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi