Diterbitkan pada 15 April 2025, 07:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hafirda Afiela menemui Nimoiz T.Y di Perak baru-baru ini untuk mengetahui apakah perkembangan seterusnya yang diusahakan oleh penulis prolifik ini.

Karya-karya beliau bukan sahaja membawa pembaca untuk menyelami peristiwa kontemporari, tetapi juga menghidupkan perasaan manusia yang berjuang, mencintai dan sanggup berkorban.

“Menulis itu seperti menganyam songket tradisi. Setiap perkataan adalah benang sutera yang membawa cerita, dan setiap cerita adalah warisan yang kita hidupkan semula,” ujar Nik Mohd Iznan bin Tuan Yaakub atau lebih dikenali dengan nama pena Nimoiz T.Y. Dalam dunia penulisan kreatif dan deskriptif, beliau ialah susuk yang menghimpunkan ketekunan dan iltizam yang tinggi. Beliau berkata demikian dalam program Ziarah Penulis oleh DBP di kediaman beliau di Ipoh, Perak, pada 22 Disember 2024 baru-baru ini. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Penulis kelahiran Kelantan yang kini menetap di Ipoh, Perak itu telah menghasilkan ratusan karya dalam bentuk cerpen, puisi dan esei yang sering mengangkat pelbagai jaringan tema. Karya-karya beliau bukan sahaja membawa pembaca untuk menyelami peristiwa kontemporari, tetapi juga menghidupkan perasaan manusia yang berjuang, mencintai dan sanggup berkorban. Beliau suka meneroka pelbagai tema dalam penulisan.

Penulis menemu ramah Nimoiz T.Y di rumahnya secara santai.

Sehingga kini, Nimoiz T.Y telah menghasilkan 16 buah buku persendirian, termasuklah Jalan Baru, Membilang Usia Songsang di Lantai Gua yang Panjang, Republik Eskapisme, dan Sang Pelakon. Suatu ketika dahulu, karya beliau banyak menghiasi majalah terbitan DBP termasuk Tunas Cipta, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, dan Dewan Bahasa. Kesibukan tugas hakiki tidak menghalang untuk beliau terus menulis. Namun untuk waktu sekarang, beliau lebih banyak tertumpu pada ceramah bengkel penulisan kreatif, hakim sayembara dan reka bentuk buku.

Sehingga kini, beliau telah menghasilkan dua buah kumpulan cerpen. Cerpen-cerpen ini telah dimuatkan dalam kumpulan cerpen Esprit de Corps dan Sang Editor & Puntianak Lelaki Terakhir. Cerpen-cerpen Nimoiz T.Y sering kali menampilkan latar desa yang berakar pada tradisi, seperti sawah padi, sungai, burung, desa dan warisan tradisi yang menyimpan sejuta rahsia. Terbaharu, buku beliau, Masuk ke Dalam Hujan terpilih untuk diterbitkan di bawah projek penerbitan kreatif bahasa Melayu, iaitu buku PENA-Malaysia MADANI. Buku ini banyak menghubungkan hubungan manusia dengan alam, terutamanya hujan.

“Hujan banyak mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak dan remaja saya. Hujan bukan sekadar air, tapi tetesan kenangan yang sentiasa basah dalam memori. Hujan adalah rangkulan cerita yang selalu ada dalam bayang ingatan kita,” ujar beliau.

Bukan itu sahaja, puisi-puisi beliau juga membawa pembaca merasakan kehalusan rasa dan kedalaman makna. Puisi-puisi yang beliau hasilkan sarat dengan makna. Kadang-kadang penuh dengan metafora yang segar dan baharu.

“Pada saya, puisi perlu pada pengucapan metafora yang baharu dan segar. Kalau hanya sekadar gugusan kata-kata yang tidak ada apa-apa, baik tulis esei sahaja.”

Selain cerpen dan puisi, esei beliau sering kali mencabar pemikiran pembaca tentang identiti dan masa depan bangsa. Beliau menulis esei tentang bahasa, sastera, budaya, dan alam sekitar. Ketika ditanya tentang perkembangan teknologi dan dunia digital, beliau percaya bahasa dan sastera tidak akan mati. Sebaliknya, penulis perlu bergerak dan melangkah seiring dengan perkembangan teknologi. Jika tidak, penulis akan ketinggalan dalam perkembangan arus zaman.

“Saya percaya teknologi tidak harus memutuskan kita daripada warisan. Sebaliknya, teknologi boleh menjadi alat untuk memelihara apa-apa yang kita ada. Soalnya, bagaimana kita mendidik masyarakat untuk memahami nilai tradisi di sebalik kemajuan.”

Himpunan karya yang sudah dihasilkan oleh Nimoiz T.Y.

Sebagai seorang pensyarah dalam bidang kejuruteraan awam di sebuah politeknik terkemuka di Ipoh, Nimoiz T.Y turut menghubungkan seni dan teknologi dalam pengajarannya. Beliau pernah berkongsi tentang pengalamannya menggunakan pendekatan penceritaan untuk membantu pelajar memahami konsep teknikal yang kompleks.

“Apabila kita kaitkan sesuatu dengan cerita, hal itu menjadi lebih dekat dengan hati. Itulah cara saya mendidik. Dan itulah juga cara saya menulis,” ujarnya dengan penuh senyuman.

Dengan setiap karya sama ada cerpen, puisi atau esei, Nimoiz T. Y terus melangkah sebagai penulis yang tidak hanya menulis, tetapi juga memelihara warisan bangsa. Dalam perbincangan singkat tapi penuh mesra itu, beliau berkata, “Saya tidak tahu berapa lama saya akan menulis, tetapi, selagi ada cerita yang menunggu untuk diceritakan, saya akan terus menulis dan menulis.”

Dengan itu, pena Nimoiz T.Y terus bergerak, menganyam kisah dan menghidupkan tradisi, membawa pembaca ke dunia yang melangkaui masa.

_________________________

Hafirda Afiela ialah Noor Hafedah Jamiyil, editor Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau sedang berjinak-jinak dengan penulisan drama radio. Beberapa drama radionya sudah tersiar di RTM Sabah.

Kredit Foto: Hafirda Afiela
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi