21 Disember 2022, 18:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pangkor – “Saya penulis Perak yang berjiwa Kelantan, dan penulis Kelantan yang berjiwa Perak”, ujar Nimoiz T.Y atau nama sebenarnya Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakub dalam sebuah program Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) di Pulau Pangkor, baru-baru ini.

Program yang dinamakan “Kecek Puisi dengan Nimoiz T.Y” tersebut berlangsung selama satu jam. Perkongsian pengalaman penulisan beliau melalui program tersebut merupakan azimat perjalanan penulisan buat peserta program. Nimoiz T.Y sendiri lahir daripada Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif anjuran GEMA pada suatu masa dahulu. Jadi, kemunculan beliau pada kali ini adalah umpama sirih pulang ke gagang.

 

Selain itu, antara pesanan lain yang diberikan oleh beliau kepada rakan penulis ialah penerusan budaya membaca, terutamanya dalam penulisan kreatif dan deskriptif. Ha ini kerana mustahil bagi seseorang individu menulis karya kreatif tanpa membaca mana-mana hasil karya kreatif penulis mapan yang lain. Beliau sempat berkongsi kata-kata seorang guru penulisnya,

“Minat boleh mengalahkan bakat kerana atas minat, seseorang akan berusaha dan bertungkus-lumus untuk merealisasikan impiannya, berbanding dengan bakat yang sekiranya tidak dikembangkan dengan minat, akan tertinggal sia-sia”.

Nimoiz T.Y sedang membicarakan pengalaman penulisannya.

Nimoiz T.Y tidak lupa mengingatkan rakan penulis agar tidak menulis secara semberono sehingga menyentuh sensitiviti pihak tertentu. Hasil penulisan seharusnya mampu menggerakkan jiwa dan minda pembaca dengan isi karya yang segar dan menghidupkan.

Program tersebut diteruskan pada sebelah malam dengan adanya program Baca Puisi. Beberapa buah puisi yang tercipta semasa program telah dibacakan oleh Nimoiz T.Y, Zainal Abidin Muhammmad, Tuan Siti Mastazameatun dan Aman Ishak, manakala Siti Nur Zafran, Ruzilawati Man, Wan Zai, Noor Riza Achik, Faridah dan Tuan Nordin telah membaca puisi-puisi daripada penulis mapan negara.

Percutian ini turut diceriakan dengan ziarah ke tempat menarik di sekitar Pulau Pangkor seperti Kota Belanda, Masjid Al-Badr Seribu Selawat, Masjid Al-Khairiah Seribu Doa, Pasar Malam Teluk Nipah, dan pusat membeli-belah bebas cukai di Pekan Pangkor.

Turut menyertai program ini ialah Ketua 1 GEMA, Encik Zainal Abidin Muhammad, Ketua 2 GEMA, Encik Hj. Ezani Hj. Daud dan Setiausaha 1 GEMA, Encik En. Zizie Setapa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.