Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBenedict Anak Samling meneliti beberapa senario persoalan yang timbul daripada pemikiran.
Andai Tibug ialah sebuah robot, maka tidak akan keluar soalan sedemikian daripada mulutnya.
Fitrah manusia yang sentiasa diselubungi oleh pelbagai persoalan ialah suatu yang unik. Persoalan-persoalan yang terbit mendadak dalam benak manusia tidaklah dapat dikawal, disekat mahupun diada-adakan, apatah lagi ditiadakan. Menurut André Ariew dalam bukunya, Charles Darwin as a Statistical Thinker, menyatakan bahawa salah satu petanda minda manusia berevolusi adalah apabila terbitnya pelbagai persoalan dalam fikiran mereka. Lebih menarik apabila beliau mengatakan, persoalan itu tidak dipengaruhi oleh faktor luaran. Hal ini bermakna, persoalan tersebut timbul secara semula jadi. Lihatlah contoh perbualan yang berikut:
…..Tibug: Mengapa kamu hanya menjaga serumpun padi itu?
…..Barui: Sekurang-kurangnya aku menanam padi.
…..Tibug: Tetapi, sikitlah berasnya nanti.
…..Barui: Sekurang-kurangnya sekarang aku ada padi.
Andai Tibug ialah sebuah robot, maka tidak akan keluar soalan sedemikian daripada mulutnya. Tibug hanya akan bertindak dan bergerak mengikut kod yang diprogramkan dalam CPUnya.
Namun begitu, sebagai seorang manusia, Tibug mungkin akan terus menyoal Barui mengapa dia hanya menanam serumpun padi. Agak-agak, seandainya Tibug terus menyoal Barui, adakah soalannya akan berbunyi begini: “Bagaimana engkau tahu padi itu berisi atau tidak?” Jika Tibug terus mengasak Barui dengan soalan, mungkinkah ini soalan Tibug: “Barui, adakah engkau tahu, padi yang berisi tunduk dan yang kosong juga tunduk?” Apa dihairankan jika Tibug terus menyoal Barui. Itulah petanda evolusi minda sedang berlaku, fitrah seorang manusia.
Sebagai seorang manusia, Barui juga tidak akan berdiam diri kerana dalam diri Barui juga berlakunya “evolusi”. Maka, untuk menjawab soalan Tibug itu, Barui mungkin akan menceritakan sebuah kisah seperti yang berikut:
Pada suatu hari, seorang murid bertanya kepada gurunya, “Bagaimana guru dapat memikirkan perumpamaan yang berlainan setiap hari dan mengaitkannya dengan situasi yang berlainan?”
Guru itu tersenyum, “Aku akan menjawab soalanmu dengan perumpamaan.” Guru itu kemudian menceritakan sebuah kisah sebagai perumpamaannya pada hari itu. Ceritanya begini:
Seorang jeneral tentera yang mengetuai pasukan pemanah telah tiba di sebuah perkampungan di padang gurun. Perkampungan itu di kelilingi oleh tembok batu yang sederhana tingginya. Di tembok itu, terdapat beberapa anak panah yang terbenam di dalam tembok. Dan, setiap anak panah yang terbenam itu terdapat lingkaran kecil. Jeneral itu benar-benar kagum. Dia tahu, lingkaran kecil itu ialah sasaran yang dia juga pernah guna untuk latihan memanah. Memanah ke dalam lingkaran sekecil mata biri-biri bukan pekerjaan yang mudah. Lalu, jeneral itu bertanya kepada seorang pemuda yang berdiri di tepi tembok itu.
“Siapakah gerangannya yang begitu handal memanah?”
“Anak panah-anak panah itu milik si tukang tilik,” jawab pemuda itu dan menghembus nafasnya dengan berat.
“Siapa pun dia, dia pasti seorang pemanah yang hebat,” ujar jeneral itu sambil menatap setiap anak panah yang terbenam di dalam tembok.
“Akan tetapi, semua anak panah itu telah dibenamkan di dalam tembok terlebih dahulu sebelum lingkaran itu dilukiskan.”
Jeneral itu pun tunduk dan menggeleng-geleng, seakan-akan menyedari jangkaannya begitu jauh meleset. Selama dia mengetuai pasukan pemanah, inilah kali pertama dia melihat akan kesungguhan seseorang untuk meletakkan sasaran pada mata anak panah, bukan sebaliknya.
Guru itu mengerling ke arah anak muridnya lalu mengukir senyuman. “Jadi, aku tidak mencari perumpamaan sebaliknya aku mencipta situasi yang bersesuaian dengan kisah yang aku lalui.”
Maka, sebagai tindak balas daripada soalan Tibug, lalu Barui mungkin memetik kata-kata Richard Dawkins dalam bukunya,The Sefish Gene.
Menurut Barui, Richard Dawkins mengatakan bahawa di dalam tubuh manusia, terdapat molekul protein yang dipanggil sebagai asid deoksiribonukleik (DNA). DNA berfungsi untuk menyelaraskan tindak balas sikap dan sifat dengan keadaan persekitaran. Hasil daripada tindak balas itu, kelenjar di dalam tubuh akan merembeskan hormon.
Tindak balas hormon di dalam tubuh manusia bertujuan untuk mengekalkan keadaan manusia demi memastikan kelangsungan tubuh badan untuk bertindak secara semula jadi dan terus-menerus. Hormon ini mengawal dan mempengaruhi secara langsung perilaku manusia. Mungkin secara kebetulan, manusia dikurniakan akal yang dapat membezakan antara perilaku manusia dengan haiwan.
Oleh itu, kelakuan dan pemikiran manusia (selagi dia bernama manusia) tidak mungkin dapat diatur oleh seseorang manusia atau sekumpulan manusia yang lain. Menurut Richard, bukanlah diri manusia atau faktor luaran yang menentukan tahap ego, hipokrit, sombong, angkuh, dan pelbagai sikap yang lain, sebaliknya hal ini ialah refleksi semula jadi hasil tindak balas kimia di dalam tubuh manusia sehingga berlakunya tindak balas spontan.
Berbalik kepada perbualan antara Tibug dengan Barui, maka, tindakan kedua-dua mereka itu sebenarnya dikawal oleh hormon di dalam tubuh mereka. Tibug, hormonnya sedang bertindak balas lalu dia mempersoalkan tindak-tanduk Barui dan Barui pula bertindak balas untuk mengekalkan sifat dan sikapnya agar terus mempertahankan tindak-tanduknya. Adakah kedua-dua mereka angkuh, sombong, ego, dan meninggi diri? Begitu juga dengan jeneral, apakah dia melakukan kesalahan yang besar apabila tindak-tanduk spontannya yang dikawal oleh hormon di dalam tubuhnya sehingga dia melontarkan persoalan tentang anak panah itu? Jawapannya, saya serahkan kepada anda yang ber-DNA dan yang berhormon.
_________________________
Benedict Anak Samling berasal dari Sarawak. Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Tunas Cipta, Utusan Borneo, Dewan Kosmik, Dewan Budaya, dan SelangorKini. Memenangi beberapa sayembara penulisan kreatif termasuk cerpen STEM anjuran Unisel-DBP, cerpen kearifan tempatan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, cerpen kebudayaan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak dan Majlis Seni Sarawak, serta cerpen legasi anjuran Pustaka Negeri Sarawak. Menerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak kategori cerpen dan puisi pada tahun 2023.