Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHelena Pieary Anak Juman melaporkan usaha Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dengan kerjasama Yayasan Karyawan menganjurkan Program Memupuk Pembacaan Karya Agung Melayu dalam Kalangan Belia.
Karya Melayu menjadi teras pembangunan tamadun masyarakat Melayu. Justeru, sudah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat di negara ini untuk memastikan keagungan karya Melayu tidak pupus dek peredaran zaman.
Karya Agung Melayu merujuk karya klasik yang diadun dengan budaya, pemikiran, pandangan, serta falsafah hidup bagi sesuatu bangsa. Setiap bibit dalam penulisan karya ini mempunyai makna yang tinggi nilainya, kerana ia mencerminkan pantulan budaya tamadun bangsa Melayu sejak kurun abad yang lalu.
Mungkin masih ramai yang kurang cakna akan kekuatan Karya Agung Melayu yang melambangkan keunggulan serta kekritisan seniman, penulis dan pemikir yang menyulam gambaran masyarakat melalui bentuk sastera dan seni ortografi yang tinggi nilainya, lalu diangkat sebagai khazanah warisan budaya masyarakat pada masa kini.
Menurut pakar bahasa Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, karya agung Melayu merupakan khazanah keintelektualan Melayu yang merekodkan hal sejarah bangsa, bahasa, budaya, dan ilmu kepustakaan Melayu yang dijadikan rujukan peristiwa selain pengajaran kepada masyarakat kini
“Lazimnya, nilai ilmu yang dapat dipraktikkan berdasarkan karya agung Melayu datang daripada pelbagai bidang, antaranya termasuk bidang perubatan, astronomi, seni bina, persenjataan, dan gastronomi, sememangnya banyak memberikan impak yang positif dalam pembentukan ketamadunan masyarakat Melayu,” katanya.
Oleh itu, atas dasar ini juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turun padang untuk menekankan kepentingan memartabatkan seni, budaya, bahasa, dan sastera negara.
Ketika berucap pada sesi pembentangan Belanjawan 2025, beliau menegaskan agar terus mempergiat persembahan teater warisan dan memupuk minat membaca karya agung Melayu, khususnya dalam kalangan belia.
Walaupun hasrat ini amat murni, hasrat ini sukar untuk direalisasikan, lagi-lagi pada era kini. Mengulas lanjut perkara tersebut, Dr. Salmah turut mengatakan bahawa pada masa sekarang, kurangnya pendedahan masyarakat terhadap sastera tradisional. Malah, sebahagian orang berpendapat bahawa karya agung Melayu hanyalah cerita atau kisah lama yang sudah tidak relevan pada masa kini.
Hal ini demikian kerana, pembacaan karya agung Melayu dianggap eksklusif untuk pembacaan golongan tertentu sahaja, selain bahasa Melayu klasik yang sukar difahami.
Tambahnya pula, ramai yang beranggapan bahawa bahan bacaan lama agak sukar diakses. Sebenarnya, penyataan tersebut tidak benar kerana sudah ada institusi yang menyediakannya dalam bentuk e-bibliografi dan digital, selain banyak wacana ilmu tentang karya lama yang dikongsikan di media sosial.

Justeru, program memupuk pembacaan karya agung Melayu dalam kalangan belia merupakan satu inisiatif yang baik. Baru-baru ini, Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dengan kerjasama Yayasan Karyawan telah menganjurkan Program Memupuk Pembacaan Karya Agung Melayu dalam Kalangan Belia bagi meningkatkan minat belia terhadap karya agung Melayu, sekali gus memperkukuh penghayatan terhadap warisan Melayu.
Penekanan diberikan lebih kepada golongan belia, yang bertujuan untuk meningkatkan serta memperkukuh penghayatan golongan ini terhadap warisan bahasa, sastera dan budaya, agar golongan ini lebih terdedah pada warisan bangsa yang sarat dengan nilai yang dapat dijadikan pedoman sepanjang masa.
Program ini membuktikan pentingnya sinergi antara pihak industri, Yayasan Karyawan dengan institusi pendidikan tinggi dalam usaha memartabatkan serta meningkatkan penghayatan terhadap karya agung Melayu dalam kalangan belia.
Menurut Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), FBMK, Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz, “Program sebegini dapat membantu menghidupkan semula minat terhadap karya Melayu, khususnya dalam kalangan belia, sekali gus membuka peluang kepada golongan belia untuk menyerlahkan serta mengasah bakat mereka dalam dunia bahasa.

“Diharapkan agar belia dapat menggunakan peluang ini untuk menyelami lebih mendalam tentang dunia karya agung Melayu, serta menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam karya-karya tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, penyertaan daripada golongan belia perlu ditekankan lebih lagi, agar warisan budaya karya agung Melayu tidak pupus dek zaman.
“Golongan ini merupakan penerus kepada budaya warisan bagi karya agung Melayu, oleh itu, karya agung perlu dimartabatkan bagi memastikan ia dikenali, difahami dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat, terutama generasi kini,” katanya.
Karya Melayu menjadi teras pembangunan tamadun masyarakat Melayu. Justeru, sudah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat di negara ini untuk memastikan keagungan karya Melayu tidak pupus dek peredaran zaman. Jika ditelusuri, bahasa yang diadun dalam karya agung Melayu mempunyai unsur kesantunan yang unik. Pengolahan gaya bahasanya puitis, penuh nilai murni. Hal ini sepatutnya tidak menjadi penghalang dalam proses pembacaan, kerana penggunaan bahasanya tidaklah sukar untuk difahami. Bahasa klasik sedemikian perlulah diberikan perhatian dan tidak dipinggirkan, malah diteruskan penggunaannya.
Hakikatnya, sebagai rakyat, kita semua perlu menggalas amanah untuk mengembangkan serta melestarikan khazanah warisan bangsa ini agar terus hidup dalam setiap jiwa rakyat Malaysia. Sememangnya karya agung Melayu ini merupakan sebahagian daripada identiti dan jati diri kita juga.
_________________________
Helena Pieary Anak Juman pelajar tahun akhir di Universiti Putra Malaysia bagi program Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu.