Oleh Rasoul Manan
17 April 2023, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dua buah karya agung, iaitu Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, pada tengah hari tadi.

Karya Sayr Al-Salikin merupakan kitab yang ditulis oleh ‘Abdul Samad al-Falimbani, seorang ilmuwan yang telah menghasilkan beberapa buah karya tasawuf. Kitab ini terdiri daripada empat jilid. Setiap jilid mengandungi 10 bab merangkumi aspek ilmu, akidah, ibadah dan akhlak.

Menerusi kitab ini, ‘Abdul Samad memperkenalkan ilmu tasawuf seperti yang digagaskan oleh Imam al-Ghazali dan sekali gus dapat menghindari pengaruh tasawuf falsafi.

Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain.

Dalam karya ini, ‘Abdul Samad juga memperkenalkan dan memperjelaskan konsep wahdat al-wujud, yakni kewujudan alam semesta bukti wujudnya Tuhan sebagai Pencipta. Kehadiran Sayr al-Salikin pada abad ke-18 bukan sahaja dapat meredakan kontroversi yang berlaku dalam tradisi kerohanian bahkan dapat menyelamatkan umat daripada bahaya terpesongnya akidah.

Kitab ini telah dikaji dan diperkenalkan oleh Dr. Ghazali Basri, Profesor Madya Dr.Khalif Mummar, Dato’ Mohd Mokhtar dan Dr. Noriah Mohamed.

Seterusnya, karya agung Hikayat Iskandar Zulkarnain turut dilancarkan tengah hari tadi. Karya ini telah dikaji secara mendalam oleh Dr. Ghazali Basri, Dr. Noriah Mohamed dan Dr. Wan Kamal Nadzif.

Hikayat Iskandar Zulkarnain terbitan Yayasan Karyawan.

Secara ringkasnya, Iskandar Zulkarnain merupakan seorang tokoh yang dikurniakan kepandaian dan kekuatan yang luar biasa oleh Allah SWT.

Beliau melakukan perjalanan ke arah matahari terbenam, iaitu arah barat dan menerima ilham daripada Tuhan dengan diberi pilihan sama ada bertindak untuk mengazab atau berbuat kebaikan kepada kaum yang ditemuinya.

Sebagai contoh, dalam perjalanannya, beliau telah bertemu dengan satu kaum yang lemah dan sentiasa menerima ancaman musuh seperti Yakjuj dan Makjuj. Lantas, beliau telah membantu menyelamatkan kaum tersebut dengan membina tembok yang besar.

Kisah Iskandar Zulkarnain tersebut juga secara tidak langsung dapat memperkasakan status raja di mata rakyat sebagai raja yang berdaulat dan dijunjung seperti yang dipaparkan dalam teks tradisional lain, iaitu Sulalatus Salatin dan Hikayat Raja-raja Pasai.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.