Oleh Suyuthi Yusuf
17 April 2023, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada tengah hari tadi. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang membelek-belek karya agung sambil diperhatikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Hamad Kama Piah Che Othman; dan YBhg. Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan.
Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi ucapan perasmian merakamkan penghargaan kepada Yayasan Karyawan dan DBP kerana berjaya mengadakan majlis pelancaran karya agung tersebut. Beliau turut menyatakan bahawa penerbitan karya agung ini juga membuktikan negara kita juga memiliki khazanah ilmu dan budaya yang tinggi nilainya. Jelasnya lagi,

Kekuatan budaya dan khazanah ilmu juga merupakan antara tonggak dalam gagasan Malaysia MADANI di samping tidak mempertikaikan kekuatan ekonomi. Nilai, ihsan dan kemanusiaan yang terdapat dalam tradisi ilmu bangsa harus diperkenalkan dan dipopularkan.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa memperkatakan tentang peri penting khazanah ilmu diperluaskan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapan alu-aluan majlis pula mengatakan bahawa tamadun Melayu memiliki tradisi keilmuan dan keintelektualan tinggi dalam naskhah pensejarahan, perundangan dan ketatanegaraan, kitab tib, kitab agama, dan hikayat. Ujarnya lagi,

Satu jawatankuasa khas perlu dibentuk antara DBP dengan Yayasan Karyawan agar penerbitan naskhah Melayu yang lain dapat diteruskan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan semasa menyampaikan ucapan.

Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Hamad Kama Piah Che Othman yang juga merupakan ahli Lembaga Pengelola DBP dalam ucapannya pula merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana proaktif dalam menggerakkan penggemblengan dana dalam memastikan khazanah warisan sastera dapat dikaji dan dinikmati oleh masyarakat.

Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Hamad Kama Piah Che Othman semasa berucap memperkatakan tentang karya-karya agung yang pernah diterbitkan oleh Yayasan Karyawan.

Selain itu, beliau turut menyatakan keperluan untuk memperbanyak pakar filologi dan pentingnya usaha dan tindakan pendigitalan dalam memastikan kelangsungan khazanah bangsa tersebut.

Penerbitan karya agung ke-28, iaitu Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain yang menjadi karya agung ke-29 diusahakan oleh Yayasan Karyawan. Karya Sayr Al-Salikin merupakan nukilan ‘Abd Al-Samad Al-Falimbani. Karya tersebut telah dikaji dan diperkenalkan oleh Dr. Ghazali Basri, Prof. Madya Dr. Khalif Muammar, Dato’ Mohd Mokhtar Haji Shafii, dan Dr. Noriah Mohamed. Hikayat Iskandar Zulkarnain pula telah dikaji dan diperkenalkan oleh Dr. Ghazali Basri, Dr. Noriah Mohamed dan Dr. Wan Kamal Nadzif Wan Jamil.

Tonton majlis tersebut di sini:

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.