Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Antologi 99 Puisi Cinta, Antologi Puisi Cinta Lintas Negara hasil kerjasama Cakradunia dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bakal menemui pembaca di seluruh dunia apabila diterbitkan tidak lama lagi.
Lima sasterawan terlibat sebagai panel penyelaras untuk penerbitan antologi ini termasuklah Dr. Victor A. Pogadaev dari Rusia, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Malaysia), D. Kemalawati, Mustafa Ismail, dan Mahwi Air Tawar, masing-masing dari Indonesia.
Antologi yang terbuka kepada penyertaan umum ini bertujuan bagi menyatupadukan hubungan pencinta sastera dari seluruh dunia, selain membuka ruang kepada penyair yang ingin mengabadikan kisah cinta menerusi bait-bait puisi.
Memetik laporan media Cakradunia, D. Kemalawati berkata, selain membuka ruang pemahaman di tengah-tengah keragaman ideologi, agama dan kemanusiaan, antologi 99 Puisi Cinta Lintas Negara ini menjadi jambatan untuk memantapkan lagi semangat muhibah dan keharmonian, khususnya dalam kalangan penyair yang sedia terjalin selama ini.
“Puisi memiliki kekuatan melampaui batas geografi dan politik. Dalam setiap larik, ada harapan untuk dunia yang lebih damai dan penuh cinta.
“Antologi ini ialah ajakan kepada seluruh penyair untuk menyuarakan cinta sebagai bahasa universal yang mampu menyatukan manusia di seluruh dunia,” ujar D. Kemalawati.
Cakradunia merupakan sebuah industri penerbitan surat khabar yang berpangkalan di Jakarta Barat, Indonesia. Mula dibangunkan pada akhir tahun 2017.
Sementara itu, Pemimpin Redaksi Cakradunia, Helmi Hass berkata, antologi 99 Puisi Cinta Lintas Negara menjadi platform penting penyair seluruh dunia untuk merakamkan kondisi peradaban yang didakwanya semakin rapuh.
“Di tengah hiruk-pikuk dunia, kita memerlukan suara cinta yang mengalir dalam larik-larik puisi.
“Kedamaian akan tumbuh dari benih cinta, dan puisi ialah medium yang mampu menanamkan benih tersebut dalam hati manusia.
“Saya berharap para penyair memanfaatkan ruang ini untuk merangkaikan kata-kata yang mampu menyentuh nurani dan menyatukan serpihan-serpihan kemanusiaan yang terkoyak,” ujarnya.
Difahamkan, peserta yang berminat untuk menyumbangkan puisi cinta dalam antologi ini boleh menghantar sehingga lima buah puisi.
Puisi yang dikirim akan dipilih untuk diterbitkan dalam bentuk buku dan Format Dokumen Mudah Alih (PDF). Kiriman karya boleh dibuat melalui e-mel [email protected].
