Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dan Planetarium Negara dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Malam Rintihan Cakerawala sebagai manifestasi gabungan seni puisi dengan unsur alam semesta di Bangunan Planetarium Negara, malam semalam.
Antara pengisian program tersebut termasuklah acara bacaan puisi dan persembahan muzik kosmos dengan adunan seni tradisional dan sains yang bertemakan alam semesta.
Program tersebut terbahagi kepada empat segmen utama, iaitu Segmen Pertama: Menjejak Cakerawala; Segmen Kedua: Jendela Langit; Segmen Ketiga: Di Bawah Bintang Rembulan; dan Segmen Keempat: Nirwana Alam Semesta.
Segmen pertama, iaitu Menjejak Cakerawala menyaksikan penampilan YBrs. Encik Hariz Saufi Mohd Zamri dengan puisinya yang bertajuk “Suara Langit” dan persembahan nazam “Tak Tercapai Akal Insan” yang merupakan satu daripada puisi Melayu tradisional yang berfokus kepada ajaran agama oleh Sasterawan Negara (SN) ke-13, YBhg. SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan.


Dalam segmen Jendela Langit pula diserikan dengan persembahan khas deklamasi puisi oleh Pengarah Planetarium Negara, YBrs. Tuan Haji Shahruddin Haji Yusof; Ketua Penolong Pengarah (Kanan), Planetarium Negara, YBrs. Encik Mohd Zamri Shah Mastor dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus.



Selain itu, segmen Di Bawah Bintang Rembulan menarik perhatian para hadirin dengan penampilan Dijana Stena dari Serbia yang mempersembahkan lagu puisi ciptaan beliau sendiri, iaitu “Lelayang” dan dendangan syair “Rakis” karangan Pengiran Muhammad Salleh oleh Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Shafa’atussara Silahudin.


Malah, kemeriahan turut dirasai dalam segmen terakhir dengan sambutan yang hangat daripada para hadirin apabila acara dikir barat dipersembahkan oleh Kelab Dikir Sri PBHKL, di samping persembahan gurindam oleh Roslan Madun serta nyanyian lagu puisi “Sifir Bintang” dan “Bercinta Hanya Denganmu” oleh Kimal (Margasatwa).



Sementara itu, program tersebut juga membawakan persembahan muzik kosmos daripada kumpulan UiTM Loudspeaker Orchestra yang terdiri daripada para pelajar Sarjana Muzik Persembahan di bawah bimbingan YBrs. Dr. Ainolnaim Azizol serta kumpulan Space Gambus Experiment daripada USM yang dipimpin oleh YBrs. Dr. Kamal Sabran.


Program tersebut merupakan penganjuran kali kedua di Planetarium Negara selepas kali pertama diadakan pada tahun lepas melalui program Malam Cakerawala Berbisik.
Turut hadir dalam program berkenaan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, iaitu YBrs. Puan Ruziah Shafei; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, penjawat awam dan para pelajar.
