Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApabila menyebut rasa sastera terpinggir, hal ini akan menyentuh perasaan ramai pihak. Daripada penggiat seni sehinggalah ketua-ketua badan tertentu. Malaysia yang kini memasuki bulan Kemerdekaan tampaknya masih dihimpit dengan persoalan ini.
Hasil daripada polemik hangat garapan Wacana Pena minggu lepas, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menganjurkan wacana bersirinya kali kelima, dengan tajuk “Terpinggirkah Sastera di Malaysia?”. Wacana ini berlangsung pada 13 Ogos 2021 (Jumaat) jam 9.00 malam.
Perbincangan kali ini menampilkan dua panel jemputan, pengkritik dan pensyarah Profesor Madya Dr. Asmiaty Amat, serta penyair dan penerima SEA Write Award tahun 2000, Dr. Lim Swee Tin. Bersama-sama mereka ialah panel tetap wacana dan Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Konotasi “sastera Malaysia terpinggir” memang agak berbunyi negatif, tetapi Mohd Khair Ngadiron selaku moderator wacana memulakan bicara bahawa beliau mahu berbincang dengan jujur dan telus. “Kita mahu tahu, sebenarnya sastera ini untuk siapa?”
Lim dan Asmiaty memberikan jawapan yang setara bahawa sastera sememangnya untuk pembaca, yang sudi memilih untuk menikmati karya-karya garapan penulis Malaysia.
Asmiaty menyatakan, beliau percaya bahawa masyarakat Malaysia masih membaca, dan komuniti peminat sastera wujud dan berkembang. Sastera secara rumusnya adalah untuk masyarakat, dan masyarakat Malaysia pada zaman moden ini bukanlah tidak membaca, malah apa-apa yang dibaca oleh mereka juga pelbagai sekarang. Karya sastera Inggeris, karya sastera indie, mahupun arus perdana, semuanya menjadi pilihan bacaan dalam kalangan masyarakat semasa.
Posisi Asmiaty dalam dunia pengkuliahan mahasiswa di universiti memberikan ruang kepadanya untuk memerhatikan ranah pendidikan anak belia. Hakikatnya, terdapat ramai peminat sastera yang datang daripada pelbagai latar masyarakat. “Pelajar saya (datang) daripada bidang kejuruteraan, bidang sains, mereka antara pelajar yang meminati bidang sastera. Jadi, kita harus memainkan peranan untuk menyatukan masyarakat ini dengan sastera,” tegas beliau.
Sebenarnya, masyarakat tidak menolak sastera, tetapi mereka terhalang daripada melihat wajah penggiat sastera yang sebenar. Sastera memberikan nilai yang bobot dalam kehidupan manusia sebagai masyarakat. Maka, bagaimana caranya untuk kita tonjolkan wajah itu?
Bidang sastera sebenarnya berada dalam satu landasan, malah terdapat beberapa organisasi yang terlibat dengan kegiatan dan perkembangan kesusasteraan kebangsaan, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Persoalannya, adakah persatuan dan organisasi yang sedia ada sudah gagal mengangkat kekuatan sastera kepada khalayak ramai? Dalam hal ini, Lim Swee Tin bersifat positif dalam gerakan dan pengurusan persatuan dan organisasi, kerana pengalaman beliau bersama-sama mereka sangat membantu dalam perjalanan kerjaya sastera beliau.
“Kedua-dua persatuan dan organisasi sastera kita, saya boleh katakan memberikan tangan dan sokongan tanpa diskriminasi, malah langsung tidak menyisihkan dan meminggirkan orang sastera,” jelas Lim.
Saleeh, sebagai figura dalam persatuan sastera berpendapat bahawa sastera mendapat nilai bukanlah daripada kekecohan ataupun kehebohan polemik, tetapi daripada karya-karyanya. Perihal isu politik dalam kalangan ahli persatuan sastera, beliau memanggil aktiviti politik dalam persatuan sastera sebagai aktiviti senaman. “Untuk cergas, kita kena exercise. Kalau kita senyap, ia boleh kendur dan lenyap.”
Namun untuk berpijak di bumi nyata, sastera kita setakat ini terpinggir kerana masih gagal memberikan nilai ekonomi kepada para pengkaryanya. Di Malaysia, sastera tidak memberikan pulangan ekonomi yang tinggi, kerana itu para penulisnya sukar memacu ke hadapan.
Bagi Asmiaty, meletakkan sastera sebagai platform ekonomi merupakan sebuah pilihan. Memandang sastera dari perspektif mata ekonomi semata-mata adalah menyimpangkan. “Sastera memberi nilai jiwa dan kemanusiaan,” jelas beliau.
Bagi Lim pula, penulis harus bertolak daripada titik awal niat mereka berkecimpung dalam bidang sastera. Beliau juga tidak setuju dengan pendapat yang sastera tidak memulangkan hasil ekonomi. Secara terbuka, beliau berpendapat yang karya sastera masih memberikan pulangan kewangan. “Sastera tetap membina hubungan kerjasama. Jadi pengkarya yang dihargai dan menghargai, akan bekerja keras, maka hasil daripada semua itu akan mendapat pulangannya. Tetapi saya tak kata hasil sastera akan mengkayakan. Kaya pun sebenarnya subjektif, apa dan berapa yang kita maksudkan dengan kaya?”
Dalam apa-apa bidang pun, yang penting ialah bekerja. Jika menulis untuk kaya, haruslah mengerjakan palma dengan penuh raga. Lim malah menggunakan istilah “Kita mencitrakan diri dalam kegiatan sastera kita.”
Saleeh pula berkata, kalau penulis itu berkebolehan, mereka boleh jadikan kegiatan sastera sebagai sebuah komoditi, bukan semata-mata kegiatan hobi dan sosial. Menurutnya, tiga faktor penting untuk meletakkan karya sastera dalam kegiatan ekonomi, iaitu karya itu sendiri, penulisnya dan pihak sekeliling.
“Sasterawan perlu turun ke padang dan mengenalkan diri mereka kepada masyarakat. Tonjolkan diri kepada sasterawan muda, orang-orang awam, malah mereka yang tidak dekat dengan cahaya kesusasteraan,” jelas Saleeh.
Acara penutup Wacana Pena kali ini menyaksikan Mohamad Saleeh mendeklamasikan puisi kegemaran dan bualan ramai, “Siti”, Lim Swee Tin mendeklamasikan “Menjadi Seorang Penyair”, dan Mohd Khair membacakan puisi karya Rudi Mahmood.
Tonton wacana penuh di sini.