Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Che Ibrahim Salleh menyampaikan mekar dan haruman bunga rohani puisi klasik ciptaan Sasterawan Negara Kemala.
Pelangi Sunyi
Sesiapa yang menipu kerana seni akan menerima padahnya. Mereka ini hidup dalam kepura-puraan dan kealpaan, yang akhirnya akan membinasakan dirinya sendiri. Semua ini tersurat dan tersirat daripada fenomena alam, yang kadang-kadang tenang dan kadang-kadang bergelora.
Sasterawan Negara Kemala terus mengingatkan kita bahawa kecewa bukanlah penyelesaian yang tuntas dan berpada. Sebaliknya, kita perlu mengukuhkan iman dengan menyatukan barisan untuk peradaban bangsa yang lebih sempurna, supaya rakyat jelata tidak hilang pedoman dalam melayari bahtera kehidupan. Syahadah didakap padu untuk menerjah masa hadapan dunia globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang penuh cabaran. Peringatan dunia akhirat akan memastikan bahawa kita akan meniti di atas landasan yang benar, ke arah pembentukan sahsiah umat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Idealisme dan azam seperti ini akan membuahkan kehidupan yang rukun dan damai. Cinta murni terhadap negara bangsa akan terbina, dan siaga untuk berkhidmat demi ibu pertiwi. Jika ini menjadi realiti, maka terbinalah peradaban baharu bagi bangsa ini untuk diwarisi kepada generasi masa hadapan. Keimanan terhadap Ilahi akan terus “meranum” dan melestari; mengufuk rindu untuk kehidupan dunia dan akhirat.
Di dunia, kita senantiasa mencari diri dan mencari erti, seperti juga ungkapan, “malam mencari mimpi, dan siang mencari erti”. Sebagai khalifah di bumi, kita perlu bermuhasabah diri (menilai diri untuk pembaikan diri sendiri atau introspeksi). Pembaikan diri akan bernatijahkan impak terhadap negara tercinta. Nama negara akan harum dan terkenal seantero dunia. Rakyat tidak mengejar bintang, tetapi insaf, dan terus berjuang, dengan tidak mengira penat lelah untuk kesejahteraan watan (tanah air dan tanah tumpah darah).
Kita akan terus memperkuat azam dan iltizam untuk menuju matlamat wawasan, menegakkan kemanusiaan secara tuntas dengan iman dan jiwa besar. Jauhi riak dan takabbur, kentalkan semangat untuk menempuh gelombang kehidupan, seperti ibu yang senantiasa menaruh harapan.
Pada zaman Nabi Muhammad SAW, Khadijah, Aisyah, Umairah berada di barisan hadapan untuk menyokong amanah Nabi membangunkan umat, membuka ruang panggilan suci. Mukminat ini mencapai makam yang tinggi. Contoh lain yang diberi ialah Asiah yang berani melawan Firaun. Asiah hatinya tetap membulat dengan belaian Rabbani (ketuhanan) yang hebat. Kemala membandingkan fenomena ini dengan tamsil ibarat, yang digarap zahir dan batin, gelora lautan yang mengancam nyawa, “candu dijamu, iman melayang”. Gelora juga ada pasang surutnya. Demikian juga dengan kehidupan ini. Bahagia derita, susah senang silih berganti.
Sesiapa yang menipu kerana seni akan menerima padahnya. Mereka ini hidup dalam kepura-puraan dan kealpaan, yang akhirnya akan membinasakan dirinya sendiri. Semua ini tersurat dan tersirat daripada fenomena alam, yang kadang-kadang tenang dan kadang-kadang bergelora, akibat keangkuhan manusia sendiri dengan “tuak alkohol sulang menyulang”, yang akhirnya meluluhlantakkan harga diri. Itulah suratan takdir milik Ilahi.
Khatimah Menemukan Erti
Kemala seterusnya bermadah tentang kelukaan kepada terhakisnya nilai murni kehidupan melalui khatimah menemukan erti. Jalan memperbaiki diri dan menentukan haluan yang betul tetap terbentang luas, seperti yang terakam dalam gurindam peninggalan leluhur kita. Jika benar-benar dihayati dan diamali mengikut tatacaranya yang betul, pasti impaknya luar biasa sekali. Permusuhan akan berganti dengan perdamaian, ibarat “musang dan ayam sama sebilik”. Perseteruan sepanjang zaman berakhir dengan persahabatan. Demikianlah cinta dan takwa memainkan peranannya.
Keadaan akan menjadi lebih mengesankan jika zikir sufi menanjak zuhud (seseorang yang soleh hidupnya, dan tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia). Jauhi perlakuan sumbang, terutama pada bulan ibadat. Jika hal ini tidak dihiraukan, maka “gugurlah wibawa, martabat sesat”, seperti yang terjadi pada Tuah dan Jebat.
Jebat membela Tuah demi kebenaran, tetapi dia tetap dianggap menderhaka. Demikian juga dengan kisah Raden Galoh Cendera Kirana, yang cantik jelita dan Puteri Gunung Ledang yang cendekia. Kedua-duanya mengukir sejarah tersendiri. Puteri Gunung Ledang berinteraksi dengan Sultan Melaka menggunakan helah berbisa untuk menolak pinangan raja Melaka. Melaka pada masa itu menjadi kota kosmopolitan pusat perdagangan di Alam Melayu. Bangsa asing (Portugis, Belanda dan Inggeris) menjarah khazanah kekayaan Melaka sehingga Melaka kehilangan seri dan rakyat menjadi lemah seluruh negeri.
Feringgi (Portugis) mengambil kesempatan menyerang Melaka. Akhirnya, Melaka jatuh. Kesannya menyengsarakan seluruh Tanah Melayu. Kini, Malaysia mula bangkit kembali untuk memartabatkan budaya bangsa dan citra diri yang perkasa, yang sebelumnya sudah tiada. Mereka siaga menghadapi musuh dan lawan dengan berhemah, di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Fenomena ini digambarkan oleh penyair sebagai “langit bermega mendung, bayang-bayang noda membersit” (menjadikan terpersil, iaitu tertonjol/tersembul), “firasat terbakar”, “bulan kemarau”, “setia disindir”, “kepinding menghisap darah”, dan “jelatang melilit nazam”.
Semua ini menyebabkan rasa cinta semakin keruh dan kelam, yang akhirnya menyedarkan kita bahawa kita telah tersasar daripada hakikat syahadah. Kita perlu kembali kepada-Nya, dengan berbudi susila dan bermunajat demi keredaan-Nya.
Karya Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin ialah mutiara warisan yang wajar dihayati untuk menemukan erti, diri dan iman. Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Mohon ampun dan mentazkiyahkan diri daripada dosa untuk memperoleh rahmat Ilahi. Sekali gus membina semula peradaban bangsa yang semakin suram dan kelam. Maruah diri diangkat kembali sebagai manikam (batu permata dan intan).
Dengan itu, ranjau kehidupan dapat disirnakan, hidup menjadi kukuh berpadu, terbinalah insan bermaruah dan hidup menjadi berkat (mendapat rahmat dan restu) daripada Allah. Fitnah dan gunjingan perlu dielakkan untuk mendukung kemanusiaan luhur, hidup membudaya dan setiakawan turut terjalin, terangkum kukuh di akal budi, bakti lestari sepanjang zaman, dan bertawakal untuk mendapat keredaan Ilahi.
Madah Kemala yang diketengahkan di atas itu, merupakan siklus pantun yang dilukis indah sebagai titik akhir mengalung kasih, seperti kisah Rabiah al-Adawiyah dan Hassan Basri, yang tercatat dalam lipatan sejarah, iaitu hamba Allah yang pasrah ke hariban Ilahi.
Menelusuri madah Kemala, kita terpana dan terkesima dengan bayangan makna yang padu, yang memancarkan citra gagasan pemikirannya, yang melimpahi makna bahasanya sebagai wahana komunikasi. Ungkapan bahasanya merupakan pena peluahan paparan hati nurani bangsanya, keresahan jiwa yang merindukan keindahan, ketuntasan, kecendekiaan, kebenaran, ketenteraman, kedamaian, kelembutan, keselesaan, kemurahan, kemesraan, dan keandalan.
Dalam 1000 Pantun Puitis ini, Kemala mengungkapkan perihal insan yang berkelana mencari reda Ilahi, dengan jerih perih dan kudrat yang ada, yang berbaur antara mazmumah dengan mahmudah. Ungkapannya unik, diksinya utuh dan padu, dan pandangan sarwanya terang dan jelas meneroka alam kerohanian, berpaksikan nurani murni insan yang beriltizam dan bertakwa.
Kemala berjaya mengadunkan unsur estetika dan etika dalam karyanya ini. Beliau menerawang di alam cakerawala daripada kolum sufi dan kehidupan rohaniah, hinggalah realiti kehidupan duniawi kini. Semua fikiran dan rasa hatinya dijelmakan menerusi judul “mukadimah mencari diri”, “mawar cinta dalam dada”, “menatah cinta”, “prisma pelangi”, “relung mahabbah”, “mentafsir langkah”, “berahi dan dendam”, “takwil rindu”, “pelangi sunyi”, dan “khatimah menemukan erti”.
Panduan luhur daripada firman dan hadis, kisah keilmuan sarjana Muslim yang bersulamkan semangat kental, dan pemilihan diksi yang ampuh dengan etika dan estetika yang meruntun jiwa, dan ditunjangi oleh puisinya yang bersifat kerohanian, Kemala akhirnya sampai ke destinasinya untuk mengenal diri dan memahami erti kehidupan ini, sehinggalah beliau dijemput Ilahi.
Baca Bahagian Pertama dan Kedua Refleksi |
Beli Dasawarsa Lima: Kumpulan Puisi Lengkap Kemala (1960 – 2013) di sini.
_________________________
Che Ibrahim Salleh (Dr.) ialah felo pengajar Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.