Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJika orang bertanya, siapakah Kemala kepada saya? Jawapan saya, kami bersaudara.
Itulah yang diungkapkan oleh Sasterawan Negara ke-14, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail yang turut sama berasa kehilangan atas pemergian Allahyarham Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala pada tanggal 27 Oktober 2021 yang lalu.
Menurut beliau, nama Kemala didengarinya buat pertama kali melalui penceritaan ibunya yang mengenali peribadi allahyarham secara dekat.
Beliau seorang penghuni perpustakaan. Ketika beliau menjadi seorang guru, bekas pelajarnya mengatakan bahawa beliau rajin mengulang kaji bersama-sama pelajarnya di samping menulis.
Tambah Datuk Dr. Siti Zainon lagi, beliau melihat pengalaman Allahyarham Kemala mengajar di Tanjung Karang, iaitu sebuah perkampungan petani pada waktu itu yang dikatakan perlu menggunakan perahu untuk menyeberang sungai dari Kuala Selangor, telah menjadi latar kepada kemunculan puisi-puisi awal allahyarham.
Mereka bertemu buat kali pertama apabila Allahyarham Kemala diminta ke British Council, Kuala Lumpur untuk mewawancara Datuk Dr. Siti Zainon tentang pameran seninya di situ. Pada waktu itu, allahyarham bertugas sebagai sidang pengarang majalah Dewan Sastera.
Apabila ditanya tentang usaha untuk mengenang perjuangan Allahyarham Kemala dalam bahasa dan kesusteraan Melayu, Datuk Dr. Siti Zainon berkata bahawa sudah tiba masanya untuk koleksi karya dan surat-surat lama para sasterawan termasuklah Allahyarham Kemala dirapikan semula.
Tuhan akan mengambil kita pada bila-bila masa. Harta yang ditinggalkan kepada kita hari ini ialah buku-buku penulisan yang perlu dikekalkan wajah-wajahnya.
Katanya lagi, khazanah yang ditinggalkan oleh allahyarham banyak sekali. Oleh sebab itu, antara usaha yang boleh dilaksanakan untuk mengenang jasa beliau adalah dengan mewujudkan pustaka-pustaka kecil di tempat allahyarham pernah bertugas.
Kita ikuti perkongsian yang lebih mendalam daripada Datuk Dr. Siti Zainon Ismail tentang insan istimewa, Allahyarham Kemala.