3 Oktober 2024, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Che Ibrahim Salleh menyampaikan mekar dan haruman bunga rohani puisi klasik ciptaan Sasterawan Negara Kemala.

Relung Mahabbah

Kemala meneruskan madahnya perihal pemimpin dan kepemimpinan, bersimbolikkan berahi dan dendam.

Sasterawan Negara Kemala meneruskan madahnya dengan relung mahabbah. Relung bermaksud lekuk atau jeluk, iaitu lengkung (cekung) ke dalam. Mahabbah ialah kasih sayang atau percintaan, iaitu perihal berkasih sayang atau bercinta-cintaan. Relung mahabbah bermaksud rasa cinta yang mendalam, jauh ke lubuk hati, yang senantiasa dihiasi senyuman dan tak mungkin terlerai lagi.

Sekeras-keras hati, pasti dapat diluluhkan oleh manisnya senyuman. Rasa cinta yang mendalam seperti cinta Rabiah terhadap penciptanya, yang selalu bertasbih mengingati dan memuji Allah, untuk menjauhkannya daripada musibah/musibat (bencana, celaka dan malapetaka). Iman dan takwa jika berpadu akan mewujudkan rasa kasih sayang yang murni dan tidak bergoyah lagi. Kemewahan fizikal dan kekuasaan serta nafsu serakah bawaan iblis akan dapat dihindari. Jika tidak, “buta hati sudah mati budi”.

Cinta sufi akan terus menyala dan menyinari seperti pelita, yang memberikan cahaya kepada seluruh alam, tanda kebesaran dan kasih sayang Ilahi kepada hamba-Nya. Hakikat ini terjelma dalam diri Ibrahim Adham. Cintanya kepada Tuhan ialah cinta murni dan cemerlang, “batin rindu ke hadrat Ilahi”, yang bukannya fatamorgana (sesuatu yang bersifat khayalan), tetapi hakikat realiti yang sepatutnya dihayati, kerana seluruh alam, daripada yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya, milik-Nya juga.

Kita sepatutnya menjadikan alam sebagai rangsangan untuk menanjak kehidupan yang lebih bermakna. Azam dan iltizam (keterlibatan secara bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu) menjadi asas utama dalam usaha untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. Rezeki yang dikurniai Allah ada di mana-mana. Asalkan kita tidak jemu berikhtiar dan kemudiannya bertawakal, dengan penuh kesyukuran atas nikmat yang diperoleh. Tanah yang setiap masa dipijak dan dihentak, masih mampu menghidupkan sesuatu untuk manfaat manusia yang memijak dan menghentaknya.

Kehidupan bertatasusila perlu didominasikan dalam aktiviti harian kita yang penuh pancaroba, yang kadang-kadang melukakan dan mengecewakan. Namun begitu, kita perlu menghadapinya dengan tenang, dan terus menyemarakkan rasa muafakat, yang tentunya akan membawa berkat.

Peranan cendekiawan amat signifikan dalam konteks ini, khususnya untuk mengukir kegemilangan dalam pembentukan jati diri yang mantap dan beradab. Cendekiawan dengan senjata penanya dapat menyalurkan idea, wawasan dan gagasan citra pembangunan bangsa untuk menjamin kelestarian kesopanan dan kesesusilaan, seperti yang termaktub dalam Rukun Negara. Hal ini demikian kerana mata pena lebih tajam daripada mata pedang.

Hal ini pernah diolah oleh Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah. Bahasan falsafahnya merakamkan warisan budaya peribumi berlandaskan firman dan hadis. Pernyataannya ini disambut dan disemarakkan pula oleh cendekiawan Nusantara dengan menggembleng idea untuk menuranikan ilmu dalam kalangan masyarakat. Idea mereka menyumbang ke arah pembinaan peradaban di Kepulauan Melayu, mengangkat martabat bangsa dengan perantaraan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda yang gah dan berkarisma.

Mentafsirkan Langkah

Madah diteruskan dengan mentafsir langkah, iaitu memberikan penjelasan, mengulas, mengertikan, dan menghuraikan cara menegak maruah bangsa. Antaranya, termasuk memajukan bahasa untuk memajukan bangsa, kerana prasyarat utama untuk memajukan bangsa ialah ilmu. Ilmu hanya dapat dijelmakan dan disebarkan melalui bahasa yang maju. Oleh itu, bahasa mestilah dimajukan terlebih dahulu, sebelum memajukan bangsa. Bahasa dalam konteks ini ialah bahasa ibunda, yang dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, melalui Dasar Bahasa Kebangsaan. Pemerkasaannya dibuat melalui Kongres Bahasa.

Kongres Bahasa dapat memastikan bahawa idea pemartabatan bahasa dapat dirumuskan dan dilaksanakan dengan berkesan, dan memberikan dampak positif. Permasalahan yang wujud dapat diatasi bersama, kerana jika mulia bahasa, maka mulialah diri. Namun begitu, kita perlu berhati-hati dengan arus globalisasi, yang mengambil kira kepentingan bahasa asing. Jika tidak, bahasa dan budaya kita sendiri akan dilanda musibah dan malapetaka, mengorbankan jati diri dan akal budi bangsa. Yang lebih parah dan mengesankan, jika kita akan “diperbudakkan” dan terus berjiwa hamba.

Kemala kemudiannya mengimbau situasi awal negara menuju kemerdekaan. Semangat juang rakyat yang membuak-buak, pimpinan Dato’ Onn menentang pembentukan Malayan Union. Akhirnya Malaya merdeka, tanpa pertumpahan darah, tidak seperti yang berlaku pada tanah jajahan yang lain. Indonesia mencapai kemerdekaan dengan darah dan air mata. Itulah sebabnya daya juang dan ketahanan hati rakyatnya sukar untuk disirnakan. Ancaman komunis juga dapat dihapuskan. Usaha pembangunan ekonomi dan sosial diperkenalkan dan diperhebat, seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Penyelesaian masalah rakyat diutamakan dalam semua aspek pembangunan.

Perdana Menteri masa itu telah memajukan pertanian dan menangani isu sensitif, seperti budaya etnik, bahasa Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, dan agama Islam. Namun demikian, bangsa Melayu terus tertinggal dalam arus pembangunan. Mereka terus berusaha untuk mengubah taraf kehidupan, dengan tidak meminggirkan seni budaya yang rencam dengan pelbagai warna etnik, berteraskan Rukun Negara. Penghayatan Rukun Negara menjadikan negara lebih kukuh dan bermaruah. Rakyat menjadi lebih kuat dan siaga untuk menghadapi cabaran ke arah Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.

Pusat Bahasa dan pemimpin yang berwibawa menyumbang ke arah perkembangan bahasa Melayu dan negara ke seantero dunia. Ditambah lagi dengan status Malaysia sebagai negara raja berperlembagaan, yang menjamin hak semua warganegaranya. Hal ini juga menjadikan rakyatnya bersemangat waja, bersopan santun dan berakal budi mulia, berteraskan idealisme yang unggul.

Idealisme unggul ini menghasilkan pelbagai watak rakyat, sama ada pintar seperti Nadim atau derhaka seperti Jebat. Kedua-dua watak ini memberikan warna kehidupan pada alaf ini. Pasti, susila dan budi diutamakan, dan sifat algojo (orang yang bengis dan kejam) dihindari. Ulama tempat merujuk, dan ilmu menjadi payung pelindung.

Berahi dan Dendam

Kemala meneruskan madahnya perihal pemimpin dan kepemimpinan, bersimbolikkan berahi dan dendam. Berahi ialah kasih yang amat sangat, sangat suka, dan dendam ialah perasaan (keinginan) untuk membalas sesuatu perbuatan. Ilmu perlu dijadikan dasar utama memimpin untuk memastikan bahawa yang dipimpin beroleh kebahagiaan yang menyangkut hakikat peradaban. Jika tersilap langkah, terorisme akan mengambil tempat, dan suasana politik akan menjadi kacau. Inilah yang terjadi di Bosnia-Herzegovina. Kekacauan dicetuskan oleh Serbia-Komunis.

Fenomena ini tidak dipandang serius oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Oleh itu, terorisme telah merambah ke seluruh dunia, termasuk di Iraq. Iraq dituduh merancang senjata nuklear. Tuduhan ini dibuat sebagai alasan untuk menjajah. Amerika mengisytiharkan perang terhadap Iraq, dan pengganas terus dijaja sebagai milik orang Islam, dengan mengadu domba dunia ketiga, terutama di Timur Tengah dan Asia-Afrika.

Akhirnya, Iraq musnah dan rosak binasa. Rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa nafsu serakah dan tamak haloba penguasa. Presiden Iraq sendiri ditangkap dan mati di tali gantung. Tiada bukti bahawa Iraq membina senjata nuklear. Semuanya fitnah belaka untuk menghalalkan cara. Sumber kekayaan Iraq dijarah semua, hingga hancur lebur khazanah peradaban. Impak kehibaan peperangan ini berterusan tanpa kesudahan.

Adu domba dan sengketa lumrah dan mendominasikan alam. Suasana ini meredam perdamaian sejagat, dan mengarah kepada kehancuran dunia. Manusia lupa akan keagungan Tuhan, yang menentukan segalanya. Manusia hanya sebutir zarah yang serba kekurangan, dan tidak berdaya menahan musibah. Mereka tenggelam dalam keegoan, walaupun Tuhan memberikan ingatan dengan gempa bumi, ribut taufan dan kebakaran hutan. Mereka terus hanyut, alpa diri dan terus bermimpi ke alam fatamorgana.

Akhirnya Bush tersungkur di Amerika Syarikat dan Barrack Obama mengambil tempat. Cahaya keadilan diharapkan menerangi alam, dan segala punca musibah dapat dibersihkan. Namun begitu, tidak mudah berbuat demikian. Dunia yang sudah rosak dan porak peranda, kehilangan adab kerana melawan Tuhan, akhirnya ditimpa musibah lagi, dengan tsunami, yang meranapkan bahagian dunia, seperti yang terjadi di Aceh dan di Jepun.

Kita perlu kembali kepada Allah. Hayati sepenuhnya firman Tuhan dan hadis nabi sebagai asas keyakinan dan pedoman hidup seharian. Dengan itu, kita akan memperoleh keberkatan dan kebahagiaan pada hari kemudian. Kehidupan kita juga di kelilingi oleh flora dan fauna serta makhluk lain dalam suasana damai dan tenteram, demi idealisme cinta semata-mata, bukan kerana gelaran dan kekayaan kebendaan atau yang seumpama dengannya.

Kehidupan perlu berlandaskan visi dan misi untuk merealisasikan impian. Visi ialah tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, bersifat futuristik. Misi ialah tugas khusus yang dipertanggungjawabkan atau yang dilakukan. Impian akan terus diperjuangkan, dengan tatacara budaya peradaban yang sebenarnya, bukan budaya songsang. Rintihan dan rayuan perlu ditinggalkan untuk menghadapi realiti dengan penuh makna. Azam dan hasrat dilagang dan diperkasa untuk menggapai kecemerlangan budi.

Takwil Rindu

Syeikh Abdul Kadir Jailani memperkenalkan konsep syariat, makrifat dan hakikat, bersatu dan mengenal diri untuk menggenggam tauhid bermujahadah, menyeimbangkan dunia dengan akhirat.

Kemala turut memperlihatkan kelukaan terhakisnya nilai murni kehidupan melalui takwil rindu. Takwil bermaksud keterangan, penjelasan, takbir dan tafsir. Rindu ialah perihal ingin benar akan sesuatu. Kemala rindu akan Tuhan yang satu. Dengan jalinan firasat dan kias, beliau ingin menggapai kedamaian. Namun begitu, terdapat juga insan yang menyalahgunakan rasa rindu, seperti kisah Nabi Yusuf a.s. dengan Zulaikha. Zulaikha , isteri pembesar Mesir jatuh cinta kepada Yusuf. Akibat fitnahnya, Yusuf dipenjarakan untuk menutup malu. Namun akhirnya, Yusuf menjadi pembesar negara. Semua rakyat disantuninya dengan saksama.

Pengalamannya di penjara menjadikan Yusuf lebih tabah menghadapi takdirnya sebagai nabi dan pembesar negara. Pengurusan pentadbirannya berjalan lancar dan rakyat tiada yang kelaparan. Pengalaman dicampak ke perigi buta oleh saudaranya, dan dilelong di pasar borong, difitnah dan dipenjarakan, akhirnya membawa Yusuf ke tempat yang lebih mulia, iaitu menjadi bendahari khazanah negara. Demikianlah takdir Tuhan, seperti yang tersurat kisahnya dalam al-Quran.

Kemala bermadah lagi tentang perkembangan bahasa dan sastera di Nusantara. Dengan izin Allah, bahasa Melayu menjadi lingua franca dalam segala ranah kehidupan, termasuk pengembangan ilmu daripada peringkat rendah hingga peringkat tinggi (doktor falsafah) dalam pelbagai disiplin ilmu. Bermunculanlah watak seperti Krishen Jit atau Utih, Usman Awang dengan Uda dan Dara, Tuah dan Jebat, Kemala dengan Di Bumi Lain. Masyhur Malaya dengan Wak Cantuk, Ahmad Bakhtiar berkeris Melaka, Dinsman dan Johan memperkasakan bahasa dan sastera tanah air. Mereka menggunakan pelbagai aliran dalam garapan karya kesusasteraannya, seperti realisme, surealisme dan sebagainya. Kemala sendiri mempelajari teori Puitika Melayu, Takmilah, Teksdealisme, dan Pengkaedahan Melayu.

Pujangga menghasilkan pelbagai genre kesusasteraan yang berupa hikayat, pantun, syair, dan gurindam. Di samping itu, wujud juga karya keagamaan untuk penyebaran agama Islam, yang kemudiannya disebatikan dengan karya kesusasteraan dan kesenian, demi pengagihan kasih dan sayang sesama insan, dan pada masa yang sama, watan. Pelestarian budaya ini melalui citra zahir dan batin dengan mentazkiah jiwa.

Di Singapura, berkembang ajaran Habib Umar dari Hadramaut dengan ratib dan maulud. Dengan itu, Jemaah Islam di Nusantara semakin bertambah. Antaranya, Syeikh Abdul Kadir Jailani memperkenalkan konsep syariat, makrifat dan hakikat, bersatu dan mengenal diri untuk menggenggam tauhid bermujahadah, menyeimbangkan dunia dengan akhirat.

Untuk menggapai hati yang damai, hidup yang bahagia, al-Quran dan hadis menjadi pegangan. Semua kerja terlarang dan godaan syaitan perlu ditinggalkan supaya tidak menyesal pada hari kemudian. Kita juga hendaklah reda dengan takdir suratan, dan syiar akan bersinar sepanjang zaman.

Baca Bahagian Pertama dan Ketiga Refleksi |

Beli Dasawarsa Lima: Kumpulan Puisi Lengkap Kemala (1960 – 2013) di sini.

_________________________

Che Ibrahim Salleh (Dr.) ialah felo pengajar Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.