Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPenyajak dari Kelantan, Zuharman Mohammad Nor mengimbau momen bersama-sama dengan SN Allahyarham Kemala yang sampai sekarang masih membekas dalam dirinya.
Allahyarham lantas mempelawa saya duduk di sebelahnya. Agak kekok berada di tengah-tengah penyair bernama besar yang terkenal di seluruh tanah air.
Pertama dan terakhir bertemu Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah semasa beliau berkunjung ke negeri Kelantan sekitar hujung tahun 2019. Pertemuan berlaku tanpa diduga. Tidak dirancang.
Lewat pagi Jumaat 22 November 2019, Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari menghubungi saya untuk keluar sarapan pagi di salah sebuah warung yang menjadi tempat kebiasaan kami bertemu.
“Zuharman…”
Rosli selalunya tidak konsisten membahasakan diri saya. Selain Zuharman, kadang-kadang dipanggil juga Zuhar. Lazimnya Har. Ada juga Man. Mengikut selera dia.
“Kalau berkelapangan mari keluar warung biasa ini. Kita sarapan bersama Dato’ Kemala.” Tambahnya ketika menghubungi saya di talian.
Saya amat teruja dengan pelawaan itu. Mana tidaknya, bukan senang berpeluang bertemu dan duduk sarapan bersama SN. Jadi, peluang itu tidak harus ditolak begitu sahaja. Apatah bagi saya, kalau boleh dipanggil penyairpun hanya sebagai nama paling kecil antara nama-nama kecil dalam dunia seni kepenyairan.
Tanpa banyak cakap saya menerima pelawaan Rosli dengan meninggalkan aktiviti pagi minggu yang sedang dilakukan untuk seketika. Saya kira balik nanti boleh sambung semula. Tetapi peluang ini belum pasti akan muncul lagi. Kalau munculpun belum tentu ada keizinan untuk saya.
Setiba di warung, Allahyarham sedang menikmati nasi berlauk pagi yang sememangnya menjadi pilihan masyarakat tempatan sejak puluhan tahun dulu. Selain Rosli, turut ada bersama ialah mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ A. Aziz Deraman dan penyair tidak asing Tanah Serendah Sekebun Bunga, Abdul Hadi Yusoff.
Rosli pantas memperkenalkan saya kepada Allahyarham, “Zuharman Dato’…” katanya.
Malah pantas juga Rosli memberitahu tentang sajak-sajak saya yang telah tersiar dalam majalah Dewan Sastera dan akhbar. Allahyarham tersenyum. Senyumnya bertambah manis diserikan dengan raut wajahnya yang putih jernih. Dapat saya merasai kemesraannya. Allahyarham lantas mempelawa saya duduk di sebelahnya. Agak kekok berada di tengah-tengah penyair bernama besar yang terkenal di seluruh tanah air.
Ketika sedang bersarapan saya dikejutkan oleh Allahyarham yang tiba-tiba meminta lima buah sajak daripada saya.
“Nanti bagi saya lima buah sajak, Man” ujarnya membahasakan diri saya sebagai Man.
Terdetik rasa terharu, berbaur segan. Diam seribu bahasa. Saya hanya mampu menjawab, “Insya-Allah Dato’, saya cuba.”
Saya tidak tahu untuk apa lima buah sajak dipintanya. Tetapi tidak layak bagi saya untuk bertanya. Bagaimanapun sebagai penyair kerdil sudah semestinya saya cukup rasa berbangga dengan naratif ini.
Bicara kami pada pagi yang mulia itu hanya tertumpu kepada sajak. Dengan penuh keinsafan saya memberitahu Allahyarham bahawa saya tidak mempunyai banyak karya sajak. Kerana lambat. Tidak pantas. Kadang-kadang terpaksa mengambil masa berbulan-bulan untuk menyiapkan sebuah sajak.
Walau tidak banyak, sekadar lima buah itu cukup untuk saya tunaikan permintaan Allahyarham. Tetapi sajak saya cuma sajak-sajak kecil. Dari segi kualitipun mungkin sangat daif – paling tercorot berbanding penyair lain.
Allahyarham tersenyum mendengar saya. Senyumnya sekaligus membuatkan saya rasa kenaling. Berbaur seribu persoalan. Barangkali ada sesuatu yang tidak kena dengan cara saya menulis. Sebab itu lambat. Tidak pantas. Namun aneh, tidak semena-mena lewat senyumnya beliau bagai meneka,
“Man belajar menulis puisi – sajak – dengan Rosli?”.
Tergamam juga dengan tekaan itu. Tetapi cepat pula saya menjawab ringkas, “Ya, Dato”.
“Rosli orangnya sangat teliti. Tidak terburu-buru dalam menyiapkan sajak-sajaknya. Tapi dia terus menulis dan menulis”, tambahnya.
Saya tekun mendengar sambil melayan kenaling yang tidak mahu hilang. Dari sisi lain saya percaya setiap kata-katanya adalah ilmu buat saya.
Allahyarham cuba mendedahkan sebuah puisi Rosli yang ditulis sejak 20 tahun lalu namun hingga sekarang belum siap. Dari segi kondisi puisi itu mungkin sudah sempurna, tetapi dilema antara dua perkataan iaitu “menanti” atau “menunggu”.
“Lama dia mengambil masa. Memikir sama ada “menanti” atau “menunggu”. Mana satu perkataan sewajarnya perlu digunakan bagi mengindah dan mendinamikkan sajaknya”, jelas Allahyarham.
Tidak hairanlah jika demikian Allahyarham menganggap Rosli antara penyair yang genius. Mampu berfikir secara total. Cermat, halus dan teliti. Bahkan Allahyarham tidak menafikan kebanyakan sajak-sajak Rosli indah dan dinamik.
Pertemuan singkat itu bukan sekadar mencipta pengalaman baru buat saya. Lebih dari itu ialah ilmu-ilmu kesusasteraan khususnya dalam bidang kepenyairan. Secara peribadi sudah tentu ilmu-ilmu itu menjadi motivasi dalam melestarikan dunia seni kepenyairan saya sendiri.
Sebelum meninggalkan warung saya tertarik, bahkan rasa terkesan dengan satu nasihat Allahyarham,
“Menulis, biar ikhlas. Lahir dari hati. Jangan kerana nama. Jangan kejar kuantiti. Utamakan kualiti.”
Nasihatnya sekaligus mengingatkan saya kepada falsafah penulisan Rosli, iaitu “jangan gopoh…”.
Bagi Rosli, jika sajak yang ditulis itu rasa tidak sampai maka abaikan dahulu. Jangan cepat buang kerana ia boleh disemak semula pada masa akan datang mungkin dengan idea baharu yang lebih segar.
“Tulislah puisi dengan gaya dan cara yang mudah, tapi jangan lupa, indah.”
Demikian nasihat yang selalu diulang-ulang oleh Rosli.
Usai sarapan kami mengiringi Allahyarham menziarah makam Tok Kenali, seorang tokoh ulama tanah Melayu yang terletak tidak jauh daripada warung kami bersarapan. Sepanjang menemani beliau di tanah perkuburan fikiran saya banyak terarah kepada permintaannya. Membayangkan lima sajak untuk beliau.
Di tanah perkuburan Islam itu Allahyarham tidak mengambil masa lama kerana kesuntukan waktu bagi menyiapkan diri untuk solat Jumaat. Sekadar menziarah makam Tok Kenali, kemudian melihat suasana sekitarnya lalu memohon pamit.
Sebelum meninggalkan tanah perkuburan sekali lagi saya diingatkan,
“Man, jangan lupa lima buah sajak hantar kepada saya, ya”.
Sekali lagi juga permintaannya membuatkan saya bertambah rasa terharu.
Perpisahan kami di tanah perkuburan itu sama sekali tidak menamatkan rasa terharu, segan dan kenaling. Bahkan ia tambah membuak-buak sebelum dapat mengumpul lima sajak diminta Allahyarham.
Sejurus pulang ke rumah saya tidak peduli untuk menyambung semula aktiviti yang ditinggalkan tadi. Sebaliknya langsung membelek beberapa sajak yang sudah tersiar di dalam majalah Dewan Sastera dan akhbar sebelum ini. Saya memilih lima sajak yang dikira sesuai untuk dihantar kepada Allahyarham. Sajak-sajak itu bagaimanapun tidak sempat saya serahkan kepada Allahyarham pada hari yang sama kerana masanya agak padat. Manakala keesokan harinya pula Allahyarham sudahpun mahu pulang ke Kuala Lumpur.
Sajak-sajak tersebut lalu saya sampulkan dan menyimpan rapi sebelum dihantar. Saya tidak segera mengirimkan sajak-sajak itu lewat emel atau pos kerana bercadang untuk pergi ke Kuala Lumpur dalam tempoh seminggu atau dua minggu mendatang. Di situ nanti saya boleh serahkan sendiri ke tangannya.
Rasional saya ialah untuk bertemu Allahyarham buat kesekian kalinya. Ruang pertemuan itu nanti dapat saya manfaatkan untuk menimba sedikit sebanyak ilmu-ilmu penulisan khususnya sajak dengan Allahyarham, atau sekurang-kurangnya saya dapat mendengar kritikan terbuka olehnya terhadap lima sajak tersebut.
Tepat dua minggu (sekitar akhir Disember 2019) masa dirancang, saya menghubungi Rosli, sekadar ingin memberitahu akan ke Kuala Lumpur. Selain urusan peribadi, adalah untuk jumpa Allahyarham bagi menyerahkan lima sajak yang dimintanya dahulu. Bagaimanapun dimaklumkan ketika itu Allahyarham tidak berapa sihat.
Sebenarnya Allahyarham pernah menceritakan keuzurannya sewaktu kami sarapan bersama. Namun barangkali selepas pulang dari Kelantan keadaannya agak sedikit merosot, justeru demikian Rosli maklumkan kepada saya kerana dua tokoh itu saling berhubungan antara satu sama lain.
Lantaran tidak mahu mengganggu keadaannya, saya menangguhkan hasrat tersebut. Maka, saya ke Kuala Lumpur hanya untuk urusan peribadi. Tidak berjumpa Allahyarham. Saya mengambil keputusan hanya akan menyerahkan lima sajak tersebut setelah keadaan kesihatannya stabil. Tinggi harapan saya ketika itu agar Allahyarham cepat sembuh dan kembali pulih.
Saya setia menunggu saat yang dianggap bertuah untuk seketika. Tidak mengapa, tiada masalah bagi saya. Yang pasti lima sajak itu mesti sampai ke pangkuan Allahyarham sama ada cepat atau lambat.
Menjelang awal tahun 2020, penangguhan itu terpaksa dilanjutkan lagi berikutan negara diancam wabak Covid-19. Hari demi hari situasi getir itu bagai semakin menyulitkan. Covid-19 mengancam komuniti dengan ledakan kes baharu setiap hari meletakkan Malaysia dalam keadaan kritikal.
Hampir setiap hari diberitakan angka mangsa meningkat dan meninggal dunia. Ia sekaligus memaksa pihak kerajaan bertindak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak selain menghalang kenaikan kes secara mendadak. Penguatkuasaan PKP berlarutan sehingga tempoh begitu lama sekali.
Sepanjang tempoh PKP, saban hari saya menjadi penunggu setia. Malah, saban hari itu juga saya bertekad, sebaik sahaja tempoh penguatkuasaan PKP tamat, kebenaran rentas sempadan dan negeri dibenarkan, saya akan segera jumpa Allahyarham dan menyerahkan lima sajak itu.
Sementara menunggu situasi pulih sepenuhnya saya tidak terlepas mengikuti perkembangan semasa kesihatan Allahyarham. Malah satu majlis solat hajat bagi mendoakan kesihatan beliau turut diadakan secara berjemaah di masjid al-Ridhuan, sebuah masjid kecil terletak di perkarangan tanah perkuburan Islam Tok Kenali yang pernah diziarahi bersama kami.
Namun, seluhur atau setia mana sekalipun kita, akhirnya pulang kepada takdir jua. Takdir menentukan segala-galanya. Tiada siapa mampu merubah atau menghalang. Ketika saya sedang setia menunggu waktu dan pandemik Covid-19 belum reda, tanggal 27 Oktober 2021 SN yang disegani itu pulang ke rahmatullah.
Allahyarham pergi sebelum sempat saya menyerahkan lima sajak yang dipintanya. Menerima berita sedih itu, betapa luluhnya jiwa. Jauh di lubuk hati, saya rasa amat terkilan dan ralat sekali. Sepatutnya saya tidak tunggu seminggu atau dua minggu sebelum menyerahkan lima sajak itu dulu.
Pertemuan pertama dan terakhir dengan Allahyarham sesungguhnya menjadi kenangan terindah. Momen itu sentiasa segar dalam ingatan. Bahkan, barangkali sangat sukar untuk saya melupakan, pertemuan pertama dan terakhir itu jugalah menyaksikan kegagalan saya. Saya gagal menunaikan permintaannya.
Sehingga kini, hampir empat tahun berlalu lima sajak itu masih bersampul rapi. Tersusun dalam simpanan menunggu waktu yang telah ternoktah. Sejujurnya, terus terang saya katakan, terkilan dan ralat itu juga masih dirasai sehingga kini.
_________________________
Zuharman Mohammad Nor merupakan seorang penyajak yang berasal dari Kelantan. Sajak-sajak beliau pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera, akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia.