Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Che Ibrahim Salleh menyampaikan mekar dan haruman bunga rohani puisi klasik ciptaan Sasterawan Negara Kemala.
Banyak sekali ungkapan yang terjelma daripada hati nurani Kemala yang berisi tunjuk ajar tentang tatacara hidup beragama, bermasyarakat dan berkeluarga, termasuk pembinaan jati diri bangsa dan negara.
Ahmad Kamal Abdullah atau lebih sinonim dengan nama Kemala ialah penyair, penulis cerpen dan drama, serta pengkaji kesusasteraan Melayu yang berfokuskan kerohanian. Sasterawan Negara ini merupakan tokoh bangsa yang tidak pernah jemu mengabdikan dirinya untuk pembangunan ummah, khususnya dalam penyerlahan hati budi Melayu melalui wadah bahasa berpaksikan etika dan estetika.
Estetika bukan sahaja terletak pada diksi atau kalimatnya yang rancak, tetapi juga pada makna yang sarat di dalamnya. Banyak sekali ungkapan yang terjelma daripada hati nurani Kemala yang berisi tunjuk ajar tentang tatacara hidup beragama, bermasyarakat dan berkeluarga, termasuk pembinaan jati diri bangsa dan negara. Ungkapan bahasa yang diadun dengan kekayaan ilmu dan pengalaman yang diperoleh daripada pelbagai sumber melalui pendidikan formal dan tidak formal telah memastikan bahawa karya yang dihasilkannya benar-benar andal, terutama dari segi kualitinya.
Kemala pernah menjadi sarjana tamu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, dari tahun 2008 hingga 2015. Sebagai sarjana tamu, beliau telah mengusahakan beberapa penerbitan, seperti Landskap Ungu (2010), Laut Takjub (2011), Menyirat Inspirasi Usman Awang (2011), Putera Gemilang dari Kampung Talang (2011), 1000 Pantun Puitis (2011), Kumpulan Puisi Pilihan Kemala (2012), kumpulan drama Anna (2012), Anggerik Cinta Shahnon Ahmad (2013), dan beberapa yang lain lagi.
Sumbangannya ini memberikan dampak yang sangat signifikan terhadap pembangunan insan sarwajagat sebagai hamba Allah di buana ini. Sumbangannya juga merupakan juzuk yang utuh daripada leluhur itu sendiri, yang terpancar daripada perdu hikmah khazanah bangsa Melayu, terutama dalam 1000 Pantun Puitis. Dalam karyanya ini, beliau telah mengabdikan permata berlian dengan jalinan madah bahasa dalam bentuk pantun yang indah, sarat dengan ilmu dan hikmah.
Kemala sendiri menganggap bahawa 1000 Pantun Puitis merupakan antara projeknya yang terpenting. Baginya, sebagai genre puisi klasik, estetika pantun selalu menghunjam kepenyairannya dengan magnetisme yang luar biasa. Beliau juga menganggap bahawa akar kepenyairannya memang berpijak pada puitika pantun, gurindam dan syair. Pantun dengan sampiran yang akrab, alam flora dan fauna tidak terpisah daripada garis horizontal (mendatar) dan vertikal (tegak lurus dari atas ke bawah atau sebaliknya). Manusia dan kemanusiaan, dan masalah survival dengan harkat cinta yang luas, yang memerlukan pengertian, turut sama menggesa insan untuk memikirkan masalah sosio-politik-ekonomi yang berkesinambungan dengan sejarah bangsa.
Mencari Diri
Dalam mukadimah, Kemala memulakan madahnya dengan:
……….Sirat jala di pagi Khamis,
………………..Yu menjulang busa sepuluh;
……….Panca jari dengan si manis,
………………..Menahan rindu rasaku luluh.
Pantun ini menyerlahkan betapa kerinduan jiwa seorang insan yang meronta-ronta ingin memulakan bicara dengan madah rindu dalam bahasa yang puitis, yang sarat dengan simbol jari-jemari yang diasosiasikan pula dengan kudrat insan yang suci murni untuk meluahkan perasaan rindu dendamnya yang tidak terhingga. Rindu dendamnya itu, seperti membersihkan kasih di hati kekasih menjadi seolah-olah batu permata yang merah merona warnanya, yang menjadi impian insan yang prihatin, yang mengambil berat terhadap sesuatu perkara.
Dengan itu, terbinalah perasaan sangat sayang akan manusia dan kemanusiaannya yang sarwajagat. Fenomena ini pernah diketengahkan oleh ilmuwan Islam, Jalaluddin al-Rumi (tokoh sufi sepanjang zaman) dan al-Tabrizi (ulama yang mahir dalam masalah hadis). Sebagai ahli tasawuf (ajaran untuk mengenal Tuhan dan mendekatkan diri dengan-Nya), mereka mengetengahkan hal yang bersifat suci, bersih, murni, dan tidak tercela, termasuk keindahan alam ciptaan Tuhan dengan kepelbagaiannya yang tidak terjangkau oleh fikiran manusia yang terbatas. Kita memang manusia yang serba terbatas, tetapi kita dapat memperluas batas daripada keterbatasan itu. Semua itu menjadikan manusia lupa daratan, umpama buah kepayang, “dimakan mabuk, dibuang sayang”.
Alam yang indah permai, tidak selamanya begitu. Sesekali ujian datang, seperti musim tengkujuh (musim hujan lebat), yang tidak dapat dielakkan, seperti juga dosa (perbuatan melanggar hukum Tuhan) pahala (ganjaran daripada Tuhan kerana berbuat kebaikan) yang sudah termaktub. Hanya ilmu (sampainya diri kepada makna, dan hadirnya makna dalam diri seseorang) dan iman (keyakinan terhadap wujudnya Allah dengan hati, yang dilafazkan dengan kata-kata, dan dilaksanakan dengan amalan) diperlukan untuk mengatasinya. Kita berkata, beralaskan kata, memberi beralaskan budi (akal, kebijaksanaan).
Dunia dan akhirat perlu diseimbangkan demi keredaan Ilahi. Itulah hasrat ideal seorang insan. Kita tidak dapat mengubah arah angin, tetapi jangan khuatir, kita masih dapat menyesuaikan layarnya. Untuk memenuhi hasrat inilah, Kemala mencipta pantun berkait ini, yang penuh dengan kias ibarat, dihiasi dengan teladan untuk menghadapi pancaroba (pertukaran atau peralihan musim, kadang-kadang baik, kadang-kadang buruk; keadaan yang kacau) dan pancarona (warna-warni) kehidupan.
Pantun puitis ini akan membuahkan cinta yang syahdu (elok, cantik, manis, dan mulia), berpaksikan kesetiaan dan kesatuan, yang berakhir dengan nurani kasih cinta abadi. Hal ini demikian kerana, jika seseorang itu sedang jatuh cinta, apa-apa yang disentuhnya menjadi puisi. Ungkapan yang digunakan menjadi punca kehidupan jiwa pujangga (ahli fikir, ahli sastera) seperti “dua kekasih berperahu payang”. Kasih jernih, cinta abadi dan kejujuran yang utuh menjadi taruhannya, melalui iman dan takwa (ketaatan mengerjakan perintah Allah). Cinta bukanlah apa-apa yang kita katakan, tetapi apa-apa yang kita lakukan. Cinta ialah aksi bukannya emosi. Di mana ada cinta, di situlah bakal tumbuh optimisme dan harapan.
Iman dan takwa ini perlu dipupuk dan dipererat senantiasa, mengikut ajaran agama, terutama solat, yang merupakan tiang agama. Amalkan yang makruf (perbuatan baik) dan jauhi yang mungkar (melanggar perintah Tuhan). Hadis dan firman dijadikan asas pegangan mutlak. Segala permasalahan hendaklah diselesaikan dengan beradab, penuh kasih sayang, kerana hidup ialah kumpulan kemenangan dan kekecewaan. Hal terbaik yang dapat kita lakukan adalah dengan membuka hati dan belajar mensyukuri dan memaafkan. Bertanya kepada yang ahli untuk mengelakkan kekeliruan dan kekhilafan. Dengan itu, terpancarlah kemanisan iman tanpa keraguan.
Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW perlu dijadikan pengajaran. Bagaimana kaum Ansar dan Muhajirin membina peradaban, berpandukan firman dan sunah ke arah penyatuan tauhid ke seluruh penjuru alam semesta. Sifat mazmumah (tercela, terkeji, terhina) digantikan dengan sifat mahmudah (terpuji) untuk membina negara tercinta. Demikianlah, kias tamsil berhias waspada yang dibentangkan oleh Kemala.
Mawar Cinta dalam Dada
Kemala menggambarkan azamnya itu seperti suasana malam pengantin yang mengesankan, kepada setiap insan untuk melepaskan rindu dendam.
Dalam bahagian dua ini, Kemala memfokuskan mawar cinta dalam dada. Mawar ialah bunga yang harum baunya dan pelbagai warnanya. Mawar ini diasosiasikan dengan keharmonian cinta (sangat sayang akan), yang terakam dalam dada. Cinta bukanlah perihal menemukan yang sempurna, tetapi melihat orang tidak sempurna dengan sempurna. Bahagian ini dimulakan dengan pantun yang mengisahkan perihal Hassan Basri, iaitu ahli teologi Arab dan cendekiawan Muslim yang mengetengahkan kias ibarat secara berhati-hati, dan Rabia’atul-Adawiyyah, seorang wanita sufi yang dikenali dan dikagumi kerana kesucian dan kecintaan murninya kepada Allah.
Hal yang diketengahkan ialah tafakur, iaitu pasrah padu seluruhnya kepada Allah, zahir dan batin. Hal ini tercermin pada Ibrahim Adham, seorang ahli sufi yang sanggup turun takhta, meninggalkan kedudukan dan kekuasaannya kerana ingin berbakti kepada Allah. Manusia perlu waspada dengan tuntutan dunia, supaya kehidupannya terjamin selamat, dan tidak berputih mata. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Namun begitu, kita tidak boleh hanya menunggu, kerana semuanya akan datang terlambat bagi orang yang hanya menunggu. Hidup bagai menelan jadam, iaitu ubat berwarna hitam yang digunakan untuk perut, dibuat daripada kayu gaharu atau lidah buaya. Inilah yang menjadi noda (aib, cacat cela dan nista) kehidupan.
Situasi ini perlu dijadikan panduan dalam kehidupan harian, kerana tidak mungkin camar (burung) dan helang (burung yang menyambar ayam), pegaga (tumbuhan yang menjalar) dan maman (tumbuhan herba) akan bertaut dan bersatu. Demikian juga kisah Tuah dan Jebat dalam hikayat, yang menjadi sejarah negeri Melaka, iaitu perihal pertentangan antara keadilan dengan kasih sayang. Namun begitu, keadilan dan kasih sayang tetap menjadi visi (tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, yang berkaitan perkembangan masa hadapan dan wawasan) dan azam. Namun begitu, visi tanpa aksi hanyalah mimpi. Hanya kepada Allah aku (Kemala) berserah, dan beliau akan terus menyebarkan kasih sayang sesama insan, bersatu dengan wawasan untuk menuju kejayaan, berpaksikan keyakinan. Percaya dan yakin pada diri sendiri ialah resipi paling mujarab (manjur) untuk menakluki kehidupan. Namun begitu, perlu diingat bahawa keyakinan yang buta, lebih bahaya daripada kebohongan.
Antara sumber yang ampuh untuk dijadikan panduan ialah Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali yang berteraskan ilmu yang jujur dan luhur. Karya ini terkenal di kepulauan Melayu, dan berupaya memberikan dampak terhadap peradaban Melayu raya, terutama dalam kesenian (seni gerak, seni ukir dan sebagainya), daripada golongan aristokrat sehinggalah golongan marhaen. Iman dan takwa terpadu kukuh dalam hati nurani Melayu dengan akal budi yang mantap dan cinta akan tanah air. Akhir bahagian ini, Kemala bermadah:
……….Kata bercanda berjenaka,
………………..Diri, Rumi, Shams, Masnawi;
……….Ilahi Esa ampunya penaka,
………………..Mawar cinta, mawar dirawi.
Menatah Cinta
Dalam bahagian ini, Kemala menatah (memahat) cinta hasil daripada gabungan diri al-Rumi, Shams Tabrizi dan Masnawi (puisi Melayu asal Parsi), yang mengabsahkan kebesaran Ilahi dengan bukti nyata daripada alam, seperti lautan dan cakerawala (langit, peredaran bulan, matahari, dan bintang), tanda abadi kasih Ilahi. Keindahan dan keramahan alam lembayung petang juga memahat cinta murni dengan azam yang kental untuk memandu arah insan yang sesat di hujung jalan untuk kembali ke pangkal jalan. Untuk menggapai cita-cita (impian), kita bukan sahaja perlu bertindak, tetapi mesti bermimpi dan berangan-angan. Kita bukan sahaja perlu merancang, tetap juga perlu meyakini.
Kemala menggambarkan azamnya itu seperti suasana malam pengantin yang mengesankan, kepada setiap insan untuk melepaskan rindu dendam. Namun, tetap melestarikan ungkapan melalui hikayat dan syair untuk menguraikan kasih, kerana inilah wadah budaya warisan bangsa yang tidak mungkin sirna. Beliau tidak akan alpa atau membiarkan dirinya terpenjara atau terbakar melawan takdir demi menyelamatkan nadir (titik paling rendah bagi jasad cakerawala). Musibah petaka buruk perlu dihadapi seadanya, iaitu berusaha untuk mengatasinya dengan penuh harapan, dan kemudian pasrah kepada Allah, tanpa berdukacita sebesar zarah. Apabila kita tidak mempunyai harapan, kita tidak akan pernah menemukan apa-apa yang ada sebalik harapan itu, kerana harapan ialah impian yang terbangun.
Yang zalim pasti menerima balasan yang setimpal, dan cahaya kebahagiaan akan wujud juga akhirnya. Apa-apa yang ditanam, itulah yang akan dituai. Hal yang penting, tindakan mesti berlandaskan ilmu, kerana ilmu itu prasyarat untuk kemajuan. Kejayaan dan kegagalan merupakan sebuah perjalanan, bukannya tujuan. Usaha tanpa kecewa akan membuahkan harapan. Realiti yang bertaut dengan harapan, diibaratkan halia dengan lengkuas, mata batin menatap hakikat, iaitu sesuatu yang tidak dapat ditiadakan atau dinafikan kebenarannya. Kebenaran ialah kepercayaan dan dusta ialah pengkhianatan.
Semuanya diluahkan melalui puisi, tanpa jemu untuk mengungkapkan derita rakyat, yang masih kaya dengan kemiskinan. Derita rakyat diungkapkan dengan sabar dan takwa untuk mendapatkan keredaan Allah, melalui ungkapan bijak pandai yang bersandarkan bidalan warisan leluhur, demi menghadapi cabaran masa hadapan tanpa gerun dan gundah gulana.
Prisma Pelangi
Kemala terus mengungkapkan rasa dan gejolak jiwanya dengan simbolik prisma pelangi. Prisma ialah hablur yang mempunyai tiga atau lebih permukaan yang selari dengan paksi hablur. Pelangi ialah cahaya yang melengkung dan bermacam-macam warnanya di langit. Demikianlah simboliknya rencam kehidupan ini yang bertapak di mana-mana sahaja, sama ada di desa atau di kota. Bahagia derita, susah senang, menjadi asam garam kehidupan. Tiada yang dapat menghalang takdir yang telah ditentukan. Berdoalah senantiasa kepada Tuhan, pada masa yang sama, tetap mendayung menuju pantai.
Fenomena ini diungkapkan oleh penyair dalam pelbagai wacana wadah bahasa, daripada yang kecil hinggalah yang besar, daripada flora dan fauna hinggalah arca kesenian Melayu. Racun perosak kehidupan melanda setiap insan, namun kita pasti selamat jika firman Tuhan menjadi pegangan. Getir ujian demi ujian memperkukuh tekad, hasrat dan keyakinan untuk menghadapi kehidupan, iaitu bertasbih untuk Yang Maha Esa. Maka, iman dan takwa pantang cair, dan kukuhkan kepejalan hati sehingga tidak terkuak lagi.
Tanpa taufik (panduan dan pertolongan Allah), insan akan melilau tanpa arah yang jelas. Oleh itu, tumpuan mesti diberikan kepada yang satu. Hal ini diungkapkan dalam untaian pelbagai genre puisi zaman berzaman. Fokusnya pada pelahiran cinta sejati, bukannya cinta yang bersalut kepalsuan. Cinta setia sejati antara Siti Khadijah dengan Muhammad al-Amin, yang mesra, bertaut di sanubari hingga akhir hayat.
Kemala meneruskan keluh kesahnya dengan membandingkan panorama kehidupan dengan fenomena ngeri kehidupan nelayan. Mereka senantiasa dilambung gelombang fenomena alam, yang menjadikan mereka berhati walang. Namun demikian, mereka tidak mengenal jemu dan penat, dan terus melagang usaha mengharungi badai kehidupan. Mereka terus beringat dan bersedia menghadapi kesulitan hidup musim tengkujuh yang sejuk dan musim kemarau yang membahang.
Kehidupan perlu diteruskan sebagai ahli waris yang sah di mayapada ini, dengan cinta dan persahabatan sesama insan dijadikan pakaian kehidupan. Semua cinta yang tidak memiliki dasar persahabatan, bagaikan puri yang dibangunkan di atas pasir. Suasana hati ini digambarkan seperti keheningan danau yang menyejukkan dan menenteramkan jiwa yang lara. Oleh itu, kita perlulah berfikiran waras, pasrah dan bertawakal kepada Allah. Jika tidak, kita hidup bagai kuda tak berpelana, dan kehidupan seolah-olah kerikil bebanan. Insan yang bertakwa, berpandukan firman dan hadis akan menerima imbuhan yang sesuai daripada Allah.
Baca Bahagian Kedua dan Ketiga Refleksi |
Beli Dasawarsa Lima: Kumpulan Puisi Lengkap Kemala (1960 – 2013) di sini.
_________________________
Che Ibrahim Salleh (Dr.) ialah felo pengajar Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.