30 November 2021, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Sumbangsih Kemala DBP-Penyair Wanita 70-an telah diadakan di Sudut Karyawan (Stor Teater) Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 29 November 2021, pukul 2.00 petang sebagai menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham Kemala. Majlis ini dianjurkan oleh Penyair Wanita 70-an dengan kerjasama DBP dan Surau al-Hukama’ DBP.

Tergetar suaramu di dalam azan,
Kini terserlah,
Bilal menggenggam Tauhid satu
“Tuhanku Esa, Tuhanku Satu.
Allah, tetap Allah!

Demikianlah petikan daripada puisi “Bilal ibni Rabah” karya Kemala dalam kumpulan puisi ‘Ayn (DBP, 1983).

Kemala atau nama penuh Sasterawan Negara Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah, telah dijemput pulang bertemu pencipta pada 27 Oktober 2021. Berita duka pemergian Kemala dirasai oleh seluruh masyarakat, khususnya rakan-rakan akrab Allahyarham serta pencinta puisi sufi nya. Dunia penulisan Kemala amat dekat dengan alam dan Tuhan. Karya-karya Allahyarham Kemala sarat dengan amanat. Puisi-puisinya sangat puitis, dengan pemilihan kata serta metafora yang indah dan luar biasa. Dunia penulisan dan kepenyairan Kemala membawa masyarakat untuk sentiasa mengingati dan sentiasa berada dekat dengan Pencipta.

Program yang menghimpunkan penyair wanita 70-an seperti Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Prof. Dr. Asiah Sarji, dan Mahaya Mohd Yassin, dipenuhi dengan pelbagai pengisian seperti bacaan Surah Yasin pimpinan Ustazah Nurul Hidayah Kamaruddin, acara Setitis Kenangan: Bicara Jasa Kemala, Deklamasi Puisi dan wacana dengan tajuk “Apakah yang Bernama.” Turut hadir dalam majlis istimewa ini ialah Dr. Fazilah Husin dari Numera, Siti Raihani Md. Saaid, Dr. Rosmani Omar, serta Nor Aini Muhammad yang telah mendeklamsikan puisi karya Kemala.

 

Ucapan Perasmian disampaikan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. Puan Roziah Md. Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum pula menyampaikan ucapan mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, diikuti dengan ucapan penutup oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Program yang diadakan dengan tujuan untuk menghargai sumbangan Allahyarham Kemala dalam dunia penulisan ini turut membicarakan kecemerlangan dan menyingkap pemikiran Kemala dari kaca mata penyair 70-an yang rapat dengan Allahyarham.

Zurinah Hassan menyatakan, “Saya teringat kepada sajak ‘Pohon’ dan ‘Pelabuhan Putih’ karya Kemala. Saya melihat bagaimana unsur alam seperi pohon dan pelabuhan telah digunakan oleh Kemala dan sekumpulan penyair Melayu Islam untuk menunjukkan bagaimana pandangan daripada al-Quran telah meresapi jiwa penyair-penyair Melayu, itulah yang berbentuk pemikiran, termasukalah Kemala yang telah menulis sajak pohon dan pelabuhan putih.

“Dalam pohon, Kemala menyatakan bahawa manusia itu seperti pohon, tegak di padang dengan akar yang bersirat, datanglah burung-burung memakan buahnya, memberi manfaat pada alam dan sekelilingnya.”

Menurut Zurinah lagi, “Agama Islam menjadi teguh di Nusantara ini juga adalah melalui fungsi penulis, yang menggunakan karya atau hasil penulisan untuk mengukuhkan atau menguatkan iman, sama seperti karya-karya penulisan Kemala.”

Dalam majlis ini, Asiah Sarji mencadangkan agar diadakan satu wacana khas untuk merealisasikan pendekatan dakwah melalui karya. Zaiton Ajmain pula menambah agar “dihidupkan kembali” Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (PPDKL), seperti yang dihasratkan oleh Allahyarham Kemala, kerana PPDKL menjadi jambatan antarabangsa kepada penulis dan penyair untuk bertukar-tukar pandangan dan idea.

Majlis Sumbangsih Kemala yang diadakan ini menjadi penghargaan, ingatan dan doa buat Allahyarham Kemala yang telah mengangkat puisi agama sebagai salah satu cara berdakwah kepada masyarakat. Majlis ini juga menjadi medan untuk berdiskusi tentang kepengarangan Kemala, selain menjadi “langkah awal” pada usaha kumpulan Penyair Wanita 70-an untuk menjejaki kembali rakan-rakan penulis wanita 70-an yang telah lama menyepi dalam dunia penulisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.