Diterbitkan pada 17 September 2024, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Noorhisyam Razali telah muncul sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Malaysia anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam pertandingan tersebut, beliau telah mengalahkan 19 lagi peserta yang bertanding di Laman Rhythm of The Farmer (ROTR) bersempena dengan Sambutan Ke-100 Tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA).

Melalui kejayaan tersebut, beliau telah membawa pulang RM 700, piala iringan dan hadiah tajaan FAMA dan DBP.

Manakala, tempat kedua pula milik Shahrul Fadilah dan Ainun Nasibah mendapat tempat ketiga. Masing-masing membawa RM 500 dan RM300, piala iringan serta hadiah tajaan FAMA dan DBP.

Terdahulu, Sayembara Deklamasi Puisi Hari Malaysia ini julung-julung kalinya diadakan bagi mempromosi dan meraikan sektor agro makanan melalui persembahan puisi.

YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed mendeklamasikan sebuah sajak di pentas MAHA sempena Sayembara Deklamasi Puisi Hari Malaysia di Serdang.

Dalam majlis tersebut, diselitkan persembahan yang menarik oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP mewakili Ketua Pengarah DBP, iaitu YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Beliau telah mendeklamasikan sebuah puisi karya Masuri S.N. yang berjudul “Ini Nasi yang Kusuap”.

Malah, Pengerusi FAMA, YBrs. Tuan Haji Aminuddin Zulkipli turut tidak melepaskan peluang mendeklamasikan sebuah puisi.

Tambah menarik, puisi yang dideklamasikan oleh beliau merupakan ciptaannya sendiri, yakni berjudul “Menyatu untuk Bersatu”.

Pengerusi FAMA, YBrs. Tuan Haji Aminuddin Zulkipli turut tidak melepaskan peluang mendeklamasikan sebuah puisi.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri; Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Khidmat Pengurusan), YBrs. Puan Rosilawati Abu Hassan; Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan), YBrs. Encik Faisal Iswardi Ismail; Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Operasi) YBrs. Encik Shahrizan Sudiman, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi