Diterbitkan pada 7 September 2024, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – “Pengiktirafan terhadap karyawan Sabah merupakan iltizam dan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan.”

Demikianlah ujaran daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Malam Anugerah Pena Kinabalu yang berlangsung di Hotel The Pasific Sutera, malam tadi.

Kerajaan Negeri Sabah telah memberikan ganjaran sebanyak RM30 ribu kepada Sasterawan Negeri Sabah atas kualiti karya, pemikiran dan sumbangan terhadap perkembangan sastera dan masyarakat Sabah.

Beliau juga turut menyatakan bahawa penganugerahan dan pengiktirafan ini selari dengan usaha Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam menjayakan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).

Bahasa dan kesusasteraan digariskan sebagai salah satu inti pati utama dalam bidang fokus warisan. Langkah ini menunjukkan keseriusan Kerajaan Malaysia dalam usaha memartabatkan serta melestarikan bahasa dan persuratan kita ke peringkat antarabangsa.

Aspek utama dalam pembentukan sesebuah peradaban bangsa ialah bahasa, seni dan sastera. Hal tersebut boleh menjadi manifestasi pemikiran dan akal budi bangsa. Ujarnya lagi:

Jika bahasa merupakan jiwa sebuah tamadun bangsa, maka sastera ialah nadinya. Lantas di sini sasterawan ialah figura yang bertanggungjawab meniupkan nafas revolusi atau melakar nadi tamadun.

Kredit Foto: Hafizee (DBP Sabah)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi