Diterbitkan pada 9 Julai 2024, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Tuan Haji Mohd Rosli Bakir, Munsyi Dewan (Sastera) juga Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Negeri Johor 1995 menegaskan elemen suara memainkan peranan penting ketika mendeklamasikan sesebuah sajak.

Hal ini dikongsikan oleh beliau apabila dijemput berkongsi tip sebagai deklamator yang berkesan dalam Bengkel Seni Pengucapan Puisi di Dewan Seminar Kolej Unversiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), baru-baru ini.

Dalam bengkel tersebut, beliau menjelaskan deklamator yang bersemangat akan berusaha menerbitkan suara yang sesuai dengan sajak yang akan dideklamasikan.

“Oleh itu, deklamator perlu mempelajari cara melontarkan suara mengikut emosi yang terdapat dalam bait-bait puisi.”

Tambah beliau, deklamator juga perlu bijak bermain dengan intonasi suara, iaitu turun naik suara dan dapat mengawal tinggi rendah, panjang pendek suara berdasarkan maksud sajak.

Nada dalam deklamasi sajak juga mestilah mengikut suasana sajak, misalnya jika sajak bernada marah, maka deklamator mestilah melontarkan suara marah.

Seterusnya, beliau menyatakan kelancaran dan artikulasi juga penting dalam mendeklamasikan sesebuah sajak.

“Artikulasi bermaksud dapat menyebut bunyi atau kata dengan jelas, sebutan dapat difahami dam mestilah menggunakan bahasa Melayu baku”

“Aspek ini amat penting dalam menaikkan perasaan pendengar dan juga kesan kepada juri untuk memberikan markah.”

Selain itu, Tuan Rosli juga menekankan kepada aspek memek muka, iaitu gaya muka turut memainkan peranan penting dalam mendeklamasi puisi.

Memek muka mestilah bersesuaian dengan nada atau situasi dalam sajak. Melalui memek muka, deklamator akan berkomunikasi dengan penonton.

Beliau turut menegaskan mukadimah atau pembukaan persembahan juga sangat penting kerana melalui mukadimah, penonton dapat membayangkan sajak yang akan disampaikan oleh deklamator..

Terdahulu bengkel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor (PPJ) telah dihadiri 40 orang peserta dari pelbagai negeri.

Sebelum bengkel berakhir, Tuan Khatim wakil PPJ berharap agar lebih ramai peserta yang berminat untuk menyertai sayembara yang diadakan.

Sebelum itu, sayembara yang bakal diadakan kelak, masih mengekalkan Ke Sarang Cenderawasih sebagai teks wajib untuk para peserta deklamasikan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi