Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSharrul Rizal Hashim mengenang pemergian penyair penting dari Kelantan yang juga penerima Anugerah Tokoh Penyair Peradaban Kelantan, Wadi Leta S.A.
Dalam tempoh lebih 50 tahun berkarya, Pak Wadi menghasilkan sejumlah besar karya dalam genre puisi.
Awal pagi 16 Februari 2026 yang lalu, saya dikejutkan oleh deringan telefon bimbit yang jarang sekali berbunyi pada waktu sebegitu. Melihat di paparan skrin nama penulis dan penyair Abdul Hadi Yusoff yang membuat panggilan, saya terus menjawab.
“Pak Wadi dah tak ada.” Sayu bunyi suara Abang Hadi.
Saya terkedu. Saya bertanya dengan lebih lanjut beberapa perkara kerana terkejut dan masih tidak dapat menerima berita duka Pak Wadi telah tiada. Selepas mematikan panggilan, saya duduk di bucu katil dengan rasa sangat kehilangan. Saya kehilangan seorang guru, sahabat yang juga saya anggap sebagai keluarga sepanjang tempoh mengenali Allahyarham.
Sambil menunggu azan Subuh, saya melayani perasaan sambil air mata terus bergenang mengenang Pak Wadi.
Dalam dunia sastera dan persuratan di Malaysia, nama Wadi Leta S.A. mungkin sedikit kurang dikenali berbanding dengan nama-nama besar yang lain. Pemilik nama sebenar Wan Ahmad@Wan Adnan bin Wan Daud ini sebenarnya antara tokoh besar penulis dan penyair yang telah mewarnai dunia sastera sejak tahun 1960-an lagi, khususnya di negeri Kelantan.

Dalam buku kumpulan puisi Laut Karang, Allahyarham Rahimidin Zahari yang menulis kata pengantar untuk buku tersebut menyebut, “Puisi-puisinya sangat komunikatif, dan sesiapa yang membacanya akan mudah tergoda untuk membaca karya-karyanya yang lain. Tetapi, penyair yang satu ini berada jauh di Kelantan sebagaimana teman-temannya yang lain. Mutu dan estetika yang dicurahkannya di dalam puisi, bukanlah jalan mudah untuk sarjana melihatnya dari jarak jauh. Kuala Lumpur sangat jauh, dan sangat sombong untuk meneropong ke ceruk rantau negeri dan daerah. Teropongan itu lebih cerah untuk menyeberang selat dan lautan.”
Puisi ialah dunianya. Namun begitu, anak kelahiran Kampung Sireh, Kota Bharu ini juga mampu berkarya dalam bidang lain seperti karya sastera untuk kanak-kanak, termasuk cerita kanak-kanak, puisi kanak-kanak dan juga esei. Mungkin juga ramai yang tidak tahu, Allahyarham juga mempunyai bakat melukis dan banyak menghasilkan karya lukisan dengan identiti tersendiri.
Saya sendiri tidak ingat akan tarikh tepat mengenali tokoh penyair ini. Cuma yang pastinya, saya mengenalinya ketika saya bertugas di negeri Kelantan dalam tempoh 14 tahun (2001 – 2015). Pada ketika itu, Pak Wadi (panggilan saya kepada Allahyarham) memegang peranan sebagai Ketua II Persatuan Penulis Kelantan (PPK), dan kami banyak berurusan semasa melaksanakan aktiviti dan program.
Hubungan kami menjadi rapat kerana kebetulan saya menyewa rumah berhampiran dengan rumah Pak Wadi di Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa. Pada ketika itu, saban petang atau malam kami akan bertemu di Warung Kita, sebuah warung makanan yang tidak jauh dari rumah Pak Wadi. Pada kebiasaannya, kami bertemu bersama-sama penulis Abdul Hadi Yusoff yang kebetulan tinggal tidak jauh dari situ.
Warung itu menjadi tempat kami bertemu. Bukan sahaja dengan Pak Wadi dan Abdul Hadi Yusoff, tetapi juga dengan para penulis yang lain. Saya pada waktu itu memegang amanah di Unit Sastera, DBP Wilayah Timur sering merujuk Pak Wadi berkaitan dengan dunia sastera di negeri Kelantan. Sewaktu pulang dari kerja, saya pada kebiasaannya singgah di situ. Kami akan berbual sehingga menjelang senja. Adakalanya, apabila cerita petang tidak selesai, kami akan menyambungnya pada sesi malam yang kadangkala berakhir sehingga lewat malam. Kalau ada perkara penting yang hendak dibincangkan, pukul 11.00 malam pun Pak Wadi masih boleh diajak untuk keluar minum dan berbual.

Pak Wadi juga tidak pernah mengambil kesempatan dengan hubungan baik saya sebagai pegawai di DBP. Beliau sering kali cuba menolak sekiranya saya ingin melantik beliau dalam apa-apa jua acara atau aktiviti. Pada kebiasaannya, Pak Wadi akan menyebut nama-nama lain yang boleh dilantik dengan memberikan pelbagai alasan untuk menolak, walaupun sebenarnya beliau layak untuk dilantik.
Begitulah Pak Wadi. Beliau sentiasa mudah untuk didekati dan sentiasa terbuka untuk bercerita apa-apa jua topik dan isu. Kami boleh berbual lama tentang sastera. Sesekali beliau berkongsi tentang cerita peribadi dan keluarga. Pak Wadi tidak pernah jemu untuk mendengar dan memberikan pandangan. Pak Wadi juga sangat pemurah. Pada kelazimannya, beliau terlebih dahulu membayar harga minuman dan makanan di warung. Pada waktu dan kesempatan tertentu, kami akan ke Bachok untuk makan sate. Bandar Bachok terkenal dengan sate yang enak. Pernah juga sesekali kami ke Kuala Besut untuk makan pulut ikan bakar, atau ke Aril bersembang dengan saudara CT Puspa di rumahnya. Pak Wadi juga pernah membawa saya dan CT Puspa makan sehingga melepasi sempadan Malaysia. Kami makan tengah hari di pekan Golok.
Majalah Dewan Sastera menjadi pengikat hubungan saya dengan kedua-dua tokoh hebat ini dan hari ini kedua-duanya sudah tiada …
Dalam tempoh lebih 50 tahun berkarya, Pak Wadi menghasilkan sejumlah besar karya dalam genre puisi. Cuma dalam tempoh itu, Pak Wadi hanya mempunyai tiga kumpulan puisi, iaitu Pengalaman (DBP, 1993), Ketika Langit Sedang Tidur [Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), 2014] dan Laut Karang [Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), 2014]. Saya terlibat dalam usaha penerbitan kedua-buah buah kumpulan puisinya yang terakhir. Peranan kecil saya untuk kumpulan puisi Ketika Langit Sedang Tidur ialah membantu mengumpulkan puisi-puisi Pak Wadi yang dipilihnya dan mengirimnya kepada Allahyarham Rahimidin Zahari melalui e-mel pada 16 Julai 2013. Allahyarham Rahimidin yang membantu membawa manuskrip tersebut kepada ITBM untuk diterbitkan pada tahun 2024.
Puisi yang dikumpulkan untuk buku Ketika Langit Sedang Tidur sebenarnya banyak, cuma yang dipilih adalah sekitar 80 buah untuk diterbitkan. Oleh itu, setelah berbincang dengan Pak Wadi, kami mengambil keputusan untuk menerbitkan sebuah lagi kumpulan puisi di bawah penerbitan PERADABAN. Kebetulan kami berada dalam jawatankuasa tertinggi dalam persatuan itu.
Setelah melalui proses penerbitan, maka itu terhasillah kumpulan puisi Laut Karang. Saya yang mengurus kerja-kerja penerbitan kumpulan puisi ini dari awal hingga siap dicetak, dan turut menjadi editor. Kulit bukunya dipilih daripada karya lukisan Pak Wadi. Kata pengantarnya pula ditulis oleh Allahyarham Rahimidin Zahari. Dalam perenggan awalnya Allahyarham Rahimidin menulis, “Apabila Sharrul Rizal Hashim menghubungi dan minta saya tuliskan pengantar untuk buku ketiga oleh penyair Wadi Leta S.A. ini, saya terus berkata: ya. Tidak ada sebab untuk menolak, dan sekira menolaknya maka saya akan berada dalam keserbasalahan yang berpanjangan. Daripada antologi pertamanya Pengalaman (DBP, 1993) sehingga kepada antologi keduanya Ketika Langit Sedang Tidur (ITBM, 2014) saya ‘terlibat’ memberinya dorongan supaya kumpulan puisinya itu diterbitkan. Saya memiliki sejarah peribadi yang sangat panjang dengan penyair Wadi Leta S.A.”
Kumpulan Puisi Laut Karang menjadi kenangan manis buat saya dan Pak Wadi apabila pada tahun 2015, buku ini terpilih sebagai Buku Umum Terbaik (Kategori Sastera – Puisi) dalam Anugerah Buku Negara pada tahun 2015.
Sepanjang tempoh kepenyairan Pak Wadi, tokoh ini telah menerima pelbagai anugerah dan hadiah dalam bidang sastera dan persuratan Melayu. Antaranya termasuklah Hadiah Sastera Remaja Esso-GPENA IV (1986), Hadiah Sastera Malaysia 1986/1987, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1987, 1990, 1991, 1995, 1996 dan 1997), Hadiah Puisi Kebangsaan GAPENA (1989, 2001, 2005 dan 2014), Anugerah Sastera Negeri Kelantan (2003), Hadiah Sastera Utusan Melayu-Exxon Mobil (2005), Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005, Anugerah Penulisan dan Karyawan 2010 daripada Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan, dan Hadiah Penghargaan Karyawan Kelantan 2013 (Puisi).
Pada tahun 2014, Pak Wadi telah menerima Anugerah Tokoh Penyair Peradaban Kelantan bersempena dengan Hari Puisi Dunia 2014 Peringkat Negeri Kelantan. Pengiktirafan tertinggi untuk peringkat negeri diterima oleh Allahyarham menerusi Hadiah Cekal Sastera Kelantan 2015 dalam majlis Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2015. Dalam majlis yang sama, Pak Wadi juga menerima Hadiah Eceran Puisi untuk sebuah puisi yang bertajuk “Sajak Besi kepada Kayu” (Dewan Sastera Mac 2013). Mutakhir, pada tahun 2025, Pak Wadi telah dipilih sebagai Anugerah Penyair GAPENA 2025. Pak Wadi tidak dapat hadir ke majlis penyampaiannya di ibu kota, tetapi GAPENA telah menyampaikan anugerah tersebut kepada Allahyarham di Kota Bharu dalam satu majlis khas.
Dalam dunia Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO, Pak Wadi antara individu yang aktif sejak zaman mudanya sehingga hari terakhirnya. Pernah menjadi Ketua 1 Angkatan Penyair Kelantan dan seterusnya aktif dalam PPK sehingga dilantik menjadi Ketua II dalam tempoh yang agak lama. Pak Wadi juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa PERADABAN hampir 10 tahun sebelum mengundur diri atas masalah kesihatan. Walaupun sudah tidak memegang jawatan dan peranan dalam persatuan, Pak Wadi sentiasa akan hadir ke program atau aktiviti sastera di sekitar Kota Bharu sekiranya keadaan kesihatannya mengizinkan.
Selepas berpindah ke utara pada tahun 2015, hubungan kami terpisah atas faktor jarak, tetapi tetap akrab dan saling berhubung. Rumah Pak Wadi akan menjadi persinggahan utama sekiranya saya pulang ke Kelantan untuk urusan kerja dan peribadi. Saya sentiasa mencari ruang untuk menziarahinya kerana Pak Wadi sudah menjadi seperti keluarga sendiri.
Apabila majalah Dewan Sastera (DS) diedarkan secara percuma sekitar tahun 2019, Pak Wadi meminta saya untuk membantu mendapatkan naskhah majalah tersebut kerana kesukaran mendapatkannya di Kota Bharu. Sejak itu, saya menjadi pembekal peribadi majalah Dewan Sastera dengan mengirimkan majalah tersebut kepada Allahyarham untuk setiap keluaran. Mungkin itu bakti kecil saya buat tokoh yang banyak menyumbang dalam dunia sastera di Malaysia ini. Ketika bertugas di DBP Kuala Lumpur, sebelum hujung bulan saya akan bertanyakan Editor DS sama ada naskhah majalah sudah sampai di Bahagian Majalah. Pada kelazimannya, saya akan mengambil beberapa naskhah untuk dihantar kepada sahabat penulis untuk dikirimkan kepada Pak Wadi dan beberapa naskhah lain untuk Allahyarham Puzi Hadi. Majalah Dewan Sastera menjadi pengikat hubungan saya dengan kedua-dua tokoh hebat ini dan hari ini kedua-duanya sudah tiada.

Pertemuan kali terakhir saya dengan Pak Wadi berlaku pada bulan Disember 2025 yang lalu. Tarikh tepatnya ialah 13 hari bulan. PERADABAN mengadakan majlis makan malam keluarga, dan seperti selalu, Pak Wadi akan diundang walaupun bukan lagi Ahli Jawatankuasa. Pada malam itu, Pak Wadi hadir dengan Abdul Hadi Yusoff. Selepas selesai majlis, saya berhasrat untuk berjumpa dan minum dengan pelakon dan seniman Sabri Yunus yang kebetulan ada di Kelantan pada ketika itu. Saya mengajak Abdul Hadi Yusoff sekali dan Pak Wadi juga bersetuju untuk turut serta. Agak lama kami berbual pada malam itu dan Pak Wadi tidak menunjukkan tanda letih walaupun sudah lewat malam. Itulah kali terakhir kami berjumpa sehinggalah saya menerima panggilan telefon daripada Abdul Hadi Yusoff pada awal pagi 16 Februari yang lalu.
Pagi itu, saya kehilangan kata. Pertama kerana Pak Wadi sudah tiada. Keduanya kerana tidak dapat menghantar Pak Wadi pulang ke perjalanan terakhirnya atas beberapa faktor yang tidak mengizinkan. Rasa sedih teramat sangat. Negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh sastera dan penyair yang banyak menyumbang dalam dunia persuratan Melayu. Saya pula kehilangan seorang sahabat, bapa dan ahli keluarga yang sangat baik budi. Sahabat dan rakan penulis yang lain juga turut terkejut menerima berita Pak Wadi telah tiada. Babak-babak kenangan dengan Pak Wadi melayang dalam fikiran ketika itu. Lantas saya teringat sebuah puisi yang ditulis oleh Allahyarham dalam kumpulan puisi Laut Karang. Saya membaca puisi itu dalam tangisan.
Semoga roh Allahyarham Pak Wadi ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan karyanya akan terus hidup dalam ingatan serta doa semua yang mengenalinya.
Al-Fatihah …
………..Sekiranya Kita Tidak Sempat Bertemu
………..Sekiranya kita tidak sempat bertemu
………..di negeri cinta atau di perkampungan rindu
………..kautataplah semula lukisan-lukisan kalbu
………..dan puisi-puisi hatiku yang berbunga itu
………..sebagai bukti bahawa aku
………..selamanya mengasihi
………..dan menyayangimu.
………..Sekiranya kita tidak sempat bertemu
………..di siang indah atau di malam syahdu
………..kaunyanyikanlah lagu laut berombak biru
………..dan alunkanlah syair angin yang lembut itu
………..biar aku tahu bahawa kau jua
………..masih lagi mengingatiku
………..selagi bulan bersinar
………..menghiasi
………..langit kehidupan.
………..Sekiranya kita tidak sempat bertemu
………..di hari terakhir di detik penghabisan
………..kauhadiahkanlah al-Fatihah dan doa buatku
………..semoga aku tenang dan bahagia
………..di negeri jauh, negeri abadi.

_________________________
Sharrul Rizal Hashim ialah Pengarah DBP Wilayah Utara.