Diterbitkan pada 27 November 2025, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muhammad Lutfi Ishak berbicara tentang konsep keadilan dan keperluan ilmu dan kebijaksanaan untuk menegakkan keadilan.

Hakikatnya, dalam keadaan masyarakat yang tidak bertamadun sekali pun, mereka tidak makan dan tidur di tempat yang sama …

Agak susah berbicara tentang keadilan kerana maknanya yang luas sering dikecilkan ke dalam satu perbahasan yang dangkal. Pada waktu sekarang, apabila disebut kata ‘keadilan’, kata itu dengan cepat difahami sebagai satu istilah politik. Lalu, kebanyakan orang akan membayangkan satu situasi yang boleh dikaitkan dengan kekuasaan. Sebagai contoh, apabila disebut keadilan, tidak sedikit individu yang mula membayangkan sebuah kerajaan yang mampu menegakkan hukum dan undang-undang dengan baik. Dalam fahaman seperti itu, dengan cepat, keadilan hanya dikaitkan dengan undang-undang dan negara. Sudah tentu, itu ialah sejenis keadilan, tetapi maksud keadilan tidak semestinya berkaitan dengan politik dan undang-undang. Hal ini kerana, keadilan mempunyai pengertian yang lebih luas, melangkaui perbincangan yang bersifat wacana kekuasaan.

Begitu juga, kadang-kadang, apabila keadilan dibincangkan, tidak sedikit yang cuba mengaitkan perbincangan dengan hak bersuara dan dicampur aduk dengan makna kebebasan. Misalnya, sesetengah golongan menuntut hak bersuara tanpa syarat dan kebebasan total. Sesetengah penulis dalam forum tertentu, misalnya dengan bersemangat, akan menuntut satu keadaan bebas untuk berkarya kerana mereka berpandangan kebebasanlah yang akan menyebabkan mereka mampu melahirkan karya agung. Tanpa kebebasan, mereka tidak akan mampu melahirkan karya yang hebat. Padahal, dalam banyak situasi, karya agung dilahirkan dalam keadaan yang tidak bebas. Apabila tuntutan mereka untuk diberikan hak bersuara dan kebebasan total tidak dipenuhi, maka, dengan lantang mereka mengaitkan kegagalan memenuhi tuntutan mereka itu sebagai bertentangan dengan semangat keadilan.

Oleh sebab itulah, pentingnya suatu takrifan yang tepat pada sesuatu istilah, agar istilah yang hendak diguna pakai itu, digunakan dengan penuh kesedaran dan pemahaman. Dalam perkara ini, sesetengah istilah yang berkait dengan faham-faham tertentu, amat penting untuk diberikan definisi yang betul. Hal ini kerana, definisi terhadap istilah yang konseptual sifatnya, termasuk “keadilan” dibuat berdasarkan pandangan alam yang khusus. Dalam fahaman terkini di Barat, keadilan sering dihuraikan sebagai equality, ataupun kesamarataan. Akan tetapi, dalam konteks tradisi keilmuan Islam, keadilan telah ditakrifkan oleh para ilmuwan sebagai suatu “keadaan” setiap sesuatu itu berada pada tempatnya. Mungkin sesetengah orang dengan sinis bertanya, “Bagaimana kita tahu tempat kepada ‘sesuatu’ itu”?

Hakikatnya, dalam keadaan masyarakat yang tidak bertamadun sekalipun, mereka tidak makan dan tidur di tempat yang sama. Hal itu bermakna, setiap sesuatu itu ada tempatnya dan orang dahulu kala pun tahu tempat kepada sesuatu. Dalam konteks ini, maka, yang menjelaskan tempat kepada sesuatu itu diambil oleh ilmu dan hikmah. Oleh sebab ilmu dan hikmah tempatnya adalah di dalam diri manusia, maka, ilmu dan hikmah ialah sebahagian daripada sifat manusia. Maka, orang yang mampu menegakkan keadilan, dalam pandangan ini, hanyalah mereka yang berilmu dan memiliki hikmah.

Tindakan yang penuh kebijaksanaan tidak akan menamatkan suatu kegilaan tetapi dapat mengurangkan kesan daripada kegilaan tersebut …

Ketika menaiki takhta, Sultan Nuruddin Salim baru berumur 37 tahun. Baginda memakai gelaran Jehangir, yang bermaksud “Penakluk Dunia”. Akan tetapi, sejarah tidak mencatatkan bahawa sultan itu berjaya menakluk dunia. Sebaliknya, Jehangir lebih dikenali sebagai seorang sultan dalam Dinasti Mughal yang mempunyai beberapa hobi ganas. Antaranya, baginda sangat suka menonton perlagaan gajah. Dikatakan, lima kali seminggu masa akan dihabiskan baginda untuk hobi tersebut. Selain itu, Jehangir juga amat gemar menyaksikan para banduan yang dihukum bunuh. Pada waktu tersebut, para pidana dipijak oleh gajah. Namun, pada akhirnya, hobi Jehangir menjadi lengkap setelah baginda menitahkan seorang lelaki bertarung dengan seekor singa tanpa diberikan apa-apa senjata. Lelaki yang sudah tentu tidak ditemui namanya dalam mana-mana buku sejarah itu, menjadi secebis daging yang tercaing-caing.

Peristiwa tersebut sudah pasti tidak akan menamatkan hobi ganjil dan ganas Jehangir. Lebih-lebih lagi, sistem politik waktu itu yang meletakkan kekuasaan secara mutlak kepada seorang raja. Akan tetapi, kebijaksanaan ialah mutu diri yang tidak akan berkurang, laksana berlian yang sentiasa berharga dalam apa-apa keadaan sekalipun. Dalam konteks ini, peristiwa tersebut telah membuka mata para pelatih haiwan Jehangir untuk melakukan sesuatu. Sudah tentu, mereka tidak boleh menghalang dan menghentikan kegilaan seorang penguasa. Tetapi, akibat daripada kegilaan itu boleh dielakkan dengan kebijaksanaan. Dalam hal para pelatih haiwan Jehangir ini, kebijaksanaan mereka ialah fakta sejarah yang boleh menjadi pengajaran penting.

Untuk mengelakkan peristiwa tersebut daripada berulang, para pelatih haiwan Jehangir memilih 15 ekor singa muda. Maka, 15 ekor singa muda itu dilatih untuk tidak menjadi ganas. Dengan cara pelatihan yang istimewa, pada akhirnya, singa-singa itu bukan sahaja teramat jinak, malah boleh bermain-main di depan Jehangir dan melalui celah-celah kaki penonton. Seperti yang ditegaskan tadi, tindakan yang penuh kebijaksanaan tidak akan menamatkan suatu kegilaan tetapi dapat mengurangkan kesan daripada kegilaan tersebut. Jehangir masih mahu melihat perlagaan antara manusia dengan singa. Perlagaan berlaku tetapi tidak ada lagi darah yang tumpah kerana kegilaan sang raja.

Menurut Syed Hussein Alatas, perilaku dan tindakan para pelatih singa itu ialah jelmaan cita sempurna sejarah, iaitu keinginan untuk melihat satu masyarakat sempurna yang nilainya disaring daripada sejarah. Tanpa menafikan analisis beliau, saya kira, apa yang dilakukan oleh para pelatih haiwan ini diungkapkan dengan lebih tepat oleh satu peribahasa Melayu yang terkenal, iaitu “Bagai menarik rambut dari tepung, tepung tidak berselerak, rambut tidak putus”. Perumpamaan tersebut secara popularnya dimaksudkan sebagai sesuatu masalah yang timbul hendaklah diselesaikan dengan berhati-hati supaya tidak menyebabkan kesan yang lebih buruk. Secara lahiriah, memang itulah maksudnya. Akan tetapi, tidak semua orang mampu menyelesaikan masalah. Oleh itu, secara kiasan, peribahasa itu bercakap tentang kewibawaan ilmu dan kepentingan hikmah. Hal ini kerana, hanya orang yang berilmu dalam sesuatu perkara dan mampu melaksanakan tugasnya dengan penuh berhikmah sahaja akan mampu menanggung tugas dengan baik.

Ilmu ialah makna akan sesuatu yang terhasil setelah ada usaha oleh diri untuk mendapatkannya. Walau bagaimanapun, ilmu ialah anugerah Allah kepada sesiapa yang dimahukan-Nya. Jadi, ilmu atau makna itu tadi sumbernya ialah Allah Yang Maha Tahu. Oleh sebab itu, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas mentakrifkan ilmu sebagai pergerakan diri kepada makna serempak kehadiran makna ke dalam diri. Manakala hikmah pula ialah ilmu yang tinggi, iaitu ilmu yang menyatakan tempat kepada sesuatu dalam kehidupan ini yang terdiri daripada pelbagai martabat kewujudan.

Oleh sebab ilmu dan hikmah ialah sifat kepada diri, maka, peribahasa itu pada hakikatnya menekankan kualiti peribadi yang perlu dimiliki oleh seseorang individu yang hendak diberikan amanah. Apabila sesuatu itu dilakukan oleh orang yang mempunyai kewibawaan ilmu dengan penuh berhikmah, maka, hasilnya ialah keadilan. Dalam peribahasa itu, keadilan itu digambarkan dalam frasa “rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak” oleh orang yang berkeahlian. Dalam kes pelatih haiwan Jehangir, keadilan berjaya ditegakkan dengan melatih haiwan menjadi jinak agar dapat mengelak kezaliman Jehangir daripada terus berleluasa. Dalam kedua-duanya, semuanya berbalik kepada orang yang mempunyai wibawa ilmu dan hikmah.

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Beliau ialah Sasterawan Muda MASTERA 2023.

Kredit Foto: The Cleveland Museum of Art/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi