Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHidayyah AT Mizi melaporkan pembentangan tiga ilmuwan dalam medan fikir sastera sempena Hari Sastera Nasional ke-20 di Seremban baru-baru ini.
Dialog ini mengupas persoalan tentang asal usul kita, pengalaman yang telah membentuk kita dan hala tuju masa depan bangsa dalam konteks medan fikir pengkaryaan dan susastera.
Tajuk utama “Keunikan Adat dan Budaya sebagai Tunjang Karya” dibincangkan oleh tiga orang panel, iaitu Dr. Abdul Karim Mansor, Dr. Kim Dong Hoon dan Profesor Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak baru-baru ini.
Profesor Madya Dr. Kamariah Kamaruddin selaku moderator forum telah menampilkan ketiga-tiga orang ilmuwan daripada latar belakang yang berbeza untuk memetakan perjalanan jati diri Melayu—bermula daripada akarnya yang mendalam, melalui cabaran zaman yang merosakkan, hinggalah pada usaha generasi baharu mencari haluan.
Dialog ini mengupas persoalan tentang asal usul kita, pengalaman yang telah membentuk kita dan hala tuju masa depan bangsa dalam konteks medan fikir pengkaryaan dan susastera.
Akar Falsafah: Adat sebagai Paksi Jati Diri
Sesi dimulai oleh Dr. Abdul Karim Mansor yang membawa audiens kembali pada sumber kekuatan budaya Melayu. Semasa membentangkan kertas kerja “Teromba dan Perbilangan Adat: Kebijaksanaan yang Menjadi Pakaian Harian”, beliau mencabar tanggapan umum bahawa adat hanyalah tradisi kaku; sebaliknya membentangkannya sebagai sebuah falsafah hidup yang dinamik dan berteraskan kerohanian Islam. Konsep Wasilah Adat Perpatih yang diperkenalkannya menggambarkan empat peringkat makrifat: syariat (tanah), tarekat (batang), hakikat (dahan), dan makrifat (buah).

Daripada kerangka ini, lahir empat tiang seri masyarakat: adat (peraturan berlandaskan syariat), adab (manifestasi akhlak), muafakat (proses kesepakatan berteraskan syura), dan budi (kebijaksanaan hati). Menurutnya, teromba dan perbilangan adat bukanlah sekadar koleksi peribahasa usang, tetapi arkib kebijaksanaan dan kod falsafah.
Puncak hujahnya adalah apabila beliau memperjelas makna sebenar perbilangan “Biar mati anak, jangan mati adat”. Beliau menjelaskan bahawa adat dalam konteks ini merujuk hukum Allah atau syariat. Maka, perbilangan itu menegaskan keutamaan untuk mempertahankan prinsip dan hukum Tuhan, walaupun terpaksa mengorbankan sesuatu yang amat disayangi. Kupasan ini mendedahkan bahawa jati diri Melayu sejati terletak pada kerangka fikir dan rohaninya, bukan sekadar amalan luaran. Beliau malah menyimpulkan dengan peringatan bahawa asas ini semakin terhakis di bumi Negeri Sembilan sendiri kerana pengaruh budaya asing.
Parut Sejarah: Kesan Perang dan Suara yang Dibisukan
Seterusnya, Dr. Kim Dong Hoon dari Korea Selatan yang membincangkan “Kearifan Lokal dalam Karya: Pengamatan Komparatif antara Melayu-Korea” mendedahkan audiens pada kesan buruk perang terhadap jiwa bangsa. Melalui perbandingan novel perang Malaysia, Di Hadapan Pulau dan Korea, Tangnyu, beliau menganalisis trauma psikologi dan keruntuhan nilai kemanusiaan akibat peperangan.

Menggunakan konsep subaltern, Dr. Kim menyorot bagaimana naratif besar tentang kepahlawanan negara sering kali membisukan suara mangsa yang paling terkesan dalam peperangan, iaitu golongan wanita, orang miskin dan kanak-kanak. Beliau menyimpulkan bahawa peperangan bertindak sebagai agen penghakis tradisi, moral dan adab, lantas mendedahkan sisi gelap manusia dalam perjuangan untuk terus hidup.
Dalam sesi soal jawab, beliau membandingkan jalan pemulihan pascaperang antara kedua-dua negara. Korea Selatan bangkit daripada kemusnahan total melalui disiplin dan pengorbanan kolektif, manakala Malaysia masih mempunyai asas tamadun dan agama yang kukuh untuk berpaut.
Hal ini menimbulkan persoalan reflektif: adakah asas yang kukuh ini kadangkala membuat kita leka, berbanding bangsa yang terpaksa membina semula dari bawah dengan lebih bersungguh-sungguh?
Menyemai Masa Depan: Krisis dan Harapan Sastera Kanak-kanak
Banyak karya tempatan hanyalah adaptasi hambar daripada acuan Barat, sarat dengan nilai komersialisme, tetapi kosong dari segi estetika dan budaya tempatan.
Profesor Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak pula bercakap tentang “Jati Diri dan Warna Setempat sebagai Teras Kandungan Buku Kanak-kanak”, mengalihkan fokus perbincangan kepada generasi akan datang. Beliau menyuarakan kebimbangan tentang “krisis kandungan” dalam sastera kanak-kanak Malaysia, yang disifatkannya sedang mengalami penjajahan pemikiran secara senyap. Banyak karya tempatan hanyalah adaptasi hambar daripada acuan Barat, sarat dengan nilai komersialisme, tetapi kosong dari segi estetika dan budaya tempatan.

Profesor Md. Sidin menawarkan formula untuk buku kanak-kanak yang ideal: gabungan keseronokan yang mendidik dan pendidikan yang menyeronokkan. Keseimbangan ini, tegasnya, hanya boleh dicapai apabila penulis dan penerbit berpaut pada dua teras utama: jati diri dan warna setempat.
Beliau menyeru para pengkarya untuk memanfaatkan kekayaan warisan tempatan—daripada watak Sang Kancil kepada corak batik—untuk menghasilkan karya yang autentik. Hanya dengan cara ini, generasi muda dapat dibekalkan dengan jati diri yang kukuh untuk menghadapi cabaran globalisasi.
Menongkah Arus: Realiti, Cabaran dan Harapan
Sesi soal jawab menghubungkan wacana akademik ini dengan realiti semasa apabila para penggiat sastera menyuarakan kekecewaan terhadap kurangnya sokongan institusi dan birokrasi. Kesedaran yang timbul ialah, harapan tidak seharusnya diletakkan pada pihak pentadbiran semata-mata. Tanggungjawab kini terpikul di bahu komuniti sastera itu sendiri untuk menjadi penggerak yang proaktif.
Cabaran utamanya adalah untuk menyampaikan kandungan yang sarat nilai, seperti adat dan sejarah kepada generasi digital. Jawapannya bukan dengan menolak kemodenan, tetapi dengan membungkus kebijaksanaan lama dalam format baharu yang menarik. Animasi Upin dan Ipin diangkat sebagai bukti kejayaan pendekatan ini. Kejayaan globalnya membuktikan bahawa produk yang kaya dengan warna setempat dan nilai-nilai murni yang mampu menawan hati penonton antarabangsa kerana keasliannya.
Seminar ini merumuskan bahawa perjuangan mempertahankan jati diri merupakan satu usaha yang berterusan. Perjuangan menuntut kita untuk menimba kebijaksanaan dari masa lalu, memahami realiti semasa, lalu membentuk generasi masa depan dengan teliti. Tugas kita bersama adalah untuk mencari semula kompas jiwa bangsa dan menetapkannya semula ke arah yang benar di persimpangan zaman ini.
_________________________
Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.