Oleh Karmila Azmi
3 Mac 2024, 23:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya Teknik Kamishibai (bercerita menggunakan kad visual) menjadi tarikan dalam penganjuran Konvensyen Ketamadunan Dunia (KKD) kali keempat anjuran Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dan Benevolent Malaysia.

Teknik itu yang dikongsikan dalam acara Dengarlah Sayang: Mama Filzah Bernyanyi dan Bercerita dikendalikan oleh Pegawai Perancang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Filzah Ibrahim atau dikenali sebagai Mama Filzah.

Dalam sesi itu, Filzah berkongsi kemahirannya menyampaikan cerita yang dipetik daripada buku cerita Alang Pipi Merah karya Shukri Edrus terbitan DBP.

Filzah berkata, selain Teknik Kamishibai, acara itu turut membuka peluang memartabatkan bahasa dan sastera pada peringkat kanak-kanak.

“Menerusi sesi bercerita, kanak-kanak diberikan peluang untuk berkomunikasi dan berketerampilan melalui aktiviti yang dilaksanakan bersama-sama.

“Di samping bahasa dan sastera, kanak-kanak juga diperkenalkan kepada sains melalui pemantapan kemahiran motor halus, seperti aktiviti ‘Kertas Ajaib’ dan ‘Pinggan Ajaib’,” katanya.

Acara itu juga katanya menarik 17 peserta yang turut bertujuan untuk memperkenalkan dan menarik minat mereka terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).

Dengarlah Sayang: Mama Filzah Bernyanyi dan Bercerita ialah acara khusus bersifat pusat asuhan bagi memberi peluang kepada ibu bapa mengikuti KKD.

KKD yang berlangsung selama sehari pada 3 Mac diadakan dengan tujuan mendedahkan sejarah kekhalifahan Islam yang diwarisi sejak zaman Sahabat hingga abad ke-20.

KKD kali keempat ini berlangsung dengan tema 100 Tahun Berakhirnya Khalifah: Legasi, Ibrah dan Masa Depan, bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.