30 Ogos 2024, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tiga buah buku bergambar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersenarai dalam 100 buku bergambar kanak-kanak pilihan Museum of Picture Book Art, Malaysia untuk dibaca pada tahun ini.

Tiga buku bergambar tersebut ialah Yasmin dan Adam, Kembara Musim Panas Sara dan Glasier Rumahku.

Yasmin dan Adam merupakan cetusan idea asal Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek yang ditulis oleh Nurshuhada Abdullah yang tertumpu pada pengenalan sifat unik dan istimewa kanak-kanak autisme.

Buku setebal 32 muka surat itu sesuai untuk kanak-kanak autisme kerana menampilkan keserasian bahasa dan aktiviti bagi kanak-kanak autisme, selain mempunyai pengenalan khusus untuk ibu bapa.

Kembara Musim Panas Sara pula mengisahkan seorang watak bernama Sara yang minat mengembara setiap kali musim cuti persekolahan. Selain itu, Sara suka melakukan perkara baharu yang diinspirasikan daripada pengembaraannya.

Buku setebal 24 muka surat ini juga ditulis oleh Nurshuhada Abdullah turut mengisahkan fenomena alam dan kesannya terhadap kehidupan alam sekitar, sekali gus boleh dijadikan sumber inspirasi kepada pembaca kanak-kanak.

Sementara itu, Glasier Rumahku pula mengandungi 20 muka surat, ditulis oleh Mimi Salleh, menceritakan anak penguin bernama Niu yang tersesat semasa berenang. Dalam kesesatan itu, dia bertemu dengan seekor anjing laut bergelar Ales.

Ales membantunya merentasi glasier yang luas sambil melihat dan belajar tentang kejadian glasier.

Panel yang terlibat dalam pemilihan 100 buku bergambar tersebut termasuklah Timbalan Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar, Profesor Adjung Universiti Putra Malaysia, Ishak Hamzah, dan Timbalan Ketua Ilustrasi Dasein Academy of Art, Sean Lee.

Sementara itu, dalam kenyataan laman web Museum of Picture Book Art berkata, 100 Buku Bergambar Kanak-kanak Malaysia untuk Dibaca dan Dicintai digagaskan berdasarkan kepercayaan bahawa Malaysia mempunyai banyak buku bergambar yang berkesan untuk kanak-kanak.

“Cerita dan gambar dalam buku bergambar membantu kanak-kanak memahami dunia di sekelilingnya.

“Dan ini tidak lebih baik daripada buku yang dicipta oleh penulis dan ilustrator tempatan dengan watak, cerita dan persekitaran yang boleh dikenali oleh kanak-kanak itu,” kata laman web tersebut.

Tambahnya, selain objek seni, buku bergambar lebih berkesan daripada buku cerita bagi proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.

Beli buku bergambar Yasmin dan Adam, Kembara Musim Panas Sara dan Glasier Rumahku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.