28 Mei 2024, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sastera sebenarnya suatu elemen penting yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak dalam perkembangan dan pertumbuhan hidupnya. Dr. Khairul Nizam Zainal Badri memperincikan 10 nilai yang penting yang perlu ada dalam sastera kanak-kanak.

Dari sudut pandangan didaktik, sastera memberikan maklumat baharu kepada kanak-kanak tentang dunia.

Manusia mempunyai keinginan dan keperluan yang sentiasa berkembang untuk menerangkan sesuatu secara terperinci. Atas sebab itu, bahasa menjadi medium untuk memerihalkan sesuatu yang hendak disampaikan, bermula daripada gambar kepada perkataan, seterusnya kepada ayat dan akhirnya dalam bentuk karangan. Di sisi lain, perkembangan yang menakjubkan tentang bahasa ini melahirkan ekspresi pengalaman tertentu yang kemudiannya ingin dikongsi dengan individu lain, selain dengan tujuan untuk berkomunikasi.

Ekspresi pengalaman inilah yang kemudiannya membentuk satu bidang baru yang dipanggil sastera yang mempunyai fungsi untuk merekod, memelihara dan menyebarkan pengetahuan dan pada masa yang sama berbentuk hiburan, di samping mempunyai peranan sosial, psikologi, rohani, atau politik yang memberi faedah yang besar kepada perkembangan intelek.

Sebagai wadah seni, sastera boleh disuntikkan dengan elemen sama ada dalam bentuk fiksyen atau bukan fiksyen yang berperanan besar dalam usaha meneroka ketiga-tiga domain, iaitu kognitif, afektif dan psikomotor. Hal ini bukan sahaja menyinari potensi intelek bahkan potensi jiwa. Contoh elemen dalam bentuk fiksyen termasuklah cerita rakyat yang meliputi hikayat, mitos dan legenda, manakala elemen bukan fiksyen termasuklah biografi, diari, memoir, atau surat (warkah).

Dalam konteks pengembangan bahasa, selain membantu mempromosikan peluang pembelajaran bahasa, sastera juga memainkan peranan penting dalam mengembangkan kesedaran bahasa dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia. Pada masa yang sama, sastera menyokong usaha merangsang pertumbuhan kesedaran terhadap watak bangsa dan ketamadunan melalui persepsi dan penghayatan dalam dunia sebenar.

Adapun dalam perspektif pembangunan potensi kanak-kanak, penggunaan sastera telah ditunjukkan dapat memudahkan perkembangan bahasa. Sastera juga mempunyai kesan positif terhadap pencapaian membaca, selain pemerolehan kemahiran dan strategi membaca. Seterusnya, perkembangan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran menulis malah juga dapat memperluaskan gaya penulisan.

Dari sudut pandangan didaktik, sastera memberikan maklumat baharu kepada kanak-kanak tentang dunia, memperkaya perbendaharaan kata dan memupuk komunikasi yang baik dan berkesan antara pencerita dengan pendengar. Pencerita selalunya terdiri sama ada daripada kalangan guru, ibu bapa, jurulatih, atau kakitangan yang berkeahlian dalam bidang tersebut. Pendengar pula terdiri daripada kalangan pelajar atau peserta.

Dalam makalah bertajuk “Enriching Emotional and Imaginative Impact on Children Through Children Literature” yang dibentangkan oleh Lestari Setyowati dalam Seminar Sehari Bahasa dan Sastra: Menjembatani Kearifan Lokal dan Dunia Global di Dies Natalis Universitas Brawijaya ke-46, Malang pada 13 Disember 2008, sastera berkeupayaan memupuk imaginasi dan kreativiti kanak-kanak dengan membawa mereka meneroka dunia, watak dan senario yang berbeza.

Menerusi sastera, pemikiran dan pengetahuan mereka bukan sahaja dapat dilengkapkan dengan wawasan dan pengetahuan tentang dunia, malah mereka juga turut didedahkan dengan nilai-nilai yang positif, seperti menghargai orang lain dan pada masa yang sama meyakini kebolehan diri sendiri.

Sastera yang hebat sentiasa mengajak khalayak untuk berbual tentang persoalan hidup yang sukar.

Walau bagaimanapun, sastera yang ditujukan kepada kanak-kanak mestilah memenuhi beberapa ciri agar matlamat dan tujuan yang hendak disampaikan tepat dan berkesan kepada golongan tersebut. Antara ciri sastera yang dimaksudkan termasuklah yang disenaraikan oleh Helen Little, tersiar di laman web Natural Beauty with Baby pada 30 Julai 2023, iaitu:

  1. Kandungan dan tema yang dipaparkan mestilah bersesuaian dengan umur dan tahap pemikiran mereka.
  2. Penceritaan dari sudut gaya dan jalan cerita mestilah menarik dan ekspresif.
  3. Kandungan yang diketengahkan perlu menonjolkan pengajaran hidup yang berharga.
  4. Setiap watak yang ditampilkan mampu menghadirkan resonans emosi, yakni si pembaca bukan sahaja dapat menyerap nilai-nilai teladan malah turut memanfaatkannya dalam kehidupan seharian.

Bahasa yang menarik dari sudut penggunaan istilah dan pembinaan frasa yang mempunyai hubung kait antara satu sama lain akan menarik minat kanak-kanak untuk membaca dan menghayatinya. Begitu juga dengan kandungannya yang menyegarkan sudah tentu akan mendorong kanak-kanak membacanya berulang kali, bahkan mungkin akan menghafalnya. Kepelbagaian budaya yang diketengahkan dalam jalan penceritaan turut menjadi faktor penting yang mampu menarik kanak-kanak untuk meningkatkan pembacaan kerana kuatnya perasaan ingin tahu mereka meneroka sesuatu benda atau bidang yang baharu.

Apa-apa pun, sebagaimana menurut Lawrence H. Maddock dalam tulisannya bertajuk “What Is Good Literature for Children?” dalam jurnal Elementary English Jilid 34 Bil. 5 keluaran Mei 1957, bahan sastera yang terbaik untuk kanak-kanak seharusnya memaparkan kandungan yang dapat memupuk nilai-nilai etika yang baik tanpa meminggirkan keupayaan mereka untuk meningkatkan potensi akal dalam usaha meneroka plot cerita dan watak yang dipersembahkan.

Apa-apa pun, sastera yang hebat sentiasa mengajak khalayak untuk berbual tentang persoalan hidup yang sukar. Karya sebegini sebagaimana menurut Yujia Huang dalam artikelnya yang bertajuk “Why Aren’t All Good Books Good Literature?” yang tersiar dalam The Daily Northwestern pada 17 Februari 2020, mendorong khalayak untuk merenung secara kritis dan falsafah terhadap kehidupan yang mereka lalui atau jalani. Untuk perkembangan kanak-kanak, kritis dan falsafah yang dimaksudkan mestilah memberikan manfaat kepada pembangunan watak yang perlu dihadirkan dalam diri kanak-kanak itu sendiri, seperti yang disarankan oleh Robert Sweetland dalam tulisannya bertajuk “What is Children’s Literature?” yang boleh dicapai di laman web Home of Bob, sebuah laman penyedia maklumat yang dikhususkan untuk guru dan pendidik.

Justeru, sekurang-kurangnya terdapat 10 nilai yang perlu ada dalam plot cerita atau watak yang diketengahkan dalam sesebuah karya sastera kanak-kanak, agar hasil karyanya dapat dikatakan berfaedah untuk kanak-kanak. Sepuluh nilai tersebut ialah:

Pertama, kejujuran. Kejujuran ialah nilai yang paling penting yang mesti dibangunkan oleh kanak-kanak sedari usia kecil. Asas yang paling utama adalah untuk membimbing mereka supaya tidak berbohong dan menjadikan mereka individu yang setia, bertanggungjawab, beretika, dan lebih mantap dari segi moral dan tingkah laku. Nilai ini membantu mereka membezakan antara yang betul dengan yang salah dan menyelaraskan kepercayaan mereka dengan perkara yang tertentu dan betul sahaja.

Kedua, memaafkan. Sesuatu bahan atau karya dikatakan baik apabila karya tersebut mempunyai elemen yang mampu mendidik kanak-kanak untuk memberi peluang kedua kepada orang lain dan pemikiran ini perlu dibentuk agar sifat dendam terhakis, walaupun dalam hal atau perkara yang kecil. Hal ini demikian kerana dendam boleh menyebabkan seseorang itu tidak menyukai individu tertentu dalam hidup dan sifat sedemikian tidak bagus dari sudut psikologi.

Ketiga, kerja keras. Sikap kerja keras dan dedikasi ialah langkah utama untuk berjaya yang perlu diberikan penekanan kepada kanak-kanak dalam meniti arus kehidupan. Dengan adanya pendedahan pada sikap tersebut, maka cabaran dan halangan yang paling sukar akan kelihatan mudah untuk diatasi dan seterusnya membantu mereka untuk mengembangkan potensi yang ada dalam diri mereka dengan lebih berkesan. Termasuk dalam sikap ini adalah dengan mendisiplinkan diri dan mematuhi masa, yang mana kedua-duanya dapat meningkatkan keyakinan dan kebolehpercayaan orang lain terhadap diri mereka.

Keempat, bertanggungjawab. Sikap ini ialah asas yang perlu ada bagi kanak-kanak agar mereka dapat membiasakan diri dengan kehidupan sebenar, seperti bertanggungjawab terhadap kerja rumah dan pelajaran. Atas sebab itu, tanggungjawab menjadi nilai terbesar yang perlu mereka peroleh, malah merupakan satu sikap yang membantu mereka menerima penghormatan dan penghargaan daripada semua orang di sekeliling mereka. Dari sudut psikologi, penghargaan akan membantu kanak-kanak membina kualiti diri, khususnya dari sudut sensitiviti, keselamatan dan sikap mengambil berat.

Kelima, optimis. Ciri melihat gelas separuh penuh sentiasa diperlukan oleh kanak-kanak anda kerana dengannya, mereka akan membina dan mempunyai pandangan positif terhadap kehidupan yang membantu mereka melihat sisi yang lebih cerah dan positif daripada segala-galanya. Pandangan positif ini akan menjadikan mereka tidak berhenti daripada berusaha, bersikap gigih, bersemangat dan mengambil bahagian dalam semua aspek, malah hal ini juga membantu mereka membesar dengan sihat.

Keenam, memasang angan-angan. Ada kalanya, kanak-kanak perlu dibiarkan bermimpi besar dan menyasarkannya ke langit. Atau dengan kata lain, imaginasinya perlu dipupuk dan dikembangkan. Dengan cara itu, mereka akan dapat mengarahkan pertumbuhan ke arah impian tersebut dan pada masa yang sama angan-angan tersebut mestilah berada dalam matlamat yang boleh dicapai secara praktikal.

Keenam, merendah diri. Mengajar kanak-kanak menjadi rendah hati dan turun ke bumi ialah sifat yang paling penting dan istimewa kerana nilai ini meningkatkan kesedaran mereka terhadap rasa syukur dan empati.

Ketujuh, keberanian. Sikap ini perlu dilatih dalam diri kanak-kanak agar mereka mempunyai keyakinan untuk mempertahankan kebenaran dan pada masa yang sama mampu mengatasi ketakutan. Berani untuk menentang sebarang tindakan tidak adil dan berani untuk menghadapi situasi sukar dalam kehidupan dengan cara yang lebih baik bukan sahaja membantu mereka meningkatkan keyakinan tetapi pada masa yang sama dapat mengaktifkan sifat kepimpinan yang telah ada dalam diri.

Kelapan, rasa ingin tahu. Sikap ingin tahu ini membantu kanak-kanak memahami persekitaran mereka dengan lebih baik dan mencari jawapan pada persoalan yang timbul, malah proses ini dapat meningkatkan kreativiti dan pertumbuhan peribadi.

Kesembilan, toleransi. Mengajar kanak-kanak untuk bertolak ansur, tenang dan sabar terhadap orang lain boleh membantu mereka menjadi individu yang berjaya kemudian hari.

Kesepuluh, keinginan untuk membantu. Menanamkan tabiat membantu orang lain dalam diri kanak-kanak akan membantu mereka mewujudkan hubungan sosial dan memahami bahawa sikap itu sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Kredit Gambar: Firus Fansuri

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.