Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sastera bukan hanya milik yang sempurna tubuh dan bicara, tetapi juga wadah bagi insan istimewa menzahirkan keindahan akal budi. Justeru, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) perlu diangkat sebagai penyumbang penting dalam dunia kesusasteraan dan ilmu.
Demikian merupakan semangat yang diketengahkan dalam Program Apresiasi OKU anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah dengan kerjasama Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersempena dengan Sambutan Hari OKU Sedunia yang disambut setiap 3 Disember.
Majlis yang dijadualkan berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, Kuala Lumpur pada 8 November 2025 (Sabtu) ini akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara, YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob dan diisi dengan pelbagai aktiviti yang menjunjung semangat inklusif serta memperlihatkan keupayaan insan istimewa dalam bidang sastera dan bahasa.
Antara pengisian utama termasuklah program selari Wacana Interaktif Penulisan Kreatif, Wacana Interaktif Translasi Braille Karya Sasterawan Negara dan Wacana Interaktif Deklamasi Bahasa Isyarat. Ketiga-tiga program ini merupakan platform yang membuka ruang kepada penulis, penyair dan penggiat seni OKU untuk menonjolkan bakat mereka.
Menurut pensyarah Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaReHab) UKM, YBrs. Dr. Noor Hafifi Noorhisham, masyarakat perlu lebih prihatin dan cakna terhadap golongan OKU bagi memastikan semua lapisan komuniti bergerak secara inklusif.
“Kita mesti cakna terhadap keperluan golongan OKU kerana usaha-usaha ke arah pembinaan masyarakat sejahtera perlulah dilakukan secara bersama,” ujarnya dalam rancangan Berita Aktiviti DBP Sana Sini: Bual Bicara Apresiasi OKU yang diadakan secara dalam talian petang tadi.
Tambah beliau, kebanyakan mereka bukan dilahirkan cacat, dan ada yang menjadi OKU kerana telah berkorban untuk negara, dilanda kemalangan atau menghidap penyakit.
“Mereka terdiri daripada pakar yang profesional, atlet paralimpik yang membawa pulang emas dan warga yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” ujarnya.
Dr. Hafifi turut menegaskan bahawa karya yang lahir daripada pengalaman sebenar golongan ini membawa nilai kemanusiaan yang tulen.
“Karya mereka datang terus dari lubuk hati dan pengalaman hidup sebenar. Penyampaiannya ikhlas dan asli. Sastera inilah yang menjadi jambatan insani yang menyatukan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Pertuturan, Fakulti Sains Kesihatan UKM, YBrs. Dr. Fatimah Hani Hassan, menekankan bahawa masyarakat perlu melihat golongan OKU sebagai kumpulan yang pelbagai dan berpotensi besar, bukan satu kelompok yang homogen.
“Masyarakat umum sering melihat OKU sebagai satu kumpulan yang sama, sedangkan mereka amat berbeza yang mempunyai potensi yang rencam. Oleh itu, pendekatan adaptif amat penting supaya mereka tidak terus terpinggir daripada arus perdana sastera tempatan,” jelasnya.
Dr. Fatimah Hani memberi contoh bahawa seseorang yang buta mungkin mempunyai deria sensori lain yang lebih tajam dan jika beliau menukilkannya dalam sebuah karya, masyarakat umum pasti akan memahami lapisan nuansa yang tidak boleh ditafsirkan oleh majoriti yang celik.
Beliau berharap agar wacana penulisan yang diadakan dapat melahirkan karya bertemakan pengalaman OKU untuk diterbitkan sempena sambutan Hari OKU Sedunia tahun hadapan, sebagai usaha mengangkat suara dan pengalaman mereka ke pentas sastera kebangsaan.
Program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi dan meneliti karya sastera dalam bentuk Braille, selain menyaksikan deklamasi puisi menggunakan bahasa isyarat. Melalui pendekatan ini, masyarakat dapat melihat keunikan dan kekuatan sebenar insan istimewa dalam mengekspresikan diri mereka melalui bahasa dan seni.