27 Mac 2023, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Pahang dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan “Malam Gema Puisi Ramadan” di Sri Manja Boutique Hotel, Kuantan pada 18 Mac lepas.

Program tersebut telah dihadiri oleh kira-kira 150 orang penggiat seni dan aktivis sastera tanah air, khususnya dari negeri Pahang. Program tersebut diisi dengan pelbagai persembahan bertemakan ketuhanan dan bulan Ramadan.

Antara deklamator negeri Pahang yang turut mendeklamasikan sajak pada malam tersebut ialah Nordin Salleh, Amaruszati Noor Rahim, Aflieza Arshad, Zafran Zainal Abidin, Johari Ibrahim, Wan Hanif Wan Hamid, Amirull Afiqq, Farihan, Zulaika, Usman Gumanti, Nazri Sham dan AK Hidayat.

Persembahan deklamasi dan lakon (dekon) dalam majlis “Malam Gema Puisi Ramadan” di Sri Manja Boutique Hotel, Kuantan pada 18 Mac lepas.

Selain itu, Man Kayan dan Kelab Serindit Mati Tersepit pula mempersembahkan persembahan lagu puisi ketuhanan. Turut menghiasi acara ialah persembahan deklamasi dan lakon (dekon) arahan AK Hidayat daripada Kelab Teater Rajuk berjudul “Hijrah Kami Ya Allah”.

Nordin Salleh, salah seorang deklamator pada majlis tersebut.

Sementara itu, Adilla dari Kelab Teater Rajuk pula telah mendeklamasikan sebuah syair berjudul “Ramadan” yang ditulis olehnya sendiri dengan irama hiasan. Usop Kopratasa turut menyerikan majlis dengan menyanyikan dua buah lagu berjudul “Tuhan” dan “Permata untuk Isteri”.

Aflieza Arshad, salah seorang deklamator pada majlis tersebut.

Ucapan alu-aluan majlis telah disampaikan oleh Dato’ Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil, Timbalan Ketua 1 DPMP, manakala ucapan perasmian penutup pula telah disempurnakan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah, Ketua 1 DPMP.

Menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor, program ini julung kali diadakan dan diharapkan dapat dilaksanakan sebagai acara tahunan oleh DPMP bagi meraikan kehadiran bulan Ramadan dengan mengangkat sastera dan puisi tanah air.

Turut hadir ialah Nor Zahira Muhammad Azmi, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Mohd Asri Mohamad, wakil Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah dan SM Zakir, penerima SEA Write Award 2011.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.